Hikayat Faridah Hanom 13

Sentiasalah Shafik Afandi di dalam pelajarannya bersama­sama sekalian murid-murid di dalam sekolah pegawai peperangan itu. Maka kemudian daripada enam bulan lamanya mendapatlah ia pangkat second leutnant kerana telah pass ianya[1] di dalam segala pelajaran askar, maka masuklah ia di dalam perhimpunan askar-askar Mesir yang akan berangkat pergi ke Sudan kerana masa itu telah berlaku peperangan di antara Mesir dan Inggeris dengan segala puak kaum Darwish [Fn.] di Sudan. …

Fasal yang ketigabelas
KEBERATAN KEHIDUPAN YANG KEHORMATAN

Maka di dalam surat-surat khabar tentera peperangan yang dikeluarkan oleh menteri peperangan Mesir penuh dengan berbagai-bagai perkhabaran yang dahsyat-dahsyat dan kematian yang disebutkan nama tiap-tiap se(se)orang yang terbunuh kerana menolakkan bahaya daripada watannya. Dan pada akhir masa Shafik Afandi di dalam sekolah itu beberapa perkhabaran yang dikeluarkan oleh menteri peperangan berturut-turut menunjukkan akan kerugian yang besar yang telah tertanggung ke atas tentera. Dengan sebab ini selalulah masa mendatangkan ketakutan yang bersangatan di dalam bandar Mesir kerana beberapa perbunuhan yang dahsyat-dahsyat yang dilakukan oleh kaum Darwish itu.

Maka oleh ferdu[2] menambah kekuatan di sana lagi keluarlah hukum ke atas perhimpunan tentera yang ada di Mesir belayar[3] ke Sudan. Bermula, Shafik Afandi seorang daripada[4] officer dengan pangkat leutnant yang kedua, yang pergi bersama-sama tentera itu.

Bertolaklah Shafik Afandi daripada stesyen keretapi Mesir dihantar oleh ayahanda-bondanya dan segala sanak-saudaranya[5] dan sahabat handainya, pada hal Shafik Afandi masa itu dengan pakaian pangkatnya di dalam tentera itu seumpama bulan di antara segala bintang-bintang ditambahi oleh dukacita yang tertanam di dalam hatinya, tetap anggun gerak langkahnya dengan tidak banyak cakapnya lain daripada apa perkataan yang wajib di dalam pekerjaannya. Adalah pada masa itu Shafik Afandi memandang sekalian orang yang menghantar akan dia itu dengan pandangan kasih sayang dan terima kasih yang sentiasa tersenyum ia menegur dan bersalam[6] dengan sekalian sahabat handainya serta berkata­kata dengan lemah-lembutnya bagaimana biasanya bagi menyedapkan hati kedua ayahanda-bondanya dengan tidak nampak sekali­kali di mata sekalian orang akan dianya ada terupa[7] menyesal atau susah bimbang kerana pelayarannya itu seumpama sekalian kawan-kawannya yang sama belayar dengan dia itu…


sentiasa menyapu air mata[8] masing-masing daripada suatu masa ke suatu masa. Apabila berbunyi loceng stesyen yang pertama memberitahu keretapi itu akan berjalan lagi lima minit, maka segeralah Shafik Afandi mencium tangan ayahanda-bondanya dan berjabat tangan dengan sekalian kaum kerabatnya dan sekalian sahabat handainya. Maka Talat Bey dan isterinya pun tiadalah tertahan hati[nya lalu menangis teresak-esak keduanya maka sekalian kaum kerabatnya sama dan sahabat handai Shafik Afandi pun tiadalah tertahan hati][9] masing­-masing lalu turut sama menangis. Di dalam hal bertangis-tangisan itu loceng yang kedua pun berbunyi dan ben kerajaan pun berbunyi lagu selamat pelayaran tentera yang ramai ke dalam medan peperangan berkhidmatkan watan kaum dan bangsa, dan menumpahkan darah di dalam faedah-faedah yang am. Maka keretapi pun bergeraklah di antara bunyi ben dan esak orang yang menangis dan raong-raong orang yang menjerit kemudian sapu tangan putih pun berkibaranlah lambai orang yang menghantar dan orang yang belayar hingga ghaiblah keretapi itu daripada pandangan mata masing-masing.

Sampailah sekalian askar itu di Aswan, kemudian berpindah di Barbar maka dari situ teruslah pergi ke Khartum. Kerana di sinilah tempat huru-hara yang maha besar itu.

Adalah Khartum itu telah masuk di dalam tangan Mahdi maka kemudian daripada mati Mahdi Sudan itu masuklah pula di bawah perintah gantinya Abdullah AI-Taaishi. Maka dengan sebab inilah tumpuan tentera lnggeris dan Mesir memalu akan kaum Darwish ini di Khartum hendak menghalau akan mereka itu undur daripadanya kerana seteru itu apabila dapat ianya berkuat di Khartum itu senanglah kelak mereka itu mara ke sempadan negeri Mesir dan menyusahkan kerajaan Mesir, maka di dalam peperangan di Khartum inilah sekalian tentera yang hendak menolakkan bahaya daripada…


watannya itu merempoh akan[10] seterunya, seumpama kelakatu merempoh akan cahaya api. Bermula adalah[4] leutnant Shafik tiadalah ia peduli akan mati dan tidak sekali-kali ia berniat hendak memelihara kehidupannya, dijualnya akan dirinya di dalam medan peperangan itu dengan murahnya tiada takut dan gentar hingga heranlah sekalian ketua­ketuanya melihat keberaniannya. Sungguh pun demikian hal leutnant Shafik itu maka pandangan Sudan yang pelik itu atau rempohan tentera yang menumbangkan beberapa batang tubuh bergulingan di tanah itu atau segala peluru meriam yang memecahkan segala kota dan mencetai-cetaikan segala badan manusia itu tiadalah melupakan fikiran leutnant Shafik daripada peringatan akan kekasihnya Faridah Hanom yang telah bersumpah jantung hatinya tidak hendak melupakan dia selama-lamanya. Beberapa kali ianya teringat akan maksyuknya ini di dalam masa ia merempuh dan membunuh akan seterunya itu. Dan beberapa kali ianya menyebut-menyebut akan kekasihnya itu di dalam masa ia membawa barisan askarnya mengejar akan musuhnya. Dan beberapa ianya menyeru akan Faridah Hanom di dalam masa ia berbaring di tanah berselendangkan pedangnya memakai alatan peperangannya. Sentiasalah jua ia bergurindam dan bersyair di dalam masa ia mengarung akan darah di medan peperangan itu.

Ayohai Faridah gemala perempuan
Lazat kehidupan asyikkan tuan
Mati pun gemar rasa di tawan
Bila berjauhan emas tempawan

Mati yang kehormat marilah segera
Jika Faridah hilang dan cedera
Hidup di dunia rasanya mara
Jika tak sama gemala mutiara

Ya Ilahi ya Rabbani
Jadikanlah kubur ku di tanah ini
Jika Faridah cahaya nurani
Tidak ditakdirkan menjadi bini.


Shahdan kemudian daripada telah jatuh Khartum itu ke dalam tangan askar Mesir dan lnggeris maka Khadiwi Mesir pun mengurniakan sekalian officer-officer kepala-kepala[11] perang itu pangkat dan bintang masing-masing dengan tarafnya maka leutnan Shafik pun mendapat pangkat Kapten di dalam askar Mesir memerintah suatu puak daripada tentera[12] bangsa orang Sudan. Maka kebanyakan ketua-ketua askar itu pun masing-masing berpecahlah dengan askarnya, ada yang berpindah ke tempat lain, dan ada yang[13] balik ke Mesir. Ada pun Kapten Shafik tiadalah mendapat kebenaran pergi ke mana-mana kekallah juga ia di dalam Khartum memerintah sekalian askar bangsa hitam itu dengan tidak mengerti ia akan bahasa mereka itu. Tetapi sabarlah juga ia atas perintah itu bekerja ia dengan sebab ini kasihlah mereka itu akan dia. Maka senantiasalah[14] juga Kapten Shafik di Sudan dengan tidak pernah meminta sehari pun cuti bersenang diri hingga masuk tiga tahun maka teringatlah ia akan ayahanda bondanya dan watannya serta datanglah keinginan di hatinya hendak balik melihat ayahanda bondanya, lalu ianya[15] memasukkan surat minta berhenti sekali daripada kerjanya kerana huru-hara di Sudan telah habis sekali tidak berkehendak kerajaan di dalamnya tentera yang banyak. Maka kemudian daripada tiga bulan dapatlah ia jawab suratnya daripada menteri peperangan membenarkan permintaannya itu, maka segeralah Shafik Afandi berkemas akan segala perkakasnya serta balik ke Mesir negeri yang dikasihinya kemudian daripada bercerai dengan dia tiga tahun lamanya.

Apparatus criticus

Bearbeiten
  1. lulus ujian c, pass ia d, e.
  2. mustahikk c.
  3. supaya belayar c.
  4. a b omitted in c.
  5. anak-saudaranya e.
  6. bersalaman d, e.
  7. berupa c.
  8. matanya c.
  9. missing in d, e.
  10. omitted in d, e.
  11. kepala c.
  12. pasukan tentera daripada c.
  13. ayang d, e.
  14. sentiasalah c, sentiasa d, e.
  15. ia c, dia d, e.