Hikayat Faridah Hanom 19

Kata yang empunya cetera sentiasalah Shafik Afandi bersuka-sukaan dengan isterinya, Faridah Hanom terkadang­kadang dibawanya ke rumahnya, dan terkadang-kadang tidur ianya di rumah isterinya dengan tiada berlaku sekali-kali kesalahan apa­apa yang telah diakunya dengan mertuanya hendak menunggu lepas tiga bulan itu. Dengan hal yang demikian lepaslah sudah tiga bulan maka Kasim Bey pun mengangkatlah kerja besar menikahkan anakanda kedua menjemput sekalian orang besar­besar negeri dan orang putih serta memberi sedekah fakir miskin terlalu banyaknya. Maka pada waktu saat yang baik bersandinglah Shafik Afandi dengan Faridah Hanom kemudian daripada telah dinikahkan semula oleh ayahandanya di hadapan orang yang ramai.

Fasal yang kesembilanbelas
BERKAHWIN

Ada pun bonda Faridah Hanom dengan bonda Shafik Afandi keduanya berjaga-jaga sendiri akan hal puteranya sebab dipesan oleh suami masing-masing hendak mengetahui pengakuan puteranya. Sebab sangat-sangatlah syak di hati keduanya menerima perkataan anakanda kedua, bahawa keduanya berkasih-kasihan selama ini seumpama saudara tiada berlaku sekali-kali pekerjaan yang memberi cedera nama kedua ayahanda bondanya. Istimewa sekali Kasim Bey sangatlah masygul hatinya serta…


sangat malunya kepada Talat Bey akan hal puterinya oleh kerana syaknya bertambah-tambah sebab anakanda[1] telah bersuami lebih kurang tiga bulan kemudian duduk pula dengan Shafik Afandi lebih tiga bulan. Jika sekiranya tiada pengakuan Shafik Afandi dan pengakuan puterinya yang diketahui oleh besannya tiadalah menjadi apa-apa jika sesuatu hal di dalam kahwinnya ini kerana anakanda[1] telah bersuami. Tetapi pengakuan anakanda itu diketahui oleh Talat Bey. Dengan sebab ini apakala sampai tujuh hari lepas bersatu ini belum juga ada khabar apa-apa daripada isterinya bertambah-tambahlah dukacitanya.

Ada pun Shafik Afandi laki-isteri di dalam peraduannya itu maka lalai keduanya dengan pujuk rayu pangku dan belai siang adan malam tiadalah keduanya ingatkan makan dan minum. Maklumlah sekalian tuan-tuan pembaca hal orang yang telah mesra asyiknya disegenap perjalanan darahnya apabila bertemu ia dengan maksyuknya dengan kebebasan yang menghilangkan segala ketakutan daripada perasaan atau[2] pandangan atau pun sebutan yang tiada gemari[3] oleh ahli-ahli pelajaran yang bangsawan. Tetapi sungguh pun keduanya telah mendapat kebenaran daripada ayahanda bondanya dan kebenaran daripada maruah kehormatan anak-anak yang bangsawan yang berpelajaran, maka sentiasalah jua Faridah Hanom anak dara yang sangat setia dengan bijaksananya itu menahan dirinya dengan permohonan yang menunjukkan kemanjaan dan kasih sayangnya daripada suaminya janganlah kiranya suaminya melakukan kepadanya apa-apa perbuatan yang belum pernah berlaku di atasnya dengan kekerasan. Maka diterimalah oleh Shafik Afandi permohonan isterinya itu asalkan hendaklah isterinya menurut kehendaknya apa-apa yang lain daripada itu. Maka Faridah Hanom pun sangatlah suka hatinya mendengarkan suaminya menerima permohonannya itu. Dengan sebab ini diturutinyalah[4] apa-apa kehendak suaminya yang menyukakan hatinya.


Allahu Akbar di sini lemahlah kalam daripada melata di atas kertas yang bersih ini pada menggoreskan apa-apa yang berlaku di antara kedua asyik dan maksyuk ini di dalam peraduannya. Tetapi oleh sebab bersangatan kalam takutkan kemurkaan sekalian tuan­tuan pembaca yang dikasihi, terpaksalah juga kalam mendayu-dayu dan bergurindam dengan syair yang melipurkan sedikit asyik cinta berahi kalam yang berlamaan akan kertas yang saf ini.

Ya Ilahi Khaliqul alam
Ampun maafMu kepada kalam
Menuliskan ehwal pengantin di dalam
Kelambu yang berupakan emas bersulam

Lemahlah kalam menyempurnakan warta[5]
Menggores di kertas semua cerita
Oleh terasa berahi bercinta
Asyik dan masyuk bersuatu anggota
 
Laila dan Majnun telah berjumpa
Yusof dan Zaleha bertemu rupa
Maklumlah pembaca saudara dan bapa
Asyik bertahun baharu bersapa

Bakawali dan Taj telah bersama
Menyampaikan hajat cinta yang lama
Allahu Akbar Ilahi saksama
Menggeletarlah rasa bulu dan roma

Pangku dan belai rayu dan pujuk
Besi yang panas menjadi sejuk
Shafik yang asyik kehendak ditunjuk
Muka ditumus di pertengahan tajuk

Faridah Hanom perempuan budiman
Sungguhpun[6] asyik berapa zaman
Berasalah seram bulu dan roman
Jadilah hati tidak siuman

Shafik memandang Faridah adinda
Berupa masyghul nampaknya ada
Diangkat dipeluk didakap ke dada
Berkata ayohai nyawa kakanda



Mengapakah adik berdiam diri
Tidak bagaimana sehari-hari
Masygul nampaknya intan baiduri
Apa yang dikenangkan adikku puteri

Faridah menjawab melepas dirinya
Menjawab perkataan dengan tangisnya
Ayohai abang dengan sebenarnya
Kasih adinda bagaimana selamanya

Tetapi sengaja adik pohonkan
Kasihan abang adik harapkan
Bagaimana selama begitulah lakukan
Jangan yang lain abang kehendakkan

Shafik menjawab sambil tertawa
Diangkat dipeluk ke dada dibawa
Ayohai adikku timbangan nyawa
Sangatlah sengsara kita berdua

Azab sengsara berapa lama
Percintaan mesra ke hujung roma
Sampai masanya dapat bersama
Percintaan yang lain pula menjelma

Janganlah bercinta adikku tuan
Roh semangat abang yang rawan
Tajuk mahkota emas tempawan[7]
Taatlah abang kehendak bangsawan

Taatlah abang menjunjung titah
Tidak melanggar barang sepatah
Jika tidak izin perintah
Haram tak berani membuat keletah

Shafik berkata isteri diangkat
Dipeluk dicium di pipinya lekat
Tangannya di kemuncak[8] menara yang berkat
Dibukanya kancing dada yang menyekat

Faridah pun tidak berkeras[9] diri
Kerana hatinya kuranglah ngeri[10]
Mendengar perjanjian[11] suami sendiri
Diturutnya sahaja laku dan peri

Berjalanlah nafsu Shafik yang terbuku[12]
Subhanallah Ilahi Tuhanku
Keduanya lalai belai dan pangku
Hanya ke taman tak sampai laku



Di sinilah[13] kalam terasa lemah
Menuliskan semua pegang dan jamah[14]
Asyik dan maksyuk muda berhemah
Melakukan kesukaan di dalam rumah

Segala perkara apa yang di suka
Semuanya itu berlaku belaka
Terkadang berbaju terkadang terbuka
Hanyalah tak rapat[15] ke pintu neraka

Syabaslah Shafik anak teruna
Menahan hatinya sangat sempurna
Nafsu ditahan tak lepas ke mana
Memeliharakan hati raja betina

Hari ketujuh sampailah sudah
Puteri tak dapat Shafik permudah
Penglipur Iara di pelihara Faridah
Shafik ke pintunya ditahan Sidah

Shafik Afandi mabuk dan rawan
Berahinya memalu tidak ketahuan
Berhambur air mata muda bangsawan
Ke pangkuan isterinya menyembamlah tuan

Mabuklah Shafik menahan hatinya
Menyembamkan muka ke pangkuan isterinya
Suatu pun tiada apa katanya
Kasihanlah Faridah memandang halnya

Faridah pun kasihan melihat kakanda
Diangkat kepala dipeluk berpada
Berkata sambil mencium dada
Marilah abang bersama adinda

Marilah abang kita nan mandi
Panasnya badan daripada tadi
Adik nan sudah menjadi abdi
Tak ada kebenaran takutkan bahadi

Shafik pun bangkit sambil tertawa
Mendukung isteri serta dibawa
Ke bilik mandi sama berdua
Dayang menyediakan alatan semua

Bersiramlah kedua dewa kayangan
Bergurau senda tiada alangan
Faridah memegang sabun di tangan
Menggosok suaminya manis pandangan[16]



Sudah bersiram Shafik yang garang
Keluar meninggalkan isteri seorang
Bersiramlah Faridah wajah yang terang
Membersihkan badan intan di karang

Demikianlah laku hal keduanya
Bergurau senda setiap masanya
Tujuh hari tujuh malamnya
Shafik tak rapat ke pintu tamannya

Faridah pandai menjaga diri
Shafik tak berani sekali mengkasari
Kerana takutkan murka isteri
Ditahanlah juga hati sendiri

Apabila sampai malam kedelapan
Datanglah mengantuk Faridah yang tampan
Di ribaan kakanda muka berhadapan
Letih dan lesu menghilangkan sopan

Tujuh malam bidadari indera
Oleh kebimbangan beradu tak cendera
Malam kedelapan hilanglah kira-kira
Lena tertidur intan mutiara
 
Lenalah tidur Faridah yang elok
Mukanya bercahaya umpama loklok
Cantiknya tak dapat banding dan tolok
Shafik mencium diangkat dipeluk

Shafik melihat hal adinda
Kasihan belas kasih berganda
Perlahan diletakkan dibantal perada
Dipeluk dicium berpada-pada

Shafik menilik keelokan isteri
Nampaklah cahaya badan berseri
Umpama bulan empat belas hari
Disaput mega awan berlari

Tubuh Faridah umpama bulan
Pakaiannya umpama awan berjalan
Menyapu cahaya puteri handalan
Menahan sinarnya menyuluh taulan

Shafik pun mabuk tergoyang-goyang
Keluar berjalan badan pun gayang
Meninggalkan isteri rasanya sayang
Segeralah mengambil air sembahyang



Faridah beradu mengiring mulanya
Kemudian lentang lama kelamaannya
Zahirlah nyata sinar tubuhnya
Umpama berlian elok canainya

Shafik pun balik kepala tak panggung
Ke dalam peraduan duduk bertenggung
Di panah cahaya Faridah yang agung
Datanglah berahinya tidak tertanggung

Datanglah hati tidak siuman
Bangunlah Shafik muda beriman
Berhenti di jalan ke pintu taman
Lupakan janji usul budiman

Kudrat Tuhan Ilah al-Ali
Awan dan mega tersingkap sekali
Bintang zaharah nampak tajali
Zahirlah kubah keramat dan wali

Shafik pun khayal di situ sebentar
Seluruh anggota rasa menggeletar
Mengucaplah ianya ya rabbi ya sattar
Ampunkan dosaku Ilahi ya Ghaffar

Mabuklah Shafik di bahan gelora
Hilanglah peringatan hilang kira-kira
Anak kunci kubah dipadukan segera
Merebutkan sementara Faridah nan cendera

Dirasanya pintu besi khursani
Shafik menyeru ya Allah ya Rahmani
Kurniakan rahmat hambaMu ini
Masukkan ke syurga jannat adnani

Malaikat rahmat turun berterbangan
Muda yang sabar sampailah angan-angan
Terbukalah olehnya pintu kayangan
Lazatya meliputi tubuh dan tangan

Masuklah Shafik ke jannat unnaim
Menerima nikmat llahul Azim
Lazatnya mesra ya Rabbi ya Rahim
Seluruh anggota mengucap ya Karim

Terlal(ai) seketika Shafik di situ
Melihatkan bersih kubahnya itu
Alamat permulaan terbuka pintu
Nampaklah nyata hilanglah mutu

Faridah nan lena umpama mati
Tak sedar sekali apa pekerti
Bila terasa perbuatan menyakiti[17]
Baharulah terkejut sambil memerati[18]



Di perhatikan kakanda menindih ianya
Menepuk memalu pintu kubahnya
Beberapa hendak melepas dirinya
Lemah dan lembut sendi anggotanya

Menangislah Faridah perlahan-lahan
Dipujuk Shafik usul pilihan
Suaranya manis tertahan-tahan
Sampailah hajatnya ditakdirkan Tuhan

Bangunlah Shafik menyambut isteri
Dipeluk dicium berperi-peri
Dipujuk berapa perkataan digemari
Faridah pun bangun turunlah lari.

Shahdan ada pun bonda Faridah Hanom bersama-sama bonda Shafik Afandi berjaga-jaga di luar bermain serba-jenis permainan yang menyukakan hati sentiasalah juga bonda Faridah Hanom di dalam peringatan kebimbangan akan hal anakanda oleh telah lepas tujuh malam sudah tiada suatu pun nampaknya yang boleh menyenangkan hatinya. Maka malunya akan besannya, bonda Shafik itu pun bersangatanlah rasanya. Tetapi oleh sebab ia seorang perempuan yang bijakssana dapatlah juga dihiburkannya dengan permainan yang menghiburkan hati. Maka pada malam yang kedelapan itu di dalam pukul sepuluh didengarnya suara puterinya Faridah Hanom menangis sayup­sayup bahasa. Maka segeralah dipanggilnya Saad hendak disuruhnya masuk melihat apakah halnya, tiba-tiba dilihatnya anakanda keluar berlari-lari mendapatkan ia menyembamkan mukanya keribaannya. Maka segeralah disambutnya puterinya itu, dipeluk diciumnya. Kemudian terpandanglah ia ke baju shimis sutera putih yang dipakai oleh anakanda itu didapatinya ada nampak nyata tanda-tanda yang menghilangkan syak wasangka waswas suaminya, iaitulah tanda-tanda yang dikehendaki bagi anak-anak perempuan yang bangsawan pada permulaan kahwinnya supaya membersihkan nama kedua ibu bapanya dan membersihkan mukanya di hadapan kaumnya. Maka segeralah dipeluk diciumnya akan puterinya…


serta dipujuknya dengan berbagai-bagai perkataan yang memadamkan kemarahan Faridah Hanom akan suaminya, sambil diisyaratkannya[19] kepada besannnya, bonda Shafik Afandi akan tanda-tanda yang di baju Faridah Hanom itu. Kemudian diangkatnya kepala anakanda[20] serta disuruhnya mendapatkan bonda Shafik Afandi. Maka Faridah Hanom pun bangunlah mendapatkan mertuannya mencium akan tangannya. Dipeluk dicium oleh mertuanya akan dia dengan terasa kasih sayang yang amat sangat di dalam hatinya. Seketika lagi keluarlah Shafik Afandi dari dalam biliknya mendapatkan mertuanya dan bondanya, maka kemudian daripada telah mencium ia akan tangan bondanya kedua itu berjalanlah ia ke anjung sambil tersenyum memandang akan isterinya. Maka Faridah Hanom pun menjeling sambil menggigit akan bibirnya. Maka tertawalah bondanya kedua melihatkan hal Faridah Hanom marahkan Shafik Afandi itu sambil berkata: "Janganlah tuan marahkan kakanda itu di dalam perkara yang wajib berlaku di antara orang laki-bini, bukannya tuan budak yang bodoh sangat tidak mengertikan halnya. Maka Faridah Hanom pun tunduk malu mendengar perkataan bondanya itu lalu dibawa oleh bondanya akan dia berjalan masuk kedalam bilik mandi disiramkan akan dia menurut adat yang wajib kemudian dihiasi puterinya dengan pakaian yang indah-indah serta diberinya makan serba jenis makanan yang memulihkan selera anggotanya semula. Lalu dibawanya berjalan ke anjung didudukkannya bersama-sama Shafik Afandi di hadapi oleh sekalian dayang-dayang.

Maka apabila telah keluarlah bonda dari dalam bilik memanggil akan suaminya Kasim Bey bersama-sama Talat Bey naik ke atas berpalinglah Shafik Afandi kepada isterinya, sambil berkata: "Tuan nyawa abang. Haraplah abang tuan ampun akan dosa abang pada kali ini, kerana sebenarnya abang…


berkhabar bahawa perbuatan kilap bebal abang yang telah berlaku itu hanyalah semata­mata di dalam masa abang kehilangan akal peringatan oleh terminumkan syerbat keelokan nyawa abang yang memabukkan sekalian fakih dan abid yang telah membuang akan dunia ini. Maka beranilah abang bersumpah dengan nama Tuhan llahul Azim, bukanlah sekali-kali abang membuat angkara itu di dalam masa akal fikiran abang yang sempurna. Dengan sebab ini, jika tuan kekalkan juga kemurkaan tuan di atas abang kerana perbuatan abang yang telah terlanjur itu, nescaya berdosalah tuan kepada Tuhan Rabbul Alamin.

Maka Faridah Hanom pun mengangkat kepalanya memandang kepada suaminya, dilihatnya suaminya berkata-kata itu sesungguhnya dengan berupa sangat menyesal nampaknya, oleh berlinang-linang air matanya. Maka Faridah Hanom pun terasalah kasihan di dalam hatinya, lalu ia tersenyum menjawab perkataan suaminya itu, "Abang[21] janganlah tersalah[22] sangka di atas adinda. Bukanlah[23] adinda marahkan kakanda, kerana kakanda melakukan pekerjaan yang hak kakanda boleh melakukan dia, tetapi hanyalah sedih sedikit di hati adinda oleh adinda telah mengakukan diri adinda kepada kakanda telah menjadi seumpama abdi wajib di atas adinda taat akan kakanda apa-apa kehendak kakanda yang adil, maka adinda pohonkanlah daripada kakanda perkara yang belum pernah berlaku di antara kita berdua ini janganlah kakanda berkehendak melakukan dia. Maka permohonan adinda itu kakanda terima dan mengaku. Sekiranya kakanda tiada terima dan tiada mengaku janganlah kata sebanyak yang telah kakanda curi melakukan dia ini, jika kakanda berkehendakkan nyawa adinda sekali pun demi Tuhan yang menjadikan alam ini dengan suka dan reda hati adinda menyerahkan dia. Maka sekarang kakanda telah melakukan perkara yang telah…


kakanda berjanji dengan terangnya kepada adinda tiada hendak melakukan dia. Bermula, tabiat yang demikian ini di dalam tiga tahun lebih yang telah adinda berkenal dengan kakanda, maka inilah pertama kali yang telah berlaku dengan sengaja kakanda memecahkan pengakuan dan perjanjian oleh menurut nafsu syaitan. Sekarang ini apakah kelebihan kakanda yang boleh adinda bermegah-megah di hadapan sekalian orang ramai. Bolehkah adinda berkata lagi bahawa laki aku ini seorang laki-laki[24] yang bangsawan lagi sempurna pelajaran, boleh dipegang segala pengakuannya dan perjanjiannya daripada lidahnya sahaja, tidak[25] berkehendak dipegang akan dia daripada tali yang mencucuk ke hidungnya, seumpama sekalian orang yang serupa dengan gambar manusia." Maka Shafik Afandi pun sangatlah terkejut mendengar perkataan isterinya itu, tetapi oleh sebab ia berkata-kata laki-isteri itu dengan bahasa Feransis[26], jadi kuranglah malunya kerana sekalian yang hadir di situ tiada mengerti apa yang dicakapkannya itu. Lalu disembamkannya mukanya ke pangkuan isterinnya meminta maaf segala kesalahan yang telah berlaku pada kali ini dengan bersumpah tidak hendak melakukan lagi, jika tidak dengan keredaannya. Maka Faridah Hanom pun kasihanlah rasa hatinya melihat hal suaminya serta terasa sesal ia berkata-kata dengan perkataan yang keras itu. Lalu disapunya kepala suaminya serta berkata kepada Saad menyuruh membawa sedikit minuman dan makanan.

Ada pun Kasim Bey bersama-sama Talat Bey duduk di bawah bercakap dengan segala sahabat handainya itu, apabila mendengar isterinya memanggil akan dia bersama-sama Talat Bey itu memintalah ia izin daripada sekalian sahabatnya yang hadir itu hendak naik berdua sebentar ke atas. Disuruhnya Muhammad Afandi melayan akan mereka itu. Apakala sampai keduanya ke bilik…


Faridah Hanom ditunjukkanlah oleh isterinya akan segala tanda­tanda yang menunjukkan anakanda telah selamat berbaik laki-isteri bagaimana sekalian anak-anak yang terpelihara dengan pemeliharaan yang kepujian. Maka keduanya pun termenunglah tafkur heran mengingatkan kekuatan sabar anakanda kedua pada memelihara kebersihan diri dan nama kedua ibu-bapanya. Maka sukanya pun datanglah tiadalah dapat terkira-kirakan lagi, Ialu sujud keduanya ke hadrat Tuhannya diturut oleh kedua isterinya mengucap[27] syukur akan rahmat rahim Tuhannya yang telah mengurniakan keduanya anak yang mengerti bagaimana kehidupan manusia yang bangsawan, serta mendoakan anakanda kedua supaya hidup di dalam kesempurnaan dan kehormatan senang sentosa, panjang umur keduanya di dalam kemurahan rezeki makmur, serta mendapat ampun rahmat rahim Tuhannya kemudian daripada matinya.

Setelah selesai Kasim Bey laki-isteri serta dengan besannya laki-isteri mendoakan anakanda laki-isteri itu, maka bangunlah Kasim Bey sambil bertanya isterinya, "Di manakah ada anakanda kedua." Jawab isterinya, "Ada di anjung." Maka Kasim Bey dengan Talat Bey laki-isteri pun bangunlah hendak mendapatkan anakanda kedua di anjung itu. Setelah dilihat oleh Faridah Hanom ayahanda bonda sekalian datang menuju ke tempatnya itu, maka segeralah ia mengangkat kepala suaminya yang menyembam[28] dipangkunya, yang telah beberapa kali ia diajaknya Shafik Afandi minum air yang dibawakan oleh Saad dan dayang-dayang itu tiada juga Shafik Afandi hendak bergerak oleh sebab sangatlah terasa malu di hatinya mendengar akan isterinya murkakan dia itu. Tetapi bila didengar oleh Shafik akan ayahanda kedua serta bonda keduanya datang itu, maka segeralah ianya bangkit memakai tarbush sambil berjalan laki-isteri mendapatkan…


ayahanda bonda serta mencium tangan sekaliannya. Maka Kasim Bey dan Talat Bey pun memeluk mencium anakanda kedua serta dibawanya duduk di meja makan[29], seraya berkata: "Belum lagi minum anakku[30] kedua ini nampaknya. Minuman[31] ini belum luak lagi. Marilah tuan kita minum sama ramai-ramai. Maka sekaliannya pun minumlah segala minuman itu. Kemudian berkatalah Kasim Bey kepada besannya, Talat Bey, "Baiklah kita turun kerana orang-orang itu masih banyak[21] lagi di bawah belum balik." Lalu bangun keduanya keluar daripada anjung itu berjalan turun diturut bersama-sama oleh Shafik Afandi menghantar ayahanda kedua itu hingga ke bawah." Setelah dilihat oleh sekalian orang-orang yang hadir itu Shafik Afandi datang bersama-sama Kasim Bey dan Talat Bey itu, maka masing-masing pun bangun memberi selamat kepada Shafik Afandi. Dijawab oleh Shafik Afandi keselamatan masing-masing itu dengan memberi terima kasih serta mengembalikan keselamatan tiap-tiap seorang itu kepada diri masing-masing. Kemudian duduklah Shafik Afandi bersama-sama di situ hingga bersurailah masing-masing kembali ke rumahnya. Shafik Afandi dengan Muhammad Afandi menghantar orang-orang itu hingga ke pintu luar sekali, sampai orang-orang itu naik kereta baharulah keduanya masuk semula ke dalam rumahnya. Didapatinya ayahandanya Kasim Bey dengan Talat Bey laki-isteri ada duduk berkata-kata dengan kesukaan masing-masing. Maka apabila dilihat oleh Kasim Bey Shafik Afandi datang berdua Muhammad Afandi itu berkatalah ia, "Baiklah anakku kedua masuk tidur masing-masing kerana hari telah jauh malam." Maka Shafik Afandi dan Muhammad Afandi pun tahulah ayahanda sekalian berkata-kata di dalam perkara yang tiada suka ianya kedua mendengarnya, lalu keduanya bermohon kembali ke tempat masing-masing.


Ada pun Kasim Bey berkata-kata itu ialah mendengar perkhabaran daripada bonda Shafik Afandi yang didapatinya daripada Aminah dayangnya yang sangat dikasihinya dan dipercayanya iaitulah[32] seorang dayang yang ada pelajaran bahasa Feransis[26] yang telah dibela dan dipelihara serta dimasukkan sekolah oleh bonda Shafik Afandi daripada kecilnya, kerana masa Faridah Hanom memarahkan Shafik Afandi di anjung tadi ia ada di hampir pintu itu tiada terlihat kepada Shafik Afandi dan Faridah Hanom akan dia maka didengar oleh Aminah akan segala perkataan Faridah Hanom itu dan demikian juga perkataan Shafik Afandi. Maka apakala telah lepas turun Shafik Afandi mengikut ayahandanya itu hampirlah Aminah kepada bonda Shafik Afandi waktu ia duduk seorang diri berkhabarkan segala hal perkataan kedua pengantin itu. Maka apabila didengar oleh bonda Shafik Afandi perkhabaran Aminah itu, gelilah sangat rasa hatinya lalu ia berjalan turun ke bawah didapatnya orang telah keluar pulang hanyalah tinggal suaminya dengan Kasim Bey laki-isteri. Maka masuklah ia duduk bersama-sama lalu dikhabarkannya kepada besannya perkhabaran Aminah itu. Maka sekaliannya pun tertawalah serta sangat suka hati mendengar cerita perkelahian kedua pengantin yang sangat pelik yang menyalahi sekali segala sangka-sangka orang yang mengetahui perjumpaan di antara kedua pengantin ini beberapa lama sudah. Maka Talat Bey pun berkata kepada isterinya, "Malam ini terlebih baik janganlah adinda pulang dahulu, kerana kakanda bimbang pula rasa hati akan anakanda Shafik itu jangan diperbuatnya[33] pula panjang kecil hatinya akan isterinya itu. Sebab adinda pun mengetahui tabiatnya." Maka isterinya pun tertawa mendengar perkataan suaminya bimbang itu seraya berkata kepada suaminya, "Usahlah kakanda bimbang, jika anakanda Shafik tidak boleh mendengar perkataan yang keras sedikit daripada kita berdua atau lain-lain orang, tetapi daripada…


isterinya ini agaknya racun pun menjadi penawar kepadanya." Maka Kasim Bey laki-isteri dengan Talat Bey pun tertawa mendengar perkataan isterinya itu.

Critical apparatus

Bearbeiten
  1. a b anakandanya c.
  2. perasaan atau omitted in c.
  3. yang tidak digemari c.
  4. diturutnyalah c
  5. warna d, e.
  6. sungguh d, e.
  7. tempahan d, e.
  8. puncak d, e.
  9. berkuasa d, e.
  10. negeri e.
  11. janjian c.
  12. terbuka e.
  13. sini d, e.
  14. camah a, d, e.
  15. omitted in d, e.
  16. dipandang d, e.
  17. menyakati e.
  18. memerhati d, Baharulah terkejut sambil memerati omitted in e.
  19. diisyaratkan d, e.
  20. anakanda d, e.
  21. a b omitted in c.
  22. bersalah d, e.
  23. Bukan d, e.
  24. lelaki c.
  25. tiada c.
  26. a b Frances d, Perancis e.
  27. mengucapkan c.
  28. menyembamkan d, e.
  29. dimejakan a.
  30. Belum mencium lagi anakku a, Belum minum anakku c.
  31. Minumlah d, e.
  32. iaitu c
  33. diperbuat d, e.