Hikayat Faridah Hanom 6
Shahdan kemudian daripada perjumpaan yang pertama di dalam rumah yang baharu[2] di antara asyik dan maksyuk di akhir fasal yang kelima ini, sentiasalah keduanya berjumpa di rumah itu bila-bila dirasa oleh salah seorang daripada keduanya ini hendak berjumpa, maka pergilah ianya ke rumah itu. Ada pada suatu hari Faridah Hanom duduk di rumahnya berfikirkan hal kekasihnya lalu teringat ianya akan sangkanya yang kejahatan ke atas kekasihnya pada permulaan ianya menyewa rumah itu. Kemudian teringat pula ianya hendak mencuba hati kekasihnya itu sampai bagaimanakah ianya boleh menahan hatinya kerana hendak memeliharakan namanya yang bersih daripada kejahatan di dalam berkasih-kasihan itu. Lalu berkata ianya di dalam hatinya -- baiklah aku mencuba juga akan dia supaya aku ketahui sehabis-habis tahan hatinya jangan di masuki lagi oleh sangka dan waswas di hatiku kepadanya kemudian hari lagi. Jika sesungguhnya ianya itu tiada pernah atau tiada menaruh akan perempuan yang lain lagi maka tidaklah boleh ianya menahan hatinya lagi oleh malunya hendak berkata-kata benar kepada ayahanda-bondanya fasal aku ini jika sungguh ianya cinta berahinya akan daku bagaimana cinta berahi aku kepadanya.
Setelah tetaplah hati Faridah Hanom hendak melakukan pencubaannya itu, lalu ianya mengeluarkan baju dan seluarnya yang serupa sekali dengan kulit badannya serta sehelai baju tidurnya (shimis) dibungkusnya dan diserahkannya kepada dayangnya, maka Faridah Hanom pun memakailah pakaiannya daripada pagi-pagi hari bermohon daripada ayahanda-bondanya hendak pergi bersama-sama kawannya ke Jazirah kerana musim bunga banyak perempuan-perempuan yang muda-muda pergi…
bermain perang bunga di situ, maka dibenarkan oleh ayahanda-bondanya lalu keluarlah Faridah Hanom berjalan bersama-sama dayangnya Suad naik suatu kereta terus kerumah Aliah didapatinya Aliah[3] ada di rumah tengah duduk menjahit. Apabila dilihat oleh Aliah Faridah Hanom datang itu, segeralah ianya bangun menjawab salam Faridah seraya mencium tangan berjabat salam dengan Suad, sambil berkata "Paduka kakanda belum datang lagi tuan, semalam ada ianya di sini berbaring-baring sampai tengah malam, agaknya tidak tahu barangkali tuan hendak berangkat ke mari pagi-pagi hari ini." Jawab Faridah Hanom sambil tersenyum, "Tidak mengapa ibu, adalah beta keluar pagi-pagi hari dari rumah ini niat beta hendak pergi bermain perang bunga di Jazirah, tetapi bila sampai beta setengah jalan, terasa sangatlah panas badan beta macam hendak pening kepala pula, lalu beta singgah ke mari jikalau boleh hendak menumpang mandi ibu." Maka Aliah pun tertawa sambil berkata, "Mengapakah junjungan dayang berkata jikalau boleh itu, siapakah punya rumah ini dan siapakah yang berani melarang tuan membuat apa-apa di sini jikalau kakanda Shafik Afandi sekali pun kerana ianya telah menjadi tawanan tuan." Maka Faridah Hanom pun tersenyum sambil bangun masuk ke dalam biliknya membuka pakaian bersiram di dalam bilik mandi. Setelah selesailah Faridah Hanom daripada mandi itu, masuklah ianya ke dalam bilik memanggil inangnya Suad masuk ke dalam bilik bertanyakan Aliah jawab dayangnya, "Aliah telah pergi dari tadi memberitahu kekanda Shafik Afandi, tuan ada disini." Kata Faridah Hanom, "Baiklah ibuku, duduk di luar jika datang Shafik Afandi katalah, beta tidur sakit kepala rapatkan sekali pintu bilik itu." Maka Suad pun keluarlah serta menarik akan pintu bilik itu.
Ada pun Faridah Hanom sepeninggalan dayangnya keluar itu, dikeluarkannyalah pakaiannya dari dalam bungkusnya itu lalu memakai seluar yang sendat dan sebati dengan…
kulit badannya serta sama warnanya dengan warna kulit tubuhnya, dan dipakainya pula baju yang sama dengan warna seluarnya sebati dan sama sekali dengan warna kulitnya sehingga siapa-siapa jua[4] yang melihat ianya memakai seluar dan baju itu daripada jauh nescaya berkatalah ia, Faridah Hanom itu bertelanjang, tidak ada tempat yang boleh disangka ianya memakai baju melainkan daripada kedua susunya yang seumpama gading dilarik itu menongkat[5] dan menolak akan bajunya. Kemudian dipakainya pula shimis (baju dalam) daripada sutera putih yang sangat nipis maka nampaklah bayangan baju getah yang dipakainya itu yang bersamaan dengan warna kulitnya putih bercampur merah itu bersinar-sinar cahayanya terbit daripada shimisnya itu. Maka di dalam Faridah Hanom bercermin membetulkan pakaiannya itu berbunyilah kereta Shafik Afandi datang berhenti di hadapan pintu rumah itu, kemudian didengar oleh Faridah Hanom bunyi kaki Shafik Afandi naik tangga rumah itu. Maka Faridah Hanom pun segeralah membaringkan dirinya pura-pura tidur.
Ada pun Shafik Afandi[6] pada pagi-pagi diketahuinyalah hari ini hari besar segala office-office[7] kerajaan dan gedung-gedung perniagaan saudagar ditutup kerana kebanyakan orang besar-besar pergi bermain perang bunga di Jazirah, iaitu suatu pulau di dalam sungai Nil tempat kebun serba macam jenis bunga-bungaan kerajaan Mesir, maka teringinlah[8] hatinya hendak pergi bercampur bermain bersama-sama orang ramai itu, sebab yakin percayalah di dalam hatinya tentulah kekasihnya ada sama di sana. Maka memakailah Shafik Afandi akan pakaiannya lalu keluar dari rumahnya baharulah ianya hendak naik keretanya dilihatnya inangnya datang lalu ianya berhenti serta bertanya, "Apakah kerja ibuku datang pagi-pagi hari ini?" Jawab Aliah, "Hendak memberitahu tuan, kekasih tuan Faridah Hanom ada di rumah." Maka Shafik Afandi pun sangatlah suka rasa hatinya lalu naik keretanya bersama-sama dayangnya Aliah berjalan menuju ke rumah yang ada Faridah Hanom itu, serta…
sampai lalu naik terus ke tengah rumah dilihatnya Suad ada duduk seorang dirinya, maka ditanya oleh Shafik Afandi, "Di manakah nyawaku ibu". Jawab, "Ada di dalam bilik beradu tuan, kerana ngilu kepala, katanya." Maka Shafik Afandi pun hampirlah ke muka pintu bilik itu seraya diketuknya perlahan-lahan dua tiga kali. Ada pun Faridah Hanom apabila didengarnya Shafik Afandi mengetuk pintu itu sengahajalah[9] ianya mendiamkan dirinya. Ada sejurus Shafik Afandi berdiri di muka pintu itu tidak dapat jawab daripada kekasihnya, tiadalah ianya berani masuk lalu berjalan ke tengah rumah duduk di atas kerusi memanggil Suad katanya: "Cubalah ibuku masuk lihat nyawaku itu, apa macam[10] sakitnya, bimbang pula rasa hatiku[11] jangan melarat[12] penyakitnya itu." Maka Suad pun segeralah berjalan masuk ke dalam bilik berdiri di kepada tempat tidur sambil berkata: "Tuan kakanda datang, bimbang rupanya akan tuan takut kalau melarat penyakit tuan." Maka Faridah Hanom tersenyum mendengar kata Suad itu sambil berkata: "Khabarkanlah ibu kepadanya, tidak mengapa beta nanti sebentar beta basuh muka boleh beta keluar." Maka Suad pun keluarlah menyampaikan perkataan Faridah Hanom itu kepada Shafik Afandi.
Ada pun Faridah Hanom apabila telah keluarlah Suad dayangnya itu, bangunlah ianya membaiki pakaiannya sehingga tidak dapat siapa pun boleh menyangkakan[13] ianya itu memakai baju dua lapis serta seluar, kerana yang nampak hanyalah baju shimisnya yang nipis melayang tampak berbayang-bayang baju yang sama seperti kulit tubuhnya itu, lalu ianya bangun berdiri di hadapan tempat tidurnya itu menghadap ke muka pintu bilik itu sambil menyeru akan kekasihnya Shafik Afandi menyuruh masuk ke dalam bilik dengan bahasa Frances, maka Shafik Afandi pun apabila mendengar seru kekasihnya memanggil ianya masuk ke dalam bilik itu segeralah ianya bangun berjalan menuju ke pintu bilik itu, apakala…
termasuk sahaja Shafik Afandi lepas ke dalam pintu itu terpandanglah ianya akan kekasihnya terdiri tidak berbaju hanyalah sehelai baju shimis yang sangat nipis dan singkat, nampaklah kepadanya setengah dadanya dan betisnya dan cahahya kulit tubuhnya memancar-mancar keluar daripada bajunya yang sangat nipis itu seumpama suatu berhala yang dibangunkan daripada gemala yang bernyala-nyala cahayanya[14]. Maka terpegunlah Shafik Afandi di hampir pintu itu tiada dapat melangkahkan kakinya heran tercengang-cengang memandang kekasihnya itu, maka Faridah Hanom pun tertawa melihatkan hal Shafik Afandi terdiri itu seraya berkata: "Wahai kekasih beta Shafik Afandi, mengapakah kekasihku terdiri tercengang-cengang di hampir pintu itu." Maka Shafik Afandi pun terkejut mendengar suara Faridah Hanom itu sambil menundukkan kepalanya mengucap, "La haula walaquwata illah billahil ali ul azim". Lalu ianya berpaling semula berjalan keluar bilik terus turun ke bawah naik keretanya pulang ke rumahnya sekali.
Ada pun Faridah Hanom yang ditinggalkan oleh kekasihnya itu apabila melihat ianya akan hal kelakuan[15] kekasihnya itu lari keluar serta turun terus itu, maka tertawalah Faridah Hanom sambil mengambil baju panjangnya dipakainya lalu keluar mendapatkan Aliah bertanyakan Shafik Afandi. Kata Aliah, "Sudah turun tuan, nampaknya terkejut sangat, tidak berpesan apa-apa lagi, apakah sebabnya tidaklah dayang tahu tuan.[16]" Jawab Faridah Hanom marah, "Barangkali kerana salah sangkanya akan beta agaknya, tetapi tidaklah mengapa samalah seorang sekali baharu." Maka Aliah pun bertanya, "Apakah halnya tuan dan apakah erti kata[17] tuan baharu seorang sekali itu." Jawab Faridah Hanom, "Panjang ceritanya ibu. Shafik Afandi sendiri pun tiada tahu akan halnya beta seorang sahaja yang mengetahui dan merasa sakitnya dengan sebab inilah beta buat hari ini[18] supaya Shafik pula merasa…
sakitnya sedikit." Kata Aliah: "Apakah dia itu cubalah tuan khabarkanlah sedikit ceritanya." Maka Faridah Hanom pun berceteralah[19] kepada Aliah segala sangka-sangkanya yang kejahatan di atas Shafik Afandi daripada mula Shafik Afandi berkhabar kepadanya hendak menyewa sebuah rumah yang tertentu untuk tempat berjumpa dengan dia sahaja itu. Sehingga sengajalah dikeraskannya hatinya menurut Shafik Afandi datang ke rumah ini, pada hal ianya membawa bekal pistol dengan berniat di dalam hatinya, jika Shafik Afandi hendak melakukan pekerjaan yang kejahatan ke atasnya, maka ianya hendak membunuh dirinya sebab telah tentulah di dalam fikirannya tiadalah guna ianya hidup lagi di dalam dunia ini jika kekasihnya yang sangat dikasihinya itu hendak membuat khianat di atasnya menghilangkan kebersihan anak-anak dara yang bangsawan yang memberi aib malu kedua ayahanda-bondanya. Tiba-tiba bila diturutnya Shafik Afandi ke rumah ini di dapatinya Shafik Afandi tiadalah sekali-kali mengubah kelakuan dan perkataannya bagaimana biasa, hanyalah[20] bertambah-tambah hormat Shafik Afandi akan dia[21], sehingga jikalau ianya masuk ke dalam bilik Shafik Afandi tiada berani masuk sama jika tidak dikerasinya mengajak bersama-sama, maka dengan sebab ini sangatlah sesal hatinya menaruh sangka di atas kekasihnya dengan kejahatan itu serta sangatlah sakit rasanya peringatan itu bila-bila juga ianya teringat kerana fikirannya dengan sebab-sebab sangkanya yang tidak sebenar itu sama jugalah seperti ianya telah menghinakan kekasihnya dengan tuduhan yang tidak sebenar dan yang tidak patut sekali-kali menjadi balasan kasih sayang dan hormat kekasihnya yang bersih kepadanya beberapa lama ini. Kemudian diulangi lagi oleh Faridah Hanom perkataannya itu, "Dengan sebab inilah beta berikhtiar supaya Shafik Afandi membalas kejahatan beta itu dengan sangka dan tuduhan bagaimana sangka dan tuduhan beta itu di atasnya juga, maka beta buang dan beta tinggalkan sama sekali daripada hati beta malu dan segan kemudian[22] daripada telah beta…
ketahui serta dengan yakin percaya beta akan suci dan bersih hatinya itu daripada berniat yang kejahatan ke atas beta." Maka Aliah dan Suad pun heranlah dengan heran yang amat sangat mendengar perkataan Faridah Hanom itu oleh baharulah keduanya mengetahui bahawa Shafik Afandi dengan Faridah Hanom ini hanyalah berkasih-kasihan di luar sahaja tidak berlaku perbuatan yang kejahatan, maka bertambah-tambah dahsyatlah di hati keduanya memandang akan tuannya itu serta dengan kasih sayangnya. Kemudian Aliah pun bertanya pula kepada Faridah Hanom, "Apakah yang tuan buat tadi sampai lari sekali kakanda itu turun tidak sempat berpesan apa-apa lagi." Maka Faridah Hanom pun tertawa sambil bangun berjalan masuk ke dalam bilik berdiri di hadapan tempat peraduan serta ditanggalkannya baju panjang yang dipakainya itu maka nampaklah usul tubuhnya bagaimana yang dipandang oleh Shafik Afandi tadi kemudian diserulah oleh Faridah Hanom akan Aliah masuk ke dalam bilik itu. Maka apabila masuklah Aliah ke dalam bilik itu terkejutlah ianya memandang Faridah Hanom terdiri bertelanjang cuma memakai baju yang sangat nipis itu, maka[23] terpegunlah ianya di muka pintu itu heran melihat keelokan susuk[24] dan bangun[25] badan Faridah Hanom itu seumpama anak-anakan syurga pada hatinya. Maka Faridah hanom pun tersenyum memandang hal[26] Aliah itu seraya berkata, "Ibuku sangka beta[27] bertelanjang agaknya, bagaimana sangka Shafik Afandi juga. Maka jika Shafik Afandi telah membuat dan menghinakan beta dengan sangkanya yang tidak sebenar itu kerana membalas perbuatan kesalahan[28] beta menyangka akan dia dengan kejahatan terlebih dahulu itu. Maka apakah kesalahan beta kepada ibu sehingga ibu pun hendak menghinakan beta dengan sangka yang kesalahan ini.“ Lalulah Faridah Hanom segera berjalan mendapatkan Aliah dipegangnya tangan dibawanya ke hadapan tempat tidurnya serta dibukanya daripada badannya baju shimisnya itu seraya berkata:…
„Carilah ibuku akan kulit beta jika boleh ibuku dapat menyentuh atau menjamahnya serta tanggalkanlah pakaian beta ini jika ada upaya ibu.“ Maka Aliah pun memegang dan merasa seluruh badan Faridah Hanom didapatinya licin daripada bahunya hingga ke ujung[29] jari kakinya beberapa kali ianya menjalankan tangannya hingga ke bawah-bawah pahanya dan ke dadanya tiadalah dapat ianya merasa apa-apa lain daripada licin dan puaslah ianya mencari di mana kancing baju yang dipakainya itu tiadalah juga dapat, maka sangatlah heran hati Aliah serta mengucaplah ianya "Subhanallah". Pada ketika itu berkatalah Faridah Hanom, "Wahai ibuku, inilah yang disangka oleh Shafik Afandi beta bertelanjang, tetapi tidak apa biarlah disangkanya beta perempuan yang tiada boleh menahan sabar kerana sangkanya itu menjadi penawar akan penyakit kesesalan[30] beta menyangka akan dia terlebih dahulu." Lalu segeralah Farida Hanom masuk ke dalam bilik pakaian menanggalkan baju getahnya itu dan memakai pakaiannya semula. Kemudian keluarlah ianya mendapatkan Aliah serta membawa pistol Shafik Afandi yang ada kepadanya itu seraya berkata kepada Aliah, "Tinggallah ibu, beta hendak pulang, sampaikan salam kasih sayang beta kepada tuan ibu itu dan[31] pulangkanlah kepadanya sekali pistolnya ini serta khabarkan kepadanya jika telah sahlah kepadanya akan kejahatan beta tidak tahan menyimpan[32] gemala yang sangat diperhargakan oleh anak-anak yang merdeka dan anak-anak bangsawan itu, baiklah ia menembak dirinya bagaimana beta dahulu hendak menembak diri beta jika ianya tidak memelihara dan memperhargakan gemala yang tidak ternilai harganya pada sisi anak-anak perempuan yang berbangsa yang mempunyai pelajaran[33] dan maruah kemaluan itu. Maka jika ianya sayang akan badan nyawanya tidak apa pulangkanlah[34] pistol ini kepada beta supaya beta menggantikan dia membela diri beta yang telah melakukan kesalahan yang besar ini." Faridah Hanom berkata-kata itu lalu turun diikut[35] oleh dayangnya naik sebuah kereta terus balik ke rumahnya sekali.
Ada pun Aliah sepeninggal[36] Faridah Hanom turun pulang itu berfikirlah ia di dalam hatinya berselisih nampak kedua orang yang berkasih-kasihan ini. Maka oleh sebab Aliah ini sangat mengetahui akan tabiat tuannya dan keadaan[37] kasih cinta asyiknya akan Faridah Hanom ini jadi sangatlah bimbang hatinya akan tuannya jangan menjadi apa-apa oleh paluan daripada perbuatan kekasihnya Faridah Hanom itu lalu segeralah ianya memakai pakaiannya turun berjalan menuju ke rumah Shafik Afandi.
Bermula ada pun Shafik Afandi yang lari turun dengan terkejut yang amat sangat melihat keelokan paras dan susuk badan kekasihnya itu sampailah ianya ke rumahnya masuk ke dalam biliknya menghempaskan dirinya ke atas peraduannya di dalam kehilangan semangatnya terbang melayang serta berdebar-debar rasa hatinya. Ada sejurus sedarlah ianya akan dirinya pulang pulih semangatnya lalu berfikirkan apa halnya yang telah berlaku serta mengembalikan ingatan[38] apa yang telah jadi di antaranya dengan kekasihnya dan apa yang[39] terpandang kepadanya dan apa yang dilakukannya. Maka teringatlah ianya akan kekasihnya memanggil ianya masuk ke dalam biliknya maka terpandanglah ianya akan susuk badan keelokan kekasihnya yang memancar-mancar keluar cahayanya daripada shimisnya yang nipis itu. Ketika itu datanglah menyesal[40] rasa hatinya meninggalkan kekasihnya seorang diri lari pulang ke rumahnya itu. Sebab percayalah ianya adalah Faridah Hanom melakukan pekerjaan yang demikian itu bukan sekali-kali dengan niat kejahatan, hanyalah semata-mata hendak bergurau dan mengusik akan dia atau adalah suatu muslihat kepadanya oleh kerana beberapa lama ianya telah bersama-sama kekasihnya di dalam beberapa tempat yang sulit-sulit maka tiadalah tampak kepadanya kelakuan dan perbuatan kekasihnya itu melainkan sangat cermat berjaga akan dirinya daripada tercebur ke dalam perbuatan yang kejahatan dan kecemaran.…
Dengan sebab ini tentulah perbuatan kekasihnya yang demikian ini ada sesuatu sebab serta teringatlah Shafik Afandi masa ianya masuk ke bilik itu segala tingkap-tingkap bilik itu semuanya di buka oleh kekasihnya. Dengan fikiran yang demikian ini terasalah Shafik Afandi akan kesalahannya meninggalkan kekasihnya seorang diri di rumah dengan tidak ianya menunggu di luar lagi maka datanglah sesalnya yang amat sangat lalu segeralah ianya bangkit hendak kembali semula mendapatkan kekasihnya sebab sangkanya tentulah kekasihnya itu ada lagi di rumah itu maka di dalam masa ianya membetulkan dirinya dan menyikat memberus akan rambutnya, inangnya Aliah pun sampai masuk berdiri di hadapannya di dalam biliknya. Maka terkejutlah Shafik Afandi memandang inangnya datang terdiri di hadapannya di dalam biliknya[41] dengan tidak meminta izinnya masuk itu lalu dicampakkannya berus dan sikatnya duduk bertanya Aliah, "Apa kerja ibuku datang ini di mana kekasihku itu[42]". Maka Aliah pun tertawa sambil berkata: "Sudah berangkat pulang tuan, kerana sangatlah tergerak hatinya nampaknya oleh perbuatan tuan meninggalkan dia dengan tiada sempat usul periksa lagi." Maka Shafik Afandi pun mengeluh mendengar perkataan inangnya itu seraya berkata: "Adakah ibuku masuk ke dalam biliknya bila lepas[43] beta keluar itu." Jawab Aliah: "Ada tuan, dipanggil oleh adinda itu serta ditunjukkannya bagaimana halnya masa[44] tuan masuk melihat ianya itu. Maka hamba tua[45] pun pergilah merasa badannya dan memeriksa tubuhnya hingga sehabis-habis puaslah hendak menjamah kulit badannya itu tiada dapat sekali-kali." Lalu diceritakan oleh Aliah akan keadaan pakaian Faridah Hanom dan segala perkataannya dan kelakuannya daripada mula hingga akhirnya tiadalah ditinggalkannya suatu pun serta keluarkannya pistol yang ditinggalkan oleh Faridah Hanom itu diserahkannya kepada Shafik Afandi seraya katanya, "Pesanan adinda itu, pistol ini dibawanya bersama-sama masa ianya menyangka…
tuan hendak mengusik akan dia di dalam rumah baharu itu. Kiranya sungguh bagaimana sangkanya itu, ianya hendak menembak akan dirinya sebelum tuan melakukan kehendak tuan itu. Maka sekarang sangkanya itu telah berbalik[46] iaitu tuanlah menyangka ianya hendak mengusik tuan mengajak melakukan pekerjaan yang kejahatan, sepatutnya tuanlah pula menyimpan pistol ini.[47] Maka jika sekiranya[48] tuan sayang akan badan nyawa tuan tidaklah apanya bolehlah tuan[49] kembalikan pistol ini kepadanya supaya ianya[50] menggantikan tuan membela akan dirinya sebab ianyalah yang telah melakukan perkara yang maha besar kesalahannya[51] ini.“
Maka Shafik Afandi pun terkejut mendengar perkhabaran inangnya itu sambil tunduk berfikir, maka teringatlah ianya ada sungguh seluar baju daripada sutera yang bercampur dengan getah selalu dipakai oleh perempuan-perempuan wayang orang putih sehingga disangka oleh orang yang melihatnya[52] perempuan itu bertelanjang di hadapan orang yang[53] ramai kerana warna seluar baju itu sama sekali satu warna dengan kulit masing-masing itu. Maka bertambah-tambah sesal Shafik Afandi meninggalkan kekasihnya itu, tambahan pula teringat ianya akan kekasihnya datang pagi-pagi hari itu tentulah[54] ianya hendak duduk satu hari makan minum bersuka-sukaan dengan dia di dalam rumah itu, maka semangkinlah[55] bertambah-tambah sesalnya tiadalah dapat Shafik Afandi menahan hatinya lagi lalu bangun mendapatkan inangnya menyembamkan mukanya menangis dengan tangisnya yang amat sangat. Maka Aliah pun terpegunlah tiada berkata-kata melihatkan tuannya sangat bercinta dan menangis itu sambil menyambut kepala tuannya seraya berkata, "Diamlah tuan, tidak mengapa, tiadakan ke mana pergi[56] kekasih tuan itu, tak dapat tiada segera juga tuan dapat berjumpa dengan dia. Masakan putus hatinya sama sekali akan tuan oleh sebab kesalahan tuan yang sedikit ini kerana nampaknya kasihan akan tuan pun samalah juga beratnya dengan kasih…
tuan akan dia. Jikalau tidak orang yang semacam ianya punya kekayaan serta keelokannya itu masakan hendak ianya berulang-ulang sendiri mendapatkan tuan. Akan tetapi perempuan ini maklumlah tuan, sangatlah halus tali yang menanggung[57] perasaannya serta dengan singkat pula fikirannya, jika bagaimana pandai sekali pun. Maka jika tuan benarkan biarlah coba[58] hamba tua ini pergi sendiri mendapatkan kekasih tuan itu[58] melihat bagaimana halnya dan apa[58] peringatannya. Maka Shafik Afandi pun mengangkat kepalanya seraya menyapu ari matanya bila mendengar inangnya hendak pergi sendiri[59] mendapatkan kekasihnya itu sambil berkata: „Elok sangatlah ibuku pergi sendiri mendapatkan nyawa beta itu supaya boleh ibu berkhabar kepadanya akan halnya bukan sekali-kali beta lari turun itu kerana[60] menyangka yang[58] kejahatan di atasnya tetapi hanyalah semata-mata kerana beta takut akan diri beta kena murkanya apabila kelak tidak tertahan hati beta sebab lebih-lebih maklum sahaja ibu adalah beta ini orang muda lagi bukanlah beta ini orang yang salih sangat sebanyak yang sudah beta menahan hati beta beberapa lama ini kerana takutkan marahnya pun cukuplah maka jika tidak tertahan tadi beta buat haru-biru bukankah ianya hendak[61] murkakan beta. Dengan sebab inilah beta segera turun lari keluar dari rumah itu sekali maka sekarang dengan sebab beta takutkan berlaku pekerjaan yang mendatangkan kemarahannya telah menjadi salah pula mendatangkan kemarahannya juga. Dengan sebab ini ibu[62] khabarkanlah kepadanya apa yang ibu pandang dan dengar daripada beta hendak menulis surat kepadanya pun tiadalah beta tahu apa yang beta hendak tuliskan melainkan ibu sampaikanlah kepadanya salam rindu dendam cinta berahi beta sahaja, serta mohon ampun akan kesalahan beta yang tiada terlintas sekali-kali hendak menuduh ke atasnya[63] apa-apa yang kejahatan.“ Sambil dikeluarkan oleh Shafik Afandi daripada poketnya dua puluh pound diberikannya kepada inangnya seraya berkata, „Ambillah ibu[64]…
duit ini pergi cari pakaian yang baik-baik[65] jangan memakai pakaian ini supaya tiada disangka oleh ayahanda-bondanya ibuku[66] orang yang datang daripada rumah beta.“ Maka Aliah pun menyambut wang itu sambil mencium tangan tuannya lalu keluar pulang bersiap pakaian hendak pergi mendapatkan Faridah Hanom di rumahnya itu.
Bermula ada pun Faridah Hanom manakala sampai ke rumahnya masuklah ianya ke dalam biliknya menanggalkan dan menukar pakaian kemudian berbaring-baring ianya ke atas kerusi panjangnya sambil berfikir segala hal-ehwal yang telah berlaku, maka terasalah kepadanya akan suci bersih kekasihnya daripada segala sangka-sangka yang kejahatan. Dengan sebab ini bertambah-tambahlah kasih sayang cinta berahinya akan kekasihnya itu hingga mesralah rasanya ke dalam segala perjalanan darahnya yang di[67] dalam tubuhnya oleh sempurna percaya ianya, bahawa kehidupannya dengan Shafik Afandi dengan yang demikian ini cukuplah sempurna terpelihara ianya daripada kejahatan yang ditakuti oleh sekalian anak-anak dara yang bangsawan seumpamanya, jikalau ianya tidur bersama-sama kekasihnya di dalam satu tempat tidur sekali pun. Tetapi adalah juga terasa sedikit kecil hatinya perbuatan[68] Shafik Afandi[69] pada hari ini meninggalkan ianya lari turun pulang sekali dengan tidak menunggu atau memeriksa akan halnya itu. Pada fikirannya Shafik Afandi[70] melakukan pekerjaan yang demikian ini rasanya tentulah Shafik Afandi percaya sungguh akan dianya itu bertelanjang berkehendak mengajak Shafik Afandi melakukan pekerjaan yang kejahatan. Di sinilah terasa Faridah Hanom malu yang amat sangat serta terasa sangatlah hina ianya sudah di mata Shafik Afandi, maka datanglah sesal di dalam hatinya melakukan pekerjaan yang demikian itu serta malu rasa hatinya hendak memandang muka kekasihnya lagi. Dengan hal yang demikian keluh kesahlah Faridah Hanom di atas kerusinya tidak tahu apa yang hendak diperbuatnya lalu bangun dari atas kerusinya…
mengempaskan[71] dirinya ke atas tempat peraduannya sambil menangis tersedu-sedu oleh sangat menyesal dan sangat malunya hingga malam hari tiadalah Faridah Hanom keluar daripada tempat peraduannya dipesannya kepada dayangyna Suad jika ayahanda-bondanya mengajak makan di suruh katakan ianya sudah makan. Maka tinggallah Faridah Hanom di dalam peraduannya itu semalam-malaman dengan sesalnya serta malu disangka oleh kekasihnya ianya bertelanjang itu maka tiadalah dapat ianya beradu hingga hampir siang baharulah terlena, seketika hari pun siang lalu bangun mandi bersalin pakaiannya turun berjalan makan fatur pagi bersama-sama ayahanda-bonda dan saudaranya kemudian naiklah semula ianya ke tempatnya duduk di tingkap berfikiran hal di antaranya dengan kekasihnya dan cinta kasih sayangnya telah tersekat oleh kemaluannya maka sesalnya pun bertambah-tambahlah dan marahnya akan Shafik Afandi pun datanglah kepada hatinya oleh kerana menuduh akan dia dengan tuduhan yang sangat jahat dengan tidak usul periksa lagi.
Apparatus criticus
Bearbeiten- ↑ Percubaan yang dahsyat d, Percubaan yang dasyat e.
- ↑ bahaur itu d, e.
- ↑ Suad naik suatu kereta terus kerumah Aliah didapatinya Aliah omitted in e.
- ↑ sesiapa jua c, siapa-siapa d, e.
- ↑ menungkar e.
- ↑ omitted in d, e.
- ↑ pejabat e.
- ↑ teringatlah c.
- ↑ sengahaja d, sengaja e.
- ↑ omitted in c.
- ↑ hatiku takut a.
- ↑ melarat pula d, e.
- ↑ menyangka d, e.
- ↑ cahaya c
- ↑ kelakuannya d, e.
- ↑ tidaklah tahu a, tidaklah dayang tuan tahu d, e.
- ↑ omitted in e.
- ↑ perbuat hari ini a, beta buat dia hari ini d, e.
- ↑ ceteralah c, berceritalah d, e.
- ↑ banyaklah d, e.
- ↑ akan dia omitted in c.
- ↑ dan kemudian d, e.
- ↑ omitted in d, e.
- ↑ susu c.
- ↑ bangunan
- ↑ omitted in d, e.
- ↑ kita c.
- ↑ kerana membuat kesalahan
- ↑ hujung d, e.
- ↑ kesalan d, e.
- ↑ tuan ibu dan a, tuan ibu dan itu d, e.
- ↑ hendak menyimpan d, e.
- ↑ pekerjaran d, e.
- ↑ pulanglah d, e.
- ↑ diikuti d, e.
- ↑ sepeninggalan a, d, e.
- ↑ missing in c.
- ↑ ingatannya a.
- ↑ telah jadi di antaranya dengan kekasihnya dan apa yang missing in d, e.
- ↑ menyesalnya d, e.
- ↑ di hadapannya di dalam biliknya itu c, di hadapan biliknya itu d, e.
- ↑ apa kerja ibuku datang ini di mana kekasihku c, apa kerja ibuku datang dan di mana kekasihku d, e.
- ↑ bilik lepas d, e.
- ↑ omitted in d, e.
- ↑ tuan d, e.
- ↑ balik c, terbalik d, e.
- ↑ menyimpan pekerjaan yang kejahatan, sepatutnya tuanlah pula menyimpan pistol ini e.
- ↑ kiranya a.
- ↑ tidak apanya boleh tuan c, tidaklah apa boleh d, e.
- ↑ ia d, e.
- ↑ atas kesalahannya c.
- ↑ melihat c.
- ↑ omitted in c.
- ↑ tentu c.
- ↑ semakinlah e.
- ↑ perginya d, e.
- ↑ menyinggung c, menggantung d, e.
- ↑ a b c d omitted in d, e.
- ↑ omitted in c.
- ↑ karena in a, omitted in c.
- ↑ hendakkan d, e.
- ↑ itu e.
- ↑ atas c.
- ↑ ibuku d, e.
- ↑ baik e.
- ↑ ibu c.
- ↑ omitted in c.
- ↑ atas perbuatan c.
- ↑ perbuatan Shafik Afandi itu d, e.
- ↑ pada hari ini meninggalkan ianya lari turun pulang sekali dengan tidak menunggu atau memeriksa akan halnya itu. Pada fikirannya Shafik Afandi omitted in d, e.
- ↑ menghempaskan d, e.