Hikayat Faridah Hanom 16

Manakala sampai sahaja jam yang ditentukan oleh Faridah Hanom di dalam suratnya itu, berjalanlah Shafik Afandi menuju rumah kekasihnya itu. Maka didapatinya pintunya terbuka bagaimana sehari-hari. Lalu terus ia masuk ke taman duduk di tempat yang dahulu juga menunggu akan kekasihnya datang umpama pungguk merindukan bulan. Ada pun Faridah Hanom apabila dilihatnya dari tingkap tempat yang ia duduk itu kekasihnya datang, maka bangunlah ia perlahan-lahan masuk ke dalam bilik­ nya mengambil setangkai bunga dipegangnya sambil berjalan turun dengan menggeletar dan lemah rasa anggotanya oleh lama sangat tidak berjumpa itu. Serta sangatlah sedih[1] hatinya oleh per­ buatan kekasihnya memutuskan perjumpaan hingga surat-surat pun tiada hendak ditulisnya macam seolah-olah seperti ia telah membuat kesalahan yang besar kepadanya. Di dalam ia berfikir itu sampailah ia ke dalam tempat Shafik berhenti itu[2]. Maka Shafik pun segeralah bangun, dan Faridah Hanom masuk itu sambil bertanya, "Di manakah tuan selama ini. Bermimpikah kita bertemu malam ini." Maka Shafik pun berjalanlah ke hadapan sedikit sambil memberi hormat dan menyambut kekasihnya[3] serta berkata: "Kehidupan baharulah malam ini wahai belahan badan dan timbangan nyawa." Apabila berpandangan mata dengan mata, maka tiadalah tertahan lagi hati Faridah Hanom, lalu mencampakkan dirinya ke dada kekasihnya dengan tangisnya sambil berkata Iagi, "Kemanakah tuan selama ini?" Maka Shafik Afandi pun menyambut kekasihnya didukungnya bawa masuk ke dalam bilik[4]

Fasal yang keenambelas
SHAFIK DENGAN FARIDAH

duduk di atas kerusi, sambil memujuk dengan beberapa perkataan yang lemah­lembut, serta menyapu air matanya. Lalu bersyair demikian bunyinya:

Syukurlah kami wahai Tuhanku
Nikmat kurnia Mu apa berlaku
Mengembalikan nyawa ke dalam badanku
Di perjumpakan balik akan maksyukku

Allahu Akbar adikku Faridah
Percintaan abang bukanlah mudah
Perasaan dunia habislah sudah
Oleh kehilangan paras yang indah

Habislah kekayaan dan kesenangan
Lenyap segala fikir kenangan
Oleh terlintas bidadari kayangan
Kepada Badaruddin jadi tunangan

Azabnya abang menanggung nestapa
Bercintakan adik yang putih sapa
Mencari mati berap-rap
Di medan peperangan abang menerpa

Siksanya abang beberapa lama
Percintaan mesra hingga ke roma
Tuan yang tinggal suka bercengkerama
Naik mempelai Badaruddin bersama

Abang mengarung lautan darah
Tak gentar mati walau sezarrah
Adinda di sini jamuan dikerah
Bernikah sama sedaging sedarah

Berkahwin sama saudara sendiri
Pergi ke lskandariah laki-isteri
Tinggallah abang seorang diri
Di lautan darah mabukkan puteri

Sungguh pun demikian laku adinda
Wallah tidak berubah kekanda
Cinta dan asyik mangkin[5] berganda[6]
Siang dan malam percintaan menggoda

Siang malam asyikkan tuan
Roh semangatku sentiasa mengawan
Kematian abang nyata ketahuan
Jika tak kasihan emas tempauan[7].


Ayuhai nyawa, ruh badanku
Azabnya bercerai daripada adikku
Tiga tahun membuang nyawaku
Hendakkan mati tidak berlaku

Ayuhai Faridah puteri yang indah
Nyawa abang kembalilah sudah
Berjumpa adikku, ayuhai Sayyidah
Dunia baharu terasa faedah.

Maka Faridah Hanom pun tiadalah tertahan hatinya mendengar perkataan kekasihnya itu, sangatlah belas rasa hatinya mendengarkan syair kekasihnya dengan tangisnya itu. Lalu dijawabnya dengan tangisnya, sambil menyembamkan mukanya ke dada kekasihnya dan memeluk lehernya dengan dua belah tangannya:

Ayohai Shafik ayohai kekasihku
Ayohai roh semangat badanku
Demi Allah demi Tuhanku
Peperangan adinda besar berlaku

Besarlah lagi peperangan adinda
Daripada medan peperangan kakanda
Tiga tahun adinda melanda
Baharulah ini menang dan reda

Kakanda berperang membunuh seteru
Adinda diperangi bapa dan guru
Kakanda dapat menembakkan peluru
Adinda hanya dada digaru

Menahankan hati berbanyak sabar
Sakit terhantar umpama gambar
Asyik dan cinta Allahu Akbar
Siang dan malam berhati gubar

Sebab pun adinda demikian pekerti
Kesukaan kakanda sangat dihajati
Dengan ayahanda disuruh berbakti
Jangan durhaka sampai ke mati

Adinda percaya dengan sebenarnya
Jika adinda melawan ianya
Kekandalah yang mula zahir murkanya
Barangkali kasih bantut semuanya

Sebab inilah adinda tahan
Beberapa asyik cinta membahan
Mencari ikhtiar dengan perlahan
Mendapatkan ayahanda punya kasihan

Sekarang habis sekalian bala
Kembali adinda sediakala
Dengan peliharaan[8] Allah Taala
Badanku tak tersentuh daripada mula

Ayohai Shafik Ayohai kekasih
Janganlah abang berhati selisih
Badan adinda sangatlah bersih
Bagaimana selamanya begitulah masih



Sungguh pun berkahwin perkataan[9] tuan
Badanku tak pernah disentuh kawan
Demi Tuhan alam al-akwan
Percayalah sumpah anak bangsawan

Sampai hati ayohai kakanda
Menyimpan syak di dalam dada
Macam menuduh akan adinda
Memecahkan sumpah setia yang ada

Adinda perempuan daif kejadian
Terkurung di rumah membela pakaian
Syukurlah kepada llahi al-Dayan
Dapat berikhtiar jadi demikian

Jikalau menurut tabiat abang
Susah hati larilah terbang
Masuk berperang di segenap lubang
Bolehkah kehendak hasil dan kembang

Susah hati membuangkan diri
Masuk berperang ke Sudan negeri
Bilakah sampai hajat digemari
Tak mahu berikhtiar barang sejari

Baiklah juga perempuan yang leta
Akal dan ikhtiar dibuat senjata
Dengan halusnya menyampaikan cita
Ayahanda dan bonda menurut kata

Terlepaslah daripada seteru syaitani
Badaruddin yang bukan benih insani
Bertemu balik maksyukku ini
Syukurlah ya Allah ya Rabbi ya Rahmani

Maka Shafik Afandi pun tiada lagi tertahan hatinya mendengar dayu kekasihnya itu. Segeralah diangkatnya kepalanya daripada dadanya, dipangkunya dilengannya, sampai dikeluarkannya sapu tangannya disapunya air mata kekasihnya dengan sangat belas kasihan rasa hatinya melihat muka kekasihnya itu pucat onis alamat percintaan yang ditanggung. Maka pada masa itu tiadalah tertahan hatinya lagi lalu dikucup dua tiga kali didahinya. Maka Faridah Hanom pun segeralah bangun daripada pangkuan ke kasihnya duduk di atas kerusi menyapu mukanya.


Shafik mendukung Faridah adinda
diangkat masuk dipeluk ke dada
rindu bertahan mana yang ada
dicurahkan menurut fashion Belanda

Shafik bersyair Faridah dipeluk
Sapu tangan di pukit segeralah diseluk
Air mata disapu bukanlah oluk
Terbanglah habis tarbush tengkuluk

Faridah menjawab syair kekasihnya
Kasihan dan merajuk rasa hatinya
Kerana Shafik meningalkan dianya
Tiga tahun tiada apa khabarannya

Maka Shafik Afandi pun segeralah merapatkan kerusinya berhadapan dengan kekasihnya sambil mengambil tangannya dikucupnya serta berkata: "Tuan roh badan abang, tiga tahunlah sudah abang menanggung percintaan bagaikan mati. Maka pada malam inilah baharu abang hidup semula rasanya. Daripada hari ayahanda tuan menolak akan pinangan ayahanda abang itu fanalah rasanya dunia ini di mata abang. Telah beberapa kali abang menimang-nimang akan pistol hendak menembak diri abang tetapi perasaan mati sia-sia sahaja itu telah menolak akan abang mencari kematian di dalam medan peperangan, kerana berkhidmatkan kaum dan watan. Maka oleh sebab sangat-sangatlah abang benci menjadi pengacau yang boleh menjadikan abanglah sebab tuan menyalahi akan keredaan dan kesukaan ayahanda-bonda tuan, jadi berikhtiarlah abang dengan seberapa boleh memasukkan diri abang di dalam tentera yang pergi berperang ke Sudan. Maka di sana beberapa kali rempuhan ke dalam tentera musuh yang besar-besar yang abang merempuh dengan niat berkehendak segera mati syahid. Tetapi ditakdirkan oleh Tuhan abang keluar daripadanya selamat sempurna juga dengan tiada mendapat suatu cacat-cela pun di dalamnya. "Pada akhirnya abang mendapat pangkat memerintah suatu puak daripada tentera Sudan. Maka oleh kerana peperangan telah berhenti dan kematian yang abang harapi itu jauh sudah rasanya, jadi terpaksalah abang meminta berhenti daripada pekerjaan abang, balik semula ke Mesir. Maka bila abang sampai ke Mesir, abang mendapat khabar tuan telah berkahwin dengan Badaruddin Afandi. Cubalah nyawa abang fikir bagaimanakah hal abang masa itu? Dahulu abang lari berperang ke Sudan, kerana abang takut jangan abang jadi pengacau[10] di antara tuan dengan ayahanda­bonda tuan. Maka sekarang ini jika abang duduk juga di Mesir lagi, tentulah abang jadi pengacau di antara orang laki-isteri pula. Oleh sebab abang hendak meminta[11] izin daripada ayahanda abang belayar ke lain negeri masa ini tentulah tidak dibenarkannya[12] kerana abang baharu balik. Jadi abang memintalah daripadanya kebenaran duduk sebulan dua di Iskandariah. …


Dan di sanalah baharu abang hendak menetapkan ke mana-mana abang hendak membuang diri pula. "Tetapi takdir Tuhan rupanya abang pergi mengejar tuan dengan tidak sengaja. Maka bila abang menerima surat tuan di lskandariah itu, tiadalah abang dapat membaca betul apa-apa bunyinya. Dan bila sampai abang balik ke Mesir, abang ulangilah semula baca. Maka baharulah abang mengerti betul. Ketika itu yakin percayalah abang apa-apa yang tuan sebutkan di dalam surat itu, tentulah tuan Iakukan. Maka daripada hari itulah abang terasa diri abang duduk di dalam rumah abang itu bagaimana keadaan kuih atau cucur bingka di atasnya api, di bawahnya api. Keluh­kesahlah abang tiada tahu apa yang abang hendak perbuat. Sentiasalah jantung limpa abang berkelahi di antara dua peringatan, takutkan mengacau anak bini orang, dengan kasih cinta asyik akan tuan, sehingga sampai hari abang menerima jawab soal daripada mofti Mesir di dalam surat khabar itu. Maka daripada hari itulah melayang turun semula roh semangat abang. Dan pada malam inilah baharu balik semula ia masuk ke tempatnya pulang pulih bagaimana selamanya oleh dipalu cahaya keelokan nyawa abang." Serta bangunlah Shafik memeluk kepala kekasihnya serta diciumnya dahinya[13] berturut-turut beberapa kali. Maka Faridah Hanom pun mengambil tangan kekasihnya diciumnya beberapa kali sambil berkata: "Shafik kekasihku yang tunggal. Kesusahan tuan itu dapatlah juga tuan melepaskan geram memburu dan membunuh sekalian kaum Darwish di Sudan sana. Maka kesusahan beta di manakah dapat beta dapat melepaskan dia, lain daripada memburu dan membunuh akan hati dan jantung limpa beta sendiri. Hingga terhantarlah beta di dalam medan peperangan hati dan jantung limpa itu dengan tiada beta masuk belajar terlebih dahulu ke dalam sekolah[14] peperangan mengambil pengetahuan akan silat kuntau bagaimana…


kakanda. Jadi pada akhirnya tertawalah beta oleh musuh yang hendak memberi bahaya akan setia beta kepada kakanda itu. Maka bolehlah kakanda sendiri fikir dan timbang rasa bagaimanakah azab sengsara yang beta merasa tujuh puluh hari di dalam penjara tawanan itu, sehingga dapat beta lepas keluar daripadanya dengan selamat sempurna tiada suatu cacat cela bagaimana kekanda balik dari Sudan itu tiada suatu cacat celanya juga."

Maka Shafik Afandi pun bertelut di hadapan kekasihnya, sambil menarik tangannya dicium di[15] junjungnya seraya berkata: "Nyawaku Faridah Hanom, gemala segala perempuan. Tuan perempuan yang padan dengan rupa dan adab peraturan dengan akal pengetahuannya yang sukar didapati bandingnya di bawah langit Mesir ini. Maka patutlah[16] abang mati di bawah kaki tuan kerana dengan bijaksana tuan abang telah kembali hidup semula." Maka Faridah Hanom pun tersenyum melihat hal kekasihnya itu sambil dipegangnya tangannya, didudukkannya ke atas kerusi di sisinya, seraya berkata: "Tinggalkanlah segala perkara yang telah lalu itu. Baiklah kita berkira membetulkan perkara yang akan datang ini." Lalu diceritakannya segala hal-ehwalnya yang telah berlaku di antaranya dengan ayahandanya dan Badaruddin, dan kehendak saudaranya Muhammad Afandi tiada hendak menzahirkan nikahnya itu tidak sah supaya jangan malu ayahandanya. Kemudian katanya, "Agaknya fikiran saudara beta itu pun betul juga tiadalah patut beta memberi aib malu ayahanda beta. Tetapi jika dibiarkan hal ini di tangan loyar semata-mata nescaya berlamaanlah masanya kelak. Apakah fikiran tuan?" Ada pun Shafik Afandi di dalam Faridah Hanom berkata-kata itu ia tunduk berfikir di dalam hatinya. Maka terlintaslah di dalam…


fikirannya suatu pekerjaan, tetapi tiadalah hendak dikhabarkan­ nya kepada Faridah Hanom, takut dilarang oleh Faridah Hanom akan dia. Hanyalah katanya, "Perkara menyegerakan mendapat keselesaian perkara ini serahkan[17] kepada abang pula membuat kerjanya. Sebab selama ini abang tiada berani campur oleh fikiran abang sebenarnya nyawa abang isteri orang. Maka sekarang telah teranglah bukannya. Pandailah abang membuat pekerjaannya yang menyegerakan sampai maksud kita." Maka Faridah Hanom pun terkejutlah mendengar perkataan Shafik Afandi itu, sebab serta menyertalah ditangkap oleh hatinya akan Shafik Afandi itu hendak bergaduh dengan Badaruddin. Maka menyesallah rasa hatinya mengajak Shafik Afandi berikhtiar di dalam perkara ini. Lalu ia bangun memeluk leher kekasihhnya seraya berkata: "Janganlah abang mencari jalan bergaduh dengan siapa-siapa di dalam perkara ini. Bermula Tuhan yang telah mengurniakan rahmatNya menyampaikan hajat kita dengan baiknya begini lama. Tentulah ada rahmat rahimNya lagi menyempurnakan pertemuan kita dengan berjauhan kita daripada mara bahaya." Maka Shafik Afandi pun kasihan belas rasa hatinya melihat kekasihnya menangis itu serta dengan sangat heran hatinya melihat bijaksana seorang perempuan yang sangat muda menangkap kehendak hati seseorang di dalam sedikit perkataan sahaja. Maka bertambah-tambahlah kasih sayangnya akan kekasihnya itu lalu disambutnya kepalanya direbahkannya ke atas ribaannya, dipeluk diciumnya sambil berkata: "Diamlah tuan, tiada akan abang gila pergi berkelahi dengan siapa-siapa pula. Janganlah tuan bimbang sangat, cuma abang hendak menjalankan ikhtiar sahaja." Maka Faridah Hanom pun menyembamkan mukanya dipangkuan kekasihnya seraya berkata: "Abang bersumpahlah dahulu tidak hendak pergi berkelahi dengan siapa-siapa pun di dalam perkara ini. Jika tidak, maka tidaklah beta lepaskan abang keluar daripada sini, biarlah sampai siang dilihat oleh orang…


dan diketahui oleh ayahanda-bonda beta. Redalah beta menanggung kemaluan yang demikian itu daripada beta menanggung azab sengsara mabuk dengan percintaan beberapa tahun bagaimana yang telah lalu." Maka Shafik Afandi pun tiadalah terkata-kata lagi. Beberapa dipujuknya akan kekasihnya tiadalah juga ia hendak bangun daripada ribaannya, disuruhnya juga bersumpah terlebih dahulu. Apabila dilihat oleh Shafik Afandi akan fajar telah menyingsing alamat hari akan siang, tiadalah berdaya lagi lalu mengangkat sumpah bagaimana yang dikehendaki oleh kekasihnya, tiada hendak pergi bergaduh[18] dengan siapa-siapa pun. Maka Faridah Hanom pun bangunlah daripada ribaan kekasihnya, dan Shafik pun berdiri bermohon pulang kerana hari hampir akan siang. Maka Faridah Hanom pun memegang tangan kekasihnya, dibawanya berjalan sama hingga ke muka pintu luar sekali. Kemudian Shafik Afandi pun bermohon daripada kekasihnya dan Faridah Hanom pun memeluk leher kekasihnya sambil berkata: "Kasihankanlah[19] akan beta, selalu abang datang berjumpa beta." Maka Shafik Afandi pun mencium kepala kekasihnya seraya berkata: "Sekarang tiadalah apa-apa, setiap malam pun boleh abang datang mengadap tuan maka jika tuan hendak berjumpa abang bolehlah tuan suruh Khatun berkhabar kepada saudaranya. Maka hendak pun kita berjalan-jalan bagaimana dahulu tiadalah elok lagi oleh diketahui orang pada zahirnya tuan isteri orang." Kemudian Shafik Afandi pun memberi salamat tinggal lalu berjalan terus ke rumahnya, dan Faridah Hanom pun berjalan masuk terus naik ke atas rumahnya sambil menyapu air matanya masuk ke dalam bilik air membasuh mukanya kemudian bersalin pakaiannya lalu naik ke atas peraduannya beradu.

Critical apparatus

Bearbeiten
  1. sedihnya d, e.
  2. omitted in d, e.
  3. kekasihnya itu d, e.
  4. balik a.
  5. makin e.
  6. mengganda d, e.
  7. tempahan d, e.
  8. pelihara c.
  9. kata c.
  10. peperangan e.
  11. minta d, e.
  12. dibenarkan e.
  13. di dahinya d, e.
  14. ke sekolah d, e.
  15. omitted in c.
  16. itulah c.
  17. sahkan c.
  18. bergaduh-gaduh d, e.
  19. Kesankanlah c.