Hikayat Faridah Hanom 4
Shahdan ada pun Shafik Afandi kemudian daripada telah balik Suad itu, duduklah ianya dengan kesukaannya menerima surat kekasihnya Faridah Hanom itu serta berjalan bersiar di dalam tamannya dengan mengeluarkan surat kekasihnya itu berulangulang dibaca dan dicium kemudian dikembalikannya semula ke dalam poketnya. Sentiasalah Shafik Afandi di dalam keluh kesahnya sementara menantikan sampai masa waktu yang dijanjikannya hendak pergi berjumpa dengan kekasihnya itu. Sebelum sampai masanya satu jam menyuruhlah Shafik Afandi akan saisnya menyediakan keretanya dan masuklah ianya ke rumahnya terus ke dalam biliknya memakai seelok-elok pakaian dan memberos menyikat rambut memakai terbushnya di hadapan cermin besar seolah-olahnya seperti ianya hendak menghadap raja yang besarbesar lakunya. Apakala sampai sahaja jam yang dijanjikan itu, maka keluarlah Shafik Afandi daripada rumahnya dilayangkan oleh angin asyik berahinya dan ditarik oleh ribut maksyuknya digoncang oleh taufan kesukaannya. Apabila sampai ianya ke pintu luar sekali didapatinya keretanya telah menanti akan dia, lalu naik ianya menyuruh saisnya menjalankan keretanya menuju ke tempat yang dijanjikannya dengan kekasihnya berhampiran dengan rumah Kasim Bey. Apakala sampai sahaja segeralah disuruhnya berhenti dan menaikkan tutup kereta itu. Maka duduklah ianya berlindung akan dirinya di dalam kereta itu menerbangkan fikirannya kepada kekasihnya khayal ianya di dalam peringatannya. Ada sejurus maka Faridah Hanom pun sampailah kepada keretanya itu berdiri di hadapan pintunya serta dijenguknya ke dalam kereta itu dilhatnya Shafik Afandi lalai seumpama orang yang lena tiada sedar akan ianya sampai itu. Maka segeralah Faridah Hanom meletakkan kakinya ke atas pemijak kereta itu dengan kuatnya sehingga…
bergegarlah kereta itu, maka Shafik Afandi pun terkejutlah daripada lalainya seumpama orang yang terkejut daripada tidurnya, lalu terpandang ianya akan kekasihnya terdiri di hadapan keretanya seumpama bulan purnama memancar-mancar cahaya mukanya. Maka Shafik Afandi pun segeralah bangkit berdiri sambil menundukkan kepalanya memberi hormat serta menghulurkan tangannya menyambut kekasihnya. Maka naiklah Faridah Hanom didudukkan oleh Shafik Afandi di sebelah kanannya lalu disuruhnya saisnya menjalankan keretanya menurut jalan pergi ke Ahram. Maka berjalanlah kereta itu daripada Al-Abbasiah menuju jalan pergi[1] Ahram daripada suatu simpang kepada suatu jalan hendak menuju jalan yang terus ke Ahram Al-Jizah.
Ada pun Shafik Afandi yang telah bertemu dengan yang dicintakannya di dalam keretanya itu Iekalah ianya dengan tercengang-cengang melihat paras keelokan rupa dan susuk badan kekasihnya yang seumpama dibentuk daripada lilin oleh pendeta yang bijaksana itu. Beberapa kali Shafik Afandi hendak membuka mulutnya berkata-kata dijeling oleh Faridah Hanom dengan ekor matanya yang seumpama kilat menyambar itu maka tergamamamamlah Shafik Afandi, lalu ianya diam pula menundukkan kepalanya dengan sehabis-habis kesukaan dan ria rasa hatinya hingga tiada mengerti ianya apa perkataan yang hendak dikeluarkannya. Dengan hal yang demikian ini kereta berjalan pun bertambah dirasa asyik dan maksyuk di dalamnya[2] berdiam diri tiada tahu berkata-kata beberapa lama. Maka dikeraskanlah oleh Shafik Afandi akan hatinya lalu berkata: "Kesukaan yang maha besarlah beta merasa pada hari ini. Maka akan beta jadikan hari ini yang sehabis-habis bertuah pada beta. Hari yang beta dapat bertemu dan berjumpa dengan tuan iaitulah hari yang beta jadikan permulaan kehidupan beta."
Maka Faridah Hanom pun menundukkan kepalanya alamat memberi terima kasih dan syukur akan perkatan Shafik Afandi itu serta berkata dengan hebatnya, "Beta haraplah tuan memaafkan perkara yang telah berlaku daripada beta pada hari ini, dan janganlah tuan jadikan kedatangan beta berjumpa dengan tuan ini pekerjaan yang hendak meleburkan kehormatan perempuan anak dara yang terpelihara dengan pemeliharaan pelajaran yang kepujian. Tidaklah sekali-kali bagaimana kedatangan kebanyakan[3] perempuan yang tidak gemar memelihara kehormatan dirinya dan kehormatan kedua ibu bapanya keluar mendapatkan Iaki-laki yang tiada biasa dan tiada pernah bersapa dengan dia. Tetapi kedatangan beta ini ialah sebab semata-mata tiada dapat beta menahan kehendak hati beta pada mengetahui kehendak-kehendak tuan dengan sebab perbuatan tuan tiap-tiap kali terpandang tuan akan beta. Kerana kelakuan tuan yang demikian ini apakala dibiarkan berlamaan kelak menarik akan nama beta dan nama[4] kedua ibu-bapa beta kepada sebutan kecemaran di lidah orang-orang. Oleh sebab hendak melarikan daripada bahaya inilah telah memberanikan beta kemudian daripada yakin percaya[5] beta akan tuan itu, tentulah seorang muda yang berpelajaran mengetahui akan harga kehidupan yang kehormatan serta pandai membedakan tiap-tiap barang yang dilihat itu di antara baik dengan jahatnya."
Maka Shafik Afandi pun berdebar hatinya mendengar perkataan Faridah Hanom itu, sambil berpaling berhadap kepadanya menceritakan halnya dengan katanya: "Adalah beta ini seorang anak yang belum sekali-kali pernah bersapa dengan seorang perempuan pun lain daripada ibu beta dan dayang beta, dengan sebab ini tiadalah beta mengetahui bagaimanakah rasa asyik dan bercinta dan keinginan akan perempuan itu sentiasalah beta di dalam kesukaan dan penghiburan dengan nikmat kurnia Tuhan akan kemurahanNya bagi kehidupan dan kepunyaan ibu-bapa beta, dan selalulah…
beta mendustakan surat-surat cerita dan perkataan orang-orang akan hal-ehwal orang yang asyik dengan maksyuknya hingga hari yang terpandang beta akan tuan berjalan berdua di hadapan rumah beta itu, maka daripada masa dan hari itulah beta telah tertelan akan racun asyik akan tuan, dan cinta berahi yang sangat Iemah beta hendak mensifatkan bagaimana rasanya. Sentiasalah gambar tuan itu tercap di orang-orang mata beta siang dan malam. Tinggallah beta daripada hari itu mabuk akan minuman yang telah beta terminum daripada piala keelokan tuan hingga sampailah hari yang beta terpandang tuan yang kedua kali masa tuan duduk di tingkap rumah tuan itu. Maka tiadalah tertahan hati beta masa itu lalu terangkat tangan beta memberi salam kepada tuan. Tetapi kemudian daripada beta menerima jawab salam beta daripada tuan itu, lupalah beta akan diri beta tiadalah beta tahu akan diri beta apa yang beta perbuat. Dengan sebab ini, kiranya kelakuan dan perbuatan beta apa yang telah lalu itu menyakiti akan tuan dan tidak pula ada kasihan belas rahmat rahim di dalam hati tuan, maka haraplah beta tuan ampuni sahaja akan beta, kerana segala perkara yang telah beta lakukan itu tidak sekali-kali dengan sengaja atau dengan niat yang kejahatan, serta tuan jadikanlah perjumpaan kita pada hari ini ialah perjumpaan yang awal dan ialah jua perjumpaan yang akhir sekali. Kerana mustahil sekali beta boleh hidup lagi di dalam dunia ini dengan haI menanggung penyakit cinta berahi yang telah putus harap daripada mendapat kasihan belas tuan. Tentulah beta ini akan mati dengan hujung pistoI beta ini jika lambat beta mati dengan menanggung penyakit cinta berahi akan tuan."
Shafik Afandi berkata-kata itu sambil dikeluarkannya pistolnya diserahkannya kepada Faridah Hanom dengan[1] berhamburan air matanya rebah tersandar pengsan tiada khabar…
akan dirinya daripada sangat menahan hatinya, serta putus harapannya daripada mendapat akan orang yang dicintanya siang dan malam oleh mendengar susunan perkataan Faridah Hanom itu, seolah-olahnya seperti memarahkan dia oleh kerana perbuatannya. Sebab pun Shafik Afandi ini demikian halnya ialah kerana ianya seorang anak muda yang sebenarnya tiada gemar sekali-kali bercampur atau mengambil tahu haI perempuan atau gemar membaca buku-buku yang ada cerita asyik maksyuk di dalamnya di antara perempuan dengan laki-laki. Jadilah ianya tiada mengerti akan gerakan dan perkataan melainkan apa yang nampak zahir di matanya dan didengar oleh telinganya. Dengan kerana inilah apa-apa yang dikata oleh Faridah Hanom itu sangkanya itulah sahaja kehendak Faridah Hanom datang bercakap dengan dia itu[1], bukannya ada apa-apa yang di belakangnya lagi.
Shahdan ada pun Faridah Hanom apabila memandang ianya akan Shafik Afandi mengeluarkan pistolnya, kemudian rebah pengsan tiada khabarkan dirinya itu, maka sangatlah terkejut hatinya dengan terkejut yang amat sangat. Kemudian diperhatikannya muka Shafik Afandi pengsan itu pucat berseri-seri tampak di matanya. Maka tiadalah tertahan lagi hatinya lalu diangkatnya kepala kekasihnya di ribanya serta disembamkan mukanya ke muka Shafik Afandi sambil menangis dengan tangis(an) yang amat sangat seraya berkata, "Bangunlah tuan, tiada sekali-kali beta menyangka akan hati tuan sampai begini. Tidaklah sia-sia beta menaruh percintaan akan tuan beberapa hari ini, sempurnalah tuan anak laki-laki yang berbangsa dan berpengetahuan, redalah beta mati, bertimbang nyawa dengan tuan. Janganlah tuan sangka tuan seorang sahaja menaruh percintaan cinta berahi itu, tetapi di dalam hati beta lebih berganda-ganda lagi dendam yang tiada dapat beta hiburkan. Jika tidak, adakah patut sampai beta sendiri menulis surat dan meminta hendak berjumpa dengan tuan." Maka oleh sebab terasa sejuk sangat muka Shafik Afandi disiram oleh…
air mata Faridah Hanom itu, sedarlah ianya daripada pengsannya, dilihatnya kepalanya di riba oleh kekasihnya, maka terasalah suka hatinya lalu segera bangun sambil tersenyum menundukkan kepalanya memberi terima kasih akan perbuatan Faridah Hanom serta mengeluarkan sapu-tangannya menyapu mukanya daripada air mata kekasihnya yang terbau kepada hidungnya bersangatan harum itu.
Ada pun Faridah Hanom sangatlah kasihan belas rasa hatinya melihat Shafik Afandi bangun daripada ribaannya dengan letihlesu rupanya itu, maka tiadalah tertahan lagi rasa hatinya lalu ianya berkata: "Kekasih beta Shafik, adalah kita berdua[6] ini bersuatu perasaan, bersuatu peringatan, bersuatu tujuan. Apa yang tuan rasa begitulah jua beta rasa, bagaimana tuan ingat, begitulah jua beta ingat. Dengan sebab ini ketahuilah tuan, kita berdua dijadikan oleh Tuhan supaya hidup berdua-dua sama. Beta tiada dijadikan oleh Tuhan[7] ke dalam dunia ini melainkan kerana[1] tuan tiada dijadikannya melainkan kerana beta. Maka sekarang ini tiadalah heran atau pun pelik jika beta berkata kemudian daripada beta telah mendengar perkataan tuan dan melihat ehwal[8] tuan bahawa beta ini cinta kasih sayang akan tuan dan terasalah sekarang di hati beta bahawa tuan itulah kelak sebab-sebab ketuahan beta di dalam kehidupan beta di dalam dunia ini, maka adakah tuan terasa di hati tuan bagaimana yang beta rasa ini."
Apakala didengar oleh Shafik Afandi akan perkataan kekasihnya dan maksyuknya itu maka mengeluh dan menarik nafas panjanglah[9] ianya kerana menghapuskan segala sangkasangkanya yang tiada benar akan kedatangan Faridah Hanom ini serta bangunlah ianya dengan sehabis-habis kesukaannya bertelutkan[10] kedua lututnya di pemijak kaki kereta itu berhadapan dengan kekasihnya seraya memegang kedua tangan maksyuknya dilekapkannya ke dadanya sambil berkata: "Beta[11] bersetia dengan tuan di hadapan Tuhan Rabbul Alamin atas mengekalkan kasih…
sayang beta[11] akan tuan hingga akhir umur beta[11]. Bermula kasih sayang yang beta[11] sebutkan ini ialah kasih sayang yang bersih daripada berniat[12] pada melakukan pekerjaan yang cemar. Dan beta[11] bersumpah dengan nama Tuhan yang menjadikan alam ini, bahawa beta[11] tiada sekali-kali mungkir daripada setia beta[11] atau berniat khianat akan nyawaku[13], sebab ini jika nyawaku[13] bersetuju sudah hendak bersama-sama hidup dan mati dengan abang maka benarkanlah abang mengucup tangan nyawa abang, supaya menjadi ubat yang memulihkan roh semangat badan abang yang telah lenyap dan terbang beberapa lama ini." Sambil diangkatnya kedua belah tangan kekasihnya yang dilekapkan ke dadanya itu, dibawanya ke mulutnya perlahan-lahan maka dibiarkan oleh Faridah Hanom lalu dikucup oleh Shafik Afandi dua[14] tiga kali, kemudian dijunjungnya ke atas kepalanya. Maka Faridah Hanom pun menjeling sambil tersenyum menarik tangannya perlahan-lahan seraya berfikir di dalam hatinya: "Sampailah Shafik ini anak yang berpelajaran, padanlah rupanya dengan perkataannya, dan kelakuannya tiadalah sia-sia aku menjatuhkan kasihku kepadanya. Terpeliharalah aku dan kedua ibu-bapaku daripada keaipan jika berapa kasihku kepadanya sekali pun. Maka bertambah-tambahlah kasihnya akan Shafik Afandi itu tiadalah dapat ianya hendak berkata-kata hanyalah diangkatnya akan Shafik Afandi daripada bertelut di hadapannya itu dengan tangannya, di dudukkannya di sebelah kanannya seraya dilentukkannya kepalanya ke dada kekasihnya kerana hilanglah sudah daripada hatinya akan ketakutan dan kebimbangan daripada maksyuknya itu. Maka Shafik Afandi pun segeralah menyambut kepala kekasihnya sambil dikucupnya akan dahinya dengan terasa bertambah-tambah kasih sayang serta dengan suka sangat rasa hatinya, tiadalah dapat diperhinggakannya. Demikianlah juga Faridah Hanom yang bersandarkan kepalanya ke dada maksyuknya itu lenalah ianya dengan mabok[15] akan kekasihnya itu hingga berbunyilah suara sais kereta itu meminta jalan beberapa kali tiada dapat jalan[16] lalu berhentilah ianya.
Maka Shafik Afandi menjenguk ke jalan itu, dilihatnya[17] matamata polis menahan keretanya kemudian[18] diperhatikannya[19] di jalan itu, dilihatnya jalan itu penuh dengan askar sujar yang berjalan kaki dan menunggang kuda dan orang pun banyak berhimpun di tepi jalan itu, serta segala rumah yang di kiri kanan itu penuh dengan bendera berterbangan di segenap pintu itu dan tingkapnya demikianlah juga segala hotel yang di situ semuanya berhias dengan bermacam-macam warna bendera. Maka diperhatikan oleh Shafik Afandi akan jalan itu dikenalnya jalan itu medan Babul-Hadid tempat stesyen keretapi yang besar sekali. Maka segeralah diteriak oleh Shafik Afandi seorang mata-mata yang lalu hampir keretanya itu bertanya: "Apakah sebab ramai ini?" Jawab mata-mata itu, "Yang maha Mulia Khadiwi Mesir akan sampai berangkat balik dari Eropah pukul lima petang ini." Maka Shafik Afandi pun baharulah teringat akan kedatangan Khadiwi itu dan berpalinglah ianya berkata kepada Faridah Hanom, "Ini satu tempoh yang sangat bagus dapat nyawa abang melihat angkatan raja kita Abbas Hilmi Basha. Serta berkata ianya kepada saisnya, "Carilah tempat berhenti yang boleh dapat melihat dekat dengan angkatan Khadiwi ini." Maka segeralah sais itu membawa keretanya berhenti di kepala simpang tempat lalu angkatan Khadiwi itu. Ada sejurus bergelombanglah nampak orang di tepi kiri kanan jalan itu serta dengan bunyi sorak orang pun tertagarlah dan ben kerajaan pun bertiuplah lagu kerajaan Mesir. Pada ketika itulah dilihat oleh Faridah Hanom seorang askar menunggang kuda melarikan kudanya berjalan[1] dahulu menyuruh orang-orang ke tepi kerana meluaskan jalan yang akan lalu[20] angkatan di belakangnya itu. Sebentar lagi, lalulah sepuak askar polis yang menunggang kuda dan di belakangnya satu puak lagi askar penjaga Khadiwi yang khas yang berkuda dengan membawa tiap-tiap seorang sebatang tombak yang ditaruh bendera di hujungnya. Kemudian baharulah lalu kereta bugi[21] kenaikkan Khadiwi ditarik…
oleh empat ekor kuda dan[22] di dalamnyalah Khadiwi [23] duduk dengan muka yang manis mengangkat tangannya membalas salam dan sorak sekalian rakyatnya. Maka di belakang buginya[24] itu beberapa banyak pula askar yang menunggang kuda mengiringkan buginya[24] itu.
Kemudian daripada kira-kira sepuluh minit lepas Khadiwi lalu itu, sunyilah sedikit jalan itu daripada orang. Maka bolehlah kereta berjalan, maka berjalanlah kereta Shafik Afandi itu melalui Jalan Kamil kemudian ke Medan Al-Ubra dan Jalan Abidin dan Qasr ul-Nil terus ke Jazirah lalu ke jalan AI-Ahram. Maka Faridah Hanom pun berkatalah[25] kepada Shafik Afandi, "Sebenarnyalah angkatan Khadiwi ini sangatlah hebatnya." Jawab Shafik Afandi, "Serta sangat eloknya pula oleh sebab ianya lagi sangat muda, umurnya pun sangat sedikit di dalam angkatan kebesarannya itu." Kata Faridah Hanom. "lnilah satu tanda[26] perjumpaan kita ini sangat berkat. Bolehlah kita perbuatkan tarikh adalah mula pertama kita berjumpa dan berkenal-kenalan iaitulah hari raja kita Khadiwi sampai balik dari Eropah ke dalam ibu negerinya." Jawab Shafik Afandi, "lni hari kita telah berjumpalah, maka bilakah masa lagi dan di manakah boleh kita dapat terjumpa pula." Kata Faridah Hanom, "Bagaimana kita berjumpa ini hari begitulah kita berjumpa hari yang lain lagi." Jawab Shafik Afandi, "Wahai nyawa abang, bimbanglah abang akan mata orang yang melihat dan mengenal tuan, nescaya busuklah kelak sebutan nama tuan yang mulia itu di mulut orang." Maka Faridah Hanom pun menundukkan kepalanya sambil berfikir mencari jalan perjumpaan yang boleh terlindung daripada mata orang, kerana sangatlah kasihan rasa hatinya melihat kekasihnya berkata-kata itu dengan berlinang-linang air matanya takutkan lambat dapat berjumpa ianya lagi itu. Ada sejurus Faridah Hanom pun mengangkat kepalanya sambil berkata dengan berseri-seri cahaya mukanya: "Pada pertengahan malam, bolehlah tuan datang ke rumah beta. Perhatikan tingkap tempat beta duduk kelmarin[27], apabila…
terbuka nampak[28] cahaya apinya masuklah tuan kedalam ketuk tiga kali[29] perlahan-perlahan sahaja di bawah tingkap beta itu, nescaya adalah beta menyuruh dayang membuka pintu yang terus ke taman. Maka di sanalah boleh kita berjumpa dan bercakap." Jawab Shafik Afandi, "Jikalau datang orang kelak melihat kita berdua sahaja bercakap dalam taman itu bukankah merusakkan nama nyawa abang jua." Maka Faridah Hanom pun sangatlah suka rasa hatinya melihatkan kekasihnya itu sangat menjaga dan hendak memelihara akan namanya itu daripada mendapat cedera. Makin bertambah-tambahlah tetap hatinya mengatakan tidak ada satu bencana di atas kehormatan dirinya jika ianya bersama-sama dengan Shafik Afandi ini dengan apa macam jua pun, maka bertambah-tambahlah kasihnya akan Shafik Afandi seraya berkata: "Tidak mengapa, pandailah saya memelihara akan hal itu di dalam tempat dan kampung halaman saya sendiri." Faridah Hanom berkata-kata itu dengan sangat geli rasa hatinya melihat Shafik Afandi sangat bimbang itu hingga nampak ke mukanya lalu ianya tertawa perlahan-lahan.
Maka Shafik Afandi pun tercengang-cenganglah melihat keelokan maksyuknya tertawa itu memancar-mancar cahaya giginya. Tiadalah tertahan lagi hatinya lalu dipeluknya leher kekasihnya sambil berkata: "Tuanlah perempuan yang padan dengan kelakuan dengan keelokannya tuan sempurna bijaksana, pandai membelenggu hati orang, serta pandai tadbir menyimpan kehormatan diri." Maka Faridah Hanom pun sangatlah kasihan rasa hatinya memandang kelakuan Shafik itu seumpama orang yang mabuk menahan hatinya, serta diturutkannyalah kehendak Shafik Afandi memeluk lehernya itu seraya diambilnya tangan Shafik Afandi diciumnya serta di sembamkannya hidungnya di tangan kekasihnya itu beberapa lama kemudian bernafas panjanglah ianya seraya berkata: "Eloknya hari ini wahai kekasih saya, bagaimanakah kelak hari di belakangnya." Berkata-kata itu sambil memandang muka Shafik maksyuknya, maka Shafik Afandi pun berkata sambil mencium kepala kekasihnya, "Wahai nyawa badan abang, tuanlah permata yang tidak…
terhargakan, demi Tuhan seru sekalian alam sengaja permohonan abanglah akan kasihan belas kasih sayang nyawa abang, janganlah tuan menambahi lagi dukacita abang kemudian daripada ini memadalah apa yang sudah abang pikul dan abang tanggung azab sengsara asyik berahi dendam akan nyawa abang beberapa hari ini, maka janganlah tuan putuskan lama perjumpaan kita berdua ini[30] sehingga jadilah[31] kelak perjumpaan kita pada hari ini seumpama perjumpaan orang yang di dalam mimpi sahaja, kerana tiadalah bagi abang lagi roh yang boleh menanggung lebih daripada apa yang telah abang tanggung dahulu. Kasihankanlah abang wahai nyawa yang menghidupkan abang dan perbendaharaan yang menyenangkan abang, dan tuanlah jua tempat yang terbit daripadanya segala ketuahan abang. Tuanlah sebenar-benar hakikat yang sentiasa abang mimpikan, dan tuanlah yang menyempurnakan kehidupan abang di muka bumi ini, dan tuanlah nyawa di dalam selera anggota abang.“
Ada pun Faridah Hanom oleh sebab ianya itu seorang perempuan yang bijaksana maka kemudian daripada telah sampai hajatnya hendak mengetahui bahawa kasihnya dan asyiknya akan Shafik Afandi itu bukanlah ianya seorang sahaja, tetapi adalah pada kekasihnya dan maksyuknya itu kasih dan asyik seumpama yang ada padanya juga serta yakin percaya pula ianya bahawa kekashihnya ini seorang lelaki yang tiada membuat khianat menjalankan pekerjaan yang di haramkan dan membusukkan nama perempuan yang bangsawan dan kedua ibu-bapanya, maka tiadalah ianya mengambil peduli sangat akan pujuk rayu kekasihnya dan peluk ciumnya yang tiada melampaui daripada kepalanya itu sebab telah lepaslah sekali daripada hatinya akan kebimbangan memelihara dirinya daripada gangguan kekasinhnya yang menghilangkan kehormatan dan kebersihan anak dara itu, dengan sebab ini segeralah ia membawa kekasihnya kepada percakapan yang lain-lain yang dikehendakinya menduga akan pengetahuan dan perasaan kekasihnya atas watannya dan kaum bangsanya. Maka dibawanya permulaan…
perkataan yang menyukakan hati dari peraturan perjalanan negeri dan kemajuan kaum dan bangsanya, dan kebebasan perempuan yang dibangunkan atas pelajaran dan pengetahuan dengan membawa ibarat kiasan kehidupan dunia dari tarikh cerita-cerita kebesaran kaum dan bangsanya orang-orang Mesir yang dahulu-dahulu yang membangunkan Ahram kemegahan negeri Mesir hingga masa ini.
Maka Shafik Afandi pun tenggelamlah di dalam lautan kemanisan perkataan kekasihnya yang menunjukkan luas pengetahuannya, tajam fikirannya, serta segeralah di sambutnya perkataan Faridah Hanom itu dengan membawa beberapa cerita-cerita tarikh yang dahulu-dahulu, yang menunjukkan kelebihan sekalian orang yang bekerja bagi faedah watannya dan kaum bangsanya, serta keinginannya hendak meniru perjalanan mereka itu dengan mengorbankan dirinya di dalam berkhidmat akan tanah airnya, dan segala perkara yang mengangkat nama bangsanya. Tetapi oleh sebab hayat ayahanda-bondanya yang wajib di atasnya juga menuntut keredaanya belumlah lagi ianya mendapat peluang menjalankan cita-cita dan angan-angannya itu. Maka kemudian melaratlah Shafik Afandi ditarik oleh arus berahi itu kepada cerita asyik maksyuk cinta berahi dan menyatakan kelebihan orang yang berkasih-kasihan yang bersih daripada perbuatan yang kecemaran dan kekotoran, bagaimana cerita-cerita di dalam tarikh-tarikh Mesir datuk neneknya yang dahulu-dahulu.
Maka di dalam kedua-duanya leka berkata-kata oleh kesedapan ditiup angin cinta berahi itu lepaslah keretanya melalui jambatan Qasr ul-Nail lalu ke kebun perhimpunan segala binatang kerajaan menuju Ahram. Pada hal keduanya tiada sedarkan dirinya leka dengan menatap keelokan kekasih yang dicintakan hingga masuklah matahari meninggalkan sinaran cahayanya yang menyuluh akan bangunan-bangunan rumah yang dalam bandar dan di dalam kebun yang menambahkan keelokan pandangan…
orang yang memandang akan negeri itu, serta mendatangkan peringatan di hati akan kebesaran dan kemegahan anak-anak sungai Nil benih keturunan Firaun itu[32].
Oleh sebab kereta itu telah keluar negeri terasalah Faridah Hanom akan sejuk hawa malam yang memberitahu kedua asyik dan maksyuk itu satu peringatan yang bersamaan keduanya. Iaitu waktu malam telah masuk dan masa pulang itu telah lewat dan tempoh bercerai di antara asyik dan maksyuk itu telah hampir.
Mengetahuilah juga Shafik Afandi apa yang terlintas di dalam hati kekasihnya itu maka diserunyalah akan saisnya menyuruh balik semula ke rumahnya.
Ketika itu berasalah kedua-dua asyik dan maksyuk itu akan kedatangan masa bercerai antara kedua badan yang telah bersatu roh itu, maka terbitlah daripada lidah keduanya apa-apa yang tertulis di dalam hati tiap-tiap seorang daripada cinta berahi dan perikatan kasih sayang dan asyik dan yang berakar berumbi di dalam jantung keduanya itu, dengan perkataan yang lemahlah kalam hendak menyusunkan tiap-tiap satunya di atas kertas yang bersih ini. Hanyalah yang dapat diambil daripada keduanya itu bahawa kedua-dua hati itu mempunyai perasaan yang sangat ikhlas bersih daripada niat kepada pekerjaan yang kehinaan. Pada akhirnya berpegang tanganlah di antara kedua asyik dan maksyuk ini meneguhkan setianya. Maka pada masa itulah terbuka dinding sopan malu puteri Kasim Bey tiada dapat ianya menahan hatinya lalu merebahkan dirinya ke atas ribaan kekasihnya dengan berhamburan air matanya. Maka segeralah di sambut oleh Shafik Afandi akan kekasihnya itu dengan terasa sangatlah kasihan belas serta kasih sayangnya, lalu didakapnya ke dadanya serta mengeluarkan sapu tangannya menyapu muka kekasihnya dan dikucupnya. Sentiasalah keduanya berdakap dan berkata-kata dengan kelakuan yang menunjukkan…
kesempurnaan asyik dan maksyuknya, hingga sampailah kereta itu ke jalan yang berhampiran dengan rumah Shafik Afandi. Maka disuruhnya saisnya berhenti kemudian bermohonlah ianya daripada kekasihnya sambil memeluk leher maksyuknya serta di kucupnya dahinya. Maka Faridah Hanom pun mencium tangan Shafik Afandi yang turun itu seraya berkata kepada saisnya dengan putus-putus bahasa bunyi suaranya, „Hantarkanlah tuanmu ini ke mana tempat yang disuruhnya, kemudian baliklah ke mari. Hendaklah ingat oleh mu jangan dilihat oleh orang yang kenal akan dia.“ Maka sebelum kereta itu bergerak lagi, berpalinglah Faridah Hanom memandang kekasihnya yang terdiri itu dengan pandangan mata yang menerangkan lagi kasih sayang cinta berahinya yang menanggung beberapa makna kasih sayang dan percintaan dan kesusahan atas penceraian itu dengan berlinang-linang air matanya, serta memberi selamat tinggal. Lalu dibawa oleh kereta itu berjalan menuju ke rumahnya, maka tiadalah sempat Shafik Afandi membalas selamat tinggal itu hanya terdiri termangu-mangu memandang kekasihnya dilarikan oleh keretanya itu, hingga ababila ghaib kereta itu daripada matanya terpegunlah jua ianya di situ memandang akan bekas kereta itu tiada dapat bergerak hingga baliklah semula keretanya baharuah sedar ianya akan dirinya. Lalu bertanya kepada saisnya, "Sudahkah kamu sampaikan ia ke tempat yang disuruhnya?" Jawab sais, "Sudah". Maka naiklah Shafik Afandi ke atas keretanya terus berjalan balik sampai ke pintu rumahnya dengan kebesarannya bagaimana adatnya sehari-hari lalu masuk ke rumahnya terus ke dalam biliknya menukar seluar bajunya.
Apparatus criticus
Bearbeiten- ↑ 1,0 1,1 1,2 1,3 1,4 omitted in d, e.
- ↑ dalam d, e.
- ↑ omitted in e.
- ↑ missing in a, c.
- ↑ percahaya f.
- ↑ kedua d, e.
- ↑ supaya hidup berdua-dua sama. Beta tiada dijadikan oleh Tuhan omitted in d, e.
- ↑ hal-ehwal d, e.
- ↑ Maka Shafik Afandi pun bila mendengar perkataan maksyuknya itu mengeluarkan nafas panjanglah a, panjang c.
- ↑ bertelut akan a.
- ↑ 11,0 11,1 11,2 11,3 11,4 11,5 11,6 abang a.
- ↑ niat d, e.
- ↑ 13,0 13,1 nyawa abang a.
- ↑ dan e.
- ↑ maksyuknya itu lenalah ianya dengan mabok omitted in d, e.
- ↑ berjalan d, e.
- ↑ dilihat d, e.
- ↑ matamata polis menahan keretanya kemudian omitted in d, e.
- ↑ perhatikannya d, e.
- ↑ dilalui d, e.
- ↑ bogi d, bagi e.
- ↑ maka a.
- ↑ ditarik oleh empat ekor kuda dan di dalamnyalah Khadiwi duduk omitted in d, e.
- ↑ 24,0 24,1 boginya d, baginya e.
- ↑ berkata-kata e.
- ↑ tandan d, e.
- ↑ kemarin b.
- ↑ omitted in b, c.
- ↑ nampak cahaya apinya masuklah tuan kedalam ketuk tiga kali omitted in d, e.
- ↑ omitted in c.
- ↑ jadi d, e.
- ↑ missing in a.