Hikayat Faridah Hanom 8
Pada suatu hari Faridah Hanom balik daripada rumah Aliah berjumpa dengan kekasihnya, masuklah ianya berbaring-baring di atas peraduannya dengan berbagai-bagai fikiran dan angan-angan hingga masuk matahari. Maka bangunlah Faridah Hanom sembahyang magrib, lepas sembahyang baliklah ianya berbaring-baring di atas kerusi panjang leka dengan khayal akan peringatan kekasihnya, tiba-tiba masuklah bondanya ke dalam biliknya maka didapatinya anakanda berbaring-baring di atas kerusi. Maka segeralah bondanya[1] mendapatkan dia berkata sambil mencium akan pipi puterinya, "Ke manakah tuan berjalan sehari-hari ini."
Maka Faridah Hanom pun bangunlah berkata sambil mencium tangan bondanya, "Anakanda terlambat di rumah Nikmat Hanom". Kata bondanya, "Mengapakah anakku hilang begini lama tiada[2] memberi khabar ayahanda-bonda tuan tidak balik makan sehingga ayahanda-bonda dan saudara tuan termengkalan tidak tertelan makanan oleh ketiadaan dan teringat-ingat akan tuan."
Jawab Faridah Hanom[3], "Sudah anakanda berkata hendak balik bila masuk waktu tengah hari supaya dapat anakanda makan bersama-sama ayahanda bonda tetapi Nikmat Hanom menahan anakanda sampai bersumpah-sumpah benar meminta anakanda makan bersama-sama dia, jadi terpaksalah anakanda duduk makan dengan beberapa susah anakanda hendak berlepas diri balik ke rumah sehingga petang baharulah dapat lepas."
Ada pun Faridah Hanom berkata-kata itu serta bangun oleh sangat pecah belah rasa hatinya bercakap tidak sebenar[4] dengan bondanya itu sambil mengambil tangan bondanya diciumnya maka[5] dipeluk oleh bondanya akan dia sambil mencium pipi anaknya dengan[6] sangat kasih sayangnya.
Di dalam keduanya yang demikian ini masuklah saudaranya Muhammad Afandi ke dalam bilik saudaranya itu didapatinya[7] akan bondanya memeluk dan mencium[8] akan saudaranya Faridah Hanom sambil dipeluk dan diciumnya akan kepala saudaranya seraya berjalan keluar ketiga-tiganya dari dalam bilik itu dengan sehabis-habis kesukaan hati masing-masing. Apabila sampai ketiganya ke tengah[9] rumah datanglah ayahandanya Kasim Bey maka segeralah Muhammad Afandi dan Faridah Hanom menundukkan kepalanya memberi hormat dan mencium akan tangan ayahandanya, maka dipeluk oleh Kasim Bey akan anakanda kedua serta dicium akan kepala keduanya.
Maka berjalanlah Kasim Bey keempat-empat beranak masuk ke bilik makan duduk masing-masing di atas kerusinya makan segala jenis makanan yang lazat-lazat dilayani berapa orang dayang-dayang. Maka di dalam keempatnya bersuka-sukaan anak-beranak dengan makan-minum itu terdengarlah kepada[10] keempatnya sebuah kereta berhenti di hadapan pintu rumahnya. Ada sejurus didengarnya pula seorang khadam berkhabar kepada seorang dayang[11] yang keluar masuk membawa makanan itu menyuruh memberitahu Kasim Bey mengatakan putera saudaranya Badaruddin sampai dari Iskandariah petang ini ada menanti di luar pintu. Maka segeralah bangun Muhammad Afandi daripada kerusinya keluar pergi menyambut saudara sepupunya masuk dan keluarlah juga Kasim Bey dari bilik itu melihat anak saudaranya. Maka Badaruddin Afandi pun datanglah[12] segera mencium tangan ayahandanya kemudian daripada berjabat tangan dengan Muhammad Afandi, maka Kasim Bey pun memeluk mencium…
anakanda sambil dibawanya masuk ke bilik makan. Pada masa itu isterinya dan Faridah Hanom ada lagi di dalam bilik itu, maka bangunlah keduanya memberi hormat Badaruddin Afandi, dan Badaruddin pun mencium tangan bondanya serta menundukkan kepalanya memberi hormat kepada Faridah Hanom sambil duduk di atas kerusi berhadapan dengan Faridah Hanom.
Adalah Badaruddin Afandi duduk itu tiadalah membuang matanya ke tempat lain oleh leka dengan menilik akan keelokan Faridah Hanom itu seolah-olahnya seperti terkena sihir Faridah Hanom rupanya, maka tiadalah bandingnya keelokan itu pada[13] pandangan Badaruddin Afandi. Bermula adalah Badaruddin ini seorang muda yang nipis panjang tubuhnya, putih warna[14] kulitnya, tinggi perdiriannya, rambutnya kekuning-kuningan, umurnya baharu masuk dua puluh tahun. Barang siapa memandang akan dia terasalah padanya kesombongan nampak nyata daripada bangunan anggunnya[15] itu kebesar-besaran apabila berkata-kata ianya didahulukannya perkataannya itu dengan pergerakan membesarkan diri pada mendatangkan suara dan peraturan yang berlainan daripada kebiasaan. Maka pada masa ianya makan, waktu itu matanya sentiasa memandang kepada Faridah Hanom.
Ada pun Faridah Hanom tiadalah ianya berpaling sekali memandang kepada Badaruddin Afandi bagaimana biasanya yang telah lalu, tetapi tiap-tiap kali dikerlingnya dengan ekor matanya didapatinya mata Badaruddin Afandi tiada lepas daripada memandang ianya, maka terasalah takut di dalam hatinya daripada pandangannya itu.
Manakala telah selesai makan, bangunlah sekaliannya keluar duduk di tengah rumah. Maka Faridah Hanom pun duduk[16] di tepi tingkap serta mengambil suatu kitab pura-pura membaca akan dia oleh…
hendak melepaskan diri daripada berkata-kata dengan Badaruddin Afandi itu. Tetapi tiadalah ianya sedar tiba-tiba datanglah Badaruddin mengangkat kerusinya duduk berhadapan dengan dia. Maka mengambil sempenalah Faridah Hanom akan perbuatan Badaruddin itu dengan kejahatan serta dipalingkannya mukanya jauh daripada berhadapan dengan Badaruddin Afandi itu, maka Badarudinn pun sentiasa merapatkan diri kepadanya dengan membawa beberapa perkhabaran dan cerita yang tiada Faridah Hanom mengerti yang mana ujung[17] dan[13] yang mana pangkalnya, hingga terasalah Faridah Hanom dengan ringsa[18] dan risau, maka jadilah ianya menguap beberapa kali kemudian dizahirkannyalah dirinya itu tiada sedap badan serta dilakukannya rupanya itu bagaimana orang yang penat sangat lalu ianya meminta izin daripada Badaruddin hendak naik serta keluarlah ianya naik terus ke dalam biliknya. Maka manakala lepaslah ianya daripada Badaruddin itu, lapanglah rasa hatinya serta bernafas panjang sambil bersyair:
Ilahi rabbi khaliqul insani
Apakah bala yang datang ini
Yang ku gemari tak ada di sini
Yang ku takuti membuat berani
Orang yang ku kasihi bersembunyi diri
Datang menginding yang tidak ku gemari
Tuhan ku yang rahim Ilah[19] al-Bari
peliharakan hambaMu daripada dihampiri.
Kemudian membukalah Faridah Hanom akan pakaiannya memakai pakaian tidurnya dengan sangat jijik rasa hatinya bila teringatkan rupa Badaruddin Afandi itu, serta sangatlah meluat rasa hatinya melihat anggun kelakuannya, maka segeralah ianya mengempaskan dirinya ke atas tempat peraduannya sambil bersyair:
Wahai taulanku[20] demi[21] Tuhan
Masa ini sangat membuat olahan
Tidak menimbang tiada kasihan
Kesukaan hatiku sangat ditahan.
Dirapatkan orang yang benci di hati
Orang yang dikasihi sangat disekati
Bagaimanakah hidup demikian pekerti
Redhalah rasanya jika ku mati.
Maka beradulah Faridah Hanom malam itu semalam-malaman tidak tentu peringatan kerana fikirannya semua sekali tertumpu kepada kekasihnya Shafik Afandi. Maka tiadalah harapannya di dalam kehidupannya yang lain daripada hendak berhampiran menilik akan keelokan rupa dan susuk badan kekasihnya dengan lemah-lembut dan lepas lakunya pada segala gerakannya dan percakapannya yang elok sedap manis pada pandangannya. Dan pendengaran siapa-siapa[22] yang memandang dan mendengarnya itu. Tiadalah dapat Faridah Hanom lari daripada fikirannya itu hingga hampir siang baharulah ianya terlalai sedikit, kemudian terkejut bangun mengambil air sembahyang, sembahyang subuh dan memakai pakaiannya menunggu masa fatur lalu turun makan bersama-sama ayahanda-bondanya dan saudaranya Muhammad Afandi hadhir bersama-sama masa itu Badaruddin Afandi, yang apabila terpandang Faridah Hanom kepadanya membacalah ianya Auzubillahi min ash-shaitani r-rajim [Fn.] serta ditariknya muka masam dengan tidak menoleh kepadanya. Maka Badaruddin Afandi pun bercakaplah berbagai-bagai perkataan mengusik akan Faridah Hanom di dalam masa makan itu, tetapi Faridah Hanom pura-pura tidak mengerti.
Maka apabila habis sahaja Faridah Hanom daripada makan itu, segeralah ianya membasuh tangannya serta bangun keluar daripada bilik makan itu terus berjalan masuk ke dalam tamannya hingga sampai ke tempat yang selalu ianya berjumpa dan bercakap dengan kekasihnya…
Shafik[23] Afandi, lalu duduk seorang dirinya di antara segala pohon bunga-bungaan yang sedang kembang semerbak baunya mengingatkan kekasihnya dengan menundukkan kepalanya ke bumi tenggelam di dalam peringatan akan orang yang telah dipilihnya akan menjadi rakan kehidupannya. Maka di dalam ianya berfikir itu terdengarlah kepadanya bunyi kaki orang berjalan, maka apabila diangkatnya kepalanya hendak melihat siapa yang datang itu, tiba-tiba tampaklah ianya Badaruddin Afandi terdiri di hadapannya seorang dirinya. Terkejutlah rasa hatinya lalu ianya bangun berdiri hendak berjalan masuk ke rumahnya, maka diadang oleh Badaruddin akan dia tiada[2] diberinya berjalan, maka berkerutlah muka Faridah Hanom memandang kepada Badaruddin itu dengan berasa hatinya menggelepar kerana bersangatan bencinya, sehingga tercenganglah ianya memikirkan Badaruddin ini mengikut akan dia dan[13] datang ke hadapannya dengan tiada ianya sempat sedar lagi sebelum Badaruddin sampai ke tempatnya[24] itu. Manakala dilihat oleh Badaruddin akan hal Faridah Hanom berubah mukanya marah[23] itu berkatalah ianya: "Sabarlah dahulu wahai saudara, janganlah bersegera sangat marah kerana kebencian tuan dengan[25] memasamkan muka tuan itu terasa kehinaan yang sangat di atas beta, pada hal adalah beta ini sedialah akan mengorbankan nyawa beta bagi[26] menyampaikan apa-apa juga kesukaan tuan." Dijawab oleh Faridah Hanom dengan keras bunyi suaranya tidak ianya mengangkat akan[23] kepalanya memandang Badaruddin: "Sekali-kali adalah beta pada hari ini sangat bising rasa hati beta serta picik rasa fikiran dan risau rasanya peringatan beta, maka beta keluar kemari seorang diri ini kerana hendak melapangkan hati beta dengan bersunyi-sunyi seorang diri. Silalah tuan keluar dari sini dahulu." Maka terasalah Badaruddin akan kekasaran perkataan Faridah Hanom kepadanya itu lalu dijawabnya, "Tiadalah rasanya beta ini menjadi keberatan ke atas tuan jika…
beta bersama-sama di sini sekali pun." Dijawab oleh Faridah Hanom perkataannya itu dengan keras bunyi suaranya, "Beta fikir, jika tuan ingatlah agaknya yang tuan sekarang duduk berdua beta sahaja di dalam tempat yang sunyi ini menjadikan[27] perkataan dan buah mulut orang tentulah tuan[23] tidak duduk berhenti lagi disini." Maka mengertilah Badaruddin Afandi kehendak perkataan Faridah Hanom itu seolah-olahnya menghalau akan dia lalulah segera dijawabnya, "Kita ini bukankah bersaudara, tidaklah boleh orang menaruh syak hati sekali-sekali." Maka dipandanglah oleh Faridah Hanom akan dia dengan marahnya seraya berkata: "Betullah tuan ini tertipu daya dengan[28] perasaan sendiri." Maka berkatalah Badaruddin bila melihat muka Faridah Hanom marah itu dengan merendahkan dirinya, "Tiadalah menjadi apa-apa di atas tuan mengeluarkan perkataan di atas beta yang tersalah ini, diharapkan maaf tuan sahaja wahai anak ayah saudaraku yang dikasihi." Maka tiadalah dijawab oleh Faridah Hanom perkataan Badaruddin itu terus ianya berjalan hendak masuk ke rumahnya. Maka dipegang oleh Badaruddin akan lengannya serta berkata dengan suara orang yang bergurau, "Apakah ada dosa beta kepada tuan. Tidakkah boleh beta menemankan tuan berjalan sama." Maka dipandang oleh Faridah Hanom akan muka Badaruddin Afandi itu serta ditariknya tangannya dengan kerasnya sambil berkata dengan marahnya: "Undurlah daripada beta, pergilah ke mana suka, kerana beta tak suka dikata orang beta duduk berdua dengan tuan sahaja." Maka di adang oleh Badaruddin di muka Faridah Hanom tiada diberinya berjalan seraya berkata: "Susah hati sangat beta memandang tuan sangat marah ini. Apakah sebabnya." Ketika itu tiadalah tersabar lagi hati Faridah Hanom lalu berkata: "Lalulah daripada hadapan ku, ingat baik-baik jangan sekali-kali lagi mengadang-ngadang akan daku, undurlah sekarang kerana sangat benci aku memandang engkau."
Maka terkejutlah Badaruddin mendengar perkataan Faridah Hanom yang sangat keras itu hingga terhentilah ianya daripada berkata-kata dengan sangat susah rasa hatinya menerima perkataan yang sangat kehinaan rasanya pada dirinya itu, dan diamlah ianya menundukkan kepalanya dengan duka cita hatinya oleh terasalah ianya akan keputusan harapannya, kemudian digagahnya tahan hatinya dan anggotanya yang menggeletar itu hingga dapatlah peringatannya pulih sedia-kala, lalu berjalan ianya keluar daripada taman itu dengan menyumpah dan menista akan nasibnya yang malang itu, serta[29] berpaling ianya memandang akan Faridah Hanom berjalan ke rumahnya itu. Maka terpandanglah ianya akan keelokan perempuan yang belum pernah dipandangnya seumpamanya. Keelokan yang mendatangkan fitnah [Fn.] kepada sekalian lelaki yang memandangnya. Ketika itu terhentilah ianya seperti terasa hendak balik memanggil akan dia mudah-mudahan boleh ianya mendapat pandangan daripadanya yang menyembuhkan luka hatinya itu. Tetapi oleh sebab teringat ianya akan kemarahan dan kekasaran Faridah Hanom itu, terhentilah ianya daripada melakukan kehendaknya itu[30] lalu berjalan ianya terus keluar pagar ke jalan besar[31] sekali seumpama orang yang telah putus harapan daripada hajatnya yang besar. Berjalan menurut kehendak kakinya masuk segenap simpang di jalan raya itu mengulang-ulangi akan syair:
Orang yang mesra darah badannya
Penyakit asyik telah meliputinya
Hendaklah sabar suatu ketikanya
Bila dimarahi oleh maksyuknya
Barangkali ada suatu ketika
Berbalik marah menjadi suka
Barang yang payah tidak disangka
Mendapat dengan bermanis muka
Ada pun Faridah Hanom apakalah telah lepas Badaruddin berjalan itu naiklah ianya ke atas rumuhnya terus masuk ke dalam biliknya duduk di hampir tingkapnya dengan perasaan yang sangat-sangat…
benci akan Badaruddin Afandi itu, maka[13] mencita-citalah ianya jika boleh ianya lupakan sekali daripada hatinya akan peringatan nama Badaruddin dan rupanya sama sekali jangan-jangan terlintas lagi di mata hatinya. Maka[32] pada ketika itulah terpandang-pandang ia di hadapan matanya akan keelokan kekasihnya Shafik Afandi yang diasyikkan oleh hatinya dan dibandingkannya[33] dengan rupa dan susuk badan Badaruddin Afandi, maka didapatinya berjauhan sangat[23] bezanya seumpama hamba dengan tuannya. Apabila telah terpandang-pandang dan tiada lepas lagi daripada matanya rupa kekasihnya itu, maka bangunlah ianya daripada tempat duduknya seumpama hendak menyeru akan kekasihnya itu atau pun kekasihnya telah menyeru akan dia. Apakala teringat ianya akan dirinya, maka terpegunlah ianya tiada dapat bergerak dengan pecah-belah rasa hatinya, kemudian tersenyumlah ianya akan senyum orang yang duka cita lalu bersyair:
Ayohai peranakkan ahl syurga
Keelokanmu syarbat menghilangkan dahaga
Melemahkan jauhari menilaikan harga
Emas sepuluh tak kurang sesaga
Sukalah tuan ayohai nyawaku
Melihatkan beta demikian laku
Kesusahan ditanggung hati terbuku[34]
Azab sengsara[35] kasihkan abangku
Wahai masa yang telah lalu
Masa bertemu bertalu-talu
Nikmat kehidupan di situ memalu
Dikekalkan Tuhan kiranya selalu
Berjumpa tuan mendatangkan bahagia
Muka mu di pandang mendatangkan ria
Menyegarkan tubuh menghidupkan daya
Memanjangkan umur hidup pun mulia
Hati pun senang kesukaan pun datang
Tidaklah jemu pagi dan petang
Parasmu yang elok seumpama bintang
Penglipur hati siapa menentang
Ayohai Shafik muda yang cerdik
Buah hati nyawa adik
Silalah abang periksa selidik
Hati adinda bagai diindik.
Semuanya ini perbuatan tuan
Melebihkan malu bagi perempuan
Ayahanda bonda tak ada pengetahuan
Perjanjian kita hendak berkawan
Sekarang datanglah seorang gila
Mengacau membuat maharaja lela
Dipohonkan daripada Allah Ta'ala
Janganlah ianya mendatangkan bala
Ayohai Shafik pandai mencuri
Hati perempuan dibawa lari
Kemudian pura-pura berdiam diri
Membiarkan pengacau datang kemari
Apalah hal adik nan ini
Setiap masa dirasuk syaitani
Dari Iskandariah datang ke sini
Rupanya bagaimana hantu dan jinni
Merasalah adik sekarang abang
Setiap waktu takut dan bimbang
Iblis yang jahat datang mengambang
Tak takut ianya kamat dan bang
Ilahi rabbi Tuhan yang Esa
Peliharakan[36] hamba daripada binasa
Jadikan pertemuanku[37] sempurna[13] sentosa
Dengan kekasih ku Shafik berbangsa
Shafik laki-laki yang[13] nombor satu
Elok majlis perangainya tertentu
Menahan sabar semuanya itu
Daripada nafsu syaitan dan hantu
Lain daripada Shafik Afandi
Tidak sekali ingin dan[23] sudi
Mengambil dia kalau pun abdi[38]
Apa akan lagi suami menjadi
Tuhanku yang sangat rahim dan kaya
Sangatlah mengasihani hamba yang setia
Peliharakanlah hamba daripada bahaya
Jadikan suamiku Shafik yang mulia
Ilahi rabbi engkaulah Tuhan
Ku pohonkan rahmat dengan kasihan
Menjadikan jodohku Shafik pilihan
Berjauh daripadanya tidak tertahan.
Shahdan sentiasalah Faridah Hanom di dalam hal bergurindam akan kekasihnya Shafik Afandi itu hingga petang masuk matahari, maka datanglah dayang memberitahu kepadanya yang ayahanda-bondanya menunggu santap, maka bangunlah ianya turun pergi ke bilik makan duduk makan bersama-sama ayahanda-bonda dan[39] saudaranya Muhammad Afandi dan Badaruddin Afandi. Maka di dalam masa makan masing-masing pun bercakaplah berbagai-bagai perkhabaran, tetapi Badaruddin Afandi sentiasalah menghalakan percakapannya kepada Faridah Hanom dengan bermacam-macam dan berbagai-bagai perkhabaran dan cerita[40] ibarat kiasan, maka dijawab oleh Faridah Hanom sepatah-patah percakapannya itu dengan bengis dan menzahirkan tiada kegemarannya. Tetapi diterimalah oleh Badaruddin akan perbuatan Faridah itu dengan menzahirkan kasih sayang dan mesranya, pada hal Faridah Hanom sentiasa juga melarikan dirinya daripada menerima akan tutur katanya itu dengan kebencian yang nampak nyata daripada gerakannya dan rupa mukanya. Maka Badaruddin menyangkakan Faridah Hanom itu sengaja membuat-buat tidak suka dan marah itu bagaimana adat kebanyakan anak-anak dara bukannya kerana kebencian yang sebenar.
Demikianlah sentiasa[41] Badaruddin ini menyakiti akan Faridah Hanom dengan memasukkan diri setiap masa pada berkata-kata dengan dia hingga jadilah Faridah Hanom itu terasa sangat benci akan perkataannya dan memandang rupanya, maka mencita-citalah Faridah Hanom boleh lekas ianya balik keluar daripada rumahnya pulang ke Iskandariah supaya tidak ianya terpandang-pandang lagi muka yang sangat[13] dibencinya itu. Dan habislah siang dan malam [masa Badaruddin ada di rumahnya][42] itu[43] dengan tiada dapat Faridah Hanom berjumpa kekasihnya Shafik Afandi, maka bertambah-tambah marah dan benci Faridah Hanom akan Badaruddin Afandi itu[44] hingga tiada dapat tertahan[45] sabar rasa hatinya [lagi jadi sentiasalah ianya masuk dan berkurung di dalam][46] bilik[47] membanting akan dirinya ke atas peraduannya dengan berhamburan air matanya [dan bersyair bergurindamlah ia dengan bermacam-macam bunyinya][42].
Critical apparatus
Bearbeiten- ↑ ke dalam biliknya maka didapatinya anakanda berbaring-baring di atas kerusi. Maka segeralah bondanya ommited in c.
- ↑ a b tidak e.
- ↑ Faridah Hanom anakanda a.
- ↑ tiada sebenar-benar d, e.
- ↑ dan c.
- ↑ dan c.
- ↑ didapati a.
- ↑ itu didapatinya akan bondanya memeluk dan mencium replaced in d, e by maka tidak tertahan hatinya lalu dihampirinya
- ↑ setengah e.
- ↑ omitted in d, e.
- ↑ dayang-dayang d, e.
- ↑ datang d, e.
- ↑ a b c d e f g omitted in c.
- ↑ berwarna c.
- ↑ anggotanya c, d, e.
- ↑ duduklah d, e.
- ↑ hujung d, e.
- ↑ rangsa d, e.
- ↑ omitted in c, Allah d, e.
- ↑ tauladan e.
- ↑ dami a, b, c.
- ↑ siapa a, sesiapa c.
- ↑ a b c d e f omitted in d, e.
- ↑ tempat d, e.
- ↑ dan a, omitted in d, e.
- ↑ lagi e.
- ↑ yang menjadikan c, menjadi e.
- ↑ oleh d, e.
- ↑ maka c.
- ↑ missing in a.
- ↑ pagar hingga terus ke jalan besar c.
- ↑ missing in a, omitted in c.
- ↑ dibandingkan d, e.
- ↑ berbuku c, tebuku e.
- ↑ segsara e.
- ↑ Peliharalah d, e.
- ↑ pertemuan d, e.
- ↑ Mengambil kalau menjadi abdi a.
- ↑ serta d, e.
- ↑ cerita-cerita c.
- ↑ senantiasa a.
- ↑ a b […] missing in a.
- ↑ Dan habislah siang dan malam itu masa Badaruddin ada di rumahnya itu omitted in d, e.
- ↑ missing in a.
- ↑ tahan a.
- ↑ […] missing in a, in lieu thereof a has lalu ianya masuk.
- ↑ bilik c.