Hikayat Faridah Hanom 21
Sebermula, ada pun Kasim Bey apabila sampai kepadanya khabar besannya menyerahkan segala kerjanya dan harta bendanya kepada puteranya, maka berfikirlah ia, benar sangatlah perbuatan Talat Bey itu. la telah tua anaknya hanya seorang dengan baik tabiat kelakuannya dan berpengetahuan pula. Tentulah boleh diharap ia membuat kerja dan dapatlah Talat Bey bersenang-senang diri. Tiadalah bising susah fikiran lagi siang dan malam. Aku pun anakku hanya seorang laki-laki dan seorang perempuan, baiklah juga aku menyerahkan semuanya kepada anakku Muhammad kerana ia pun ada pengetahuan boleh diharap dan pandai. Maka selama ia membuka gedung ubat ini sangatlah makmur pendapatannya sendiri tiada menyusahkan aku. Tinggal lagi di antara ia dengan adiknya Faridah Hanom biarlah ia sendiri bermuafakat mana-mana yang baik pada keduanya. Lalulah ia berkhabarkan segala fikirannya itu kepada isterinya. Maka bersetujulah…
isterinya bagaimana fikirannya itu serta disuruhnyalah seorang dayangnya memanggil anakanda[2] Faridah Hanom laki-isteri.
Pada hari itu, lepas santap Kasim Bey pun menahan anakanda Muhammad Afandi tiada diberi keluar. Ada[3] sejurus Shafik Afandi dengan Faridah Hanom pun sampailah masuk terus ke dalam bilik makan didapatinya ayahanda bondanya dan saudaranya Muhammad Afandi ada duduk. Maka segeralah keduanya mendapatkan ayahanda bondanya dan Muhammad Afandi.
Seketika Faridah Hanom laki-isteri duduk itu berkatalah Kasim Bey, "Ayahanda memanggil tuan kedua ini hendak berkhabar, adalah ayahanda ini telah tua, lemah sangat sudah rasa badan daripada membuat kerja. Kerana ayahanda ini cuma muda tidak sampai setahun daripada ayahanda tuan Talat Bey. Dengan sebab ini, ayahanda pun teringin hendak mengambil kesenangan diri seberapa baki umur ayahanda yang ada lagi, dan segala pekerjaan ayahanda serta mana-mana harta benda ayahanda hendak serahkan kepada Muhammad dan Faridah. Mana-mana suka keduanya biarlah dilakukannya." Jawab Muhammad Afandi, "Fasal segala pekerjaan itu wajiblah anakanda menanggungnya. Ada pun fasal harta itu patutlah ayahanda fikirkan dahulu Faridah ini, kerana ia hanyalah seorang saudara perempuan anakanda telah ayahanda serahkan ia dengan bulat badannya sahaja kepada Shafik[4], pada hal anakanda Al-Hamdulillah, ada pekerjaan anakanda yang cukup boleh mendapat faedah yang lebih banyak daripada belanja yang wajib kepada anakanda." Jawab Kasim Bey," Baiklah, mana suka tuan muwafakatlah tuan[5] sekalian. Kemudian panggillah loyar buat suratnya, boleh ayahanda sign[6]." Kata Muhammad Afandi, "Fikiran anakanda buatlah bahagi dua sahaja di antara anakanda dengan Faridah." Jawab Kasim Bey, "Baiklah buat mana tuan suka."
Setelah didengar oleh Fariah Hanom perkataan saudaranya itu, sangatlah belas rasa hatinya mendengarkan kasih sayang saudaranya akan dia itu serta dengan sayu dan pilu rasa…
hatinya memandangkan kedua ayahanda bondanya itu, lalu ia menangis teresak-esak tiadalah dapat ia hendak menjawab perkataan ayahandanya dan saudaranya itu. Maka Shafik Afandi pun kasihan belas akan isterinya menangis itu, lalu ia menjawab perkataan iparnya, "Fasal Faridah ini janganlah ayahanda bonda dan kakanda susahkan dia, kerana ayahanda-bonda di sana pun memulangkan semua hartanya bukan kepada anakanda seorang, tetapi semua surat-suratnya dengan anakanda berdua Faridah, sebab ayahanda bonda anakanda tiada mendapat anak perempuan. Maka anakanda Faridah inilah telah diambil ganti puterinya yang sebenar."
Jawab Muhammad Afandi, "Benarlah perkataan tuan itu, dan kakanda serta ayahanda-bonda kedua di sini sangatlah menerima kasih kepada tuan dan kedua ayahanda-bonda tuan yang telah membela dan memandang saudara kakanda ini seperti anaknya sendiri. Tetapi adakah patut serta kata begitu kakanda hendak memiliki semua harta seorang diri, apakah dikata orang kelak."
Kata Shafik Afandi, "Apalah kakanda pedulikan perkataan orang, jika sudah kita sekalian membuat pekerjaan sama suka dan sama reda. Lagi pula, cubalah kakanda fikir sedikit, adalah adinda berkahwin dengan adinda Faridah ini hanyalah semata-mata sama suka adinda berdua, bukanlah sekali-kali dengan kesukaan ayahanda-bonda daripada mulanya. Maka jika adinda sukakan adinda Faridah ini mendapat harta yang begini banyak, tentulah adinda nanti dikata orang sebab adinda bermati-mati berkehendakkan adinda ini ialah kerana adinda mengetahui ia akan mendapat harta yang banyak. Ketika itu apalah jadinya adinda di mata orang banyak."
Apabila didengar oleh Faridah Hanom akan perkataan suaminya dengan saudaranya itu, berfikirlah ia di dalam hatinya, tidaklah boleh dibiarkan keduanya bertengkar dengan yang demikian ini, akhirnya kelak kalau-kalau melarat menjadi tidak baik.
Lalulah ianya[7] mengangkat kepalanya sambil berkata: "Kakanda kedua, sengaja adinda pohonkanlah perkara ini kita berhentikan dahulu masa ini. Hanyalah kakanda Muhammad Afandi wajib menerima dan menjalankan semua pekerjaan ayahanda oleh kerana muslihat kesenangan ayahanda. Ada pun fasal bahagian dan hendak membuat surat apa-apa macam fasal itu, sabarlah dahulu sedikit hari kita berfikir dan bermuafakat. Apakala sudah bersetuju mana-mana yang baik itulah yang kita perbuat."
Apabila didengar oleh Kasim Bey perkataan puterinya itu, maka berkatalah ia, "lnilah yang benar perkataan Faridah ini. Usahlah gopoh sangat. Berfikir dan bermuafakatlah baik-baik tuan adik-beradik terlebih dahulu di dalam empat lima hari, apatah salahnya."
Maka sekaliannya pun mengaku dan membenarkan perkataan ayahandanya itu. Lalu masing-masing bercakap lain, dan dayang pun mengangkat makanan dan minuman. Maka makan minumlah masing-masing bercakap apa-apa yang menyukakan hati ayahanda-bonda kedua. Seketika Shafik Afandi laki-isteri pun bermohon daripada ayahanda bondanya dan Muhammad Afandi, lalu keluar naik keretanya terus pulang ke rumahnya.
Setelah sampai ke rumahnya, maka Faridah Hanom pun memimpin tangan suaminya sengaja dibawanya berjalan melalui jalan tempat mertuanya duduk laki-isteri. Apabila dilihat…
oleh Talat Bey anakanda kedua laki-isteri lalu itu, segeralah disuruhnya dayangnya Aminah memanggil keduanya masuk. Maka masuklah Shafik Afandi bersama-sama Faridah Hanom mencium tangan ayahanda bondanya, lalu duduk di atas kerusi menghadap keduanya.
Maka Talat Bey pun bertanya puteranya, "Tuan kedua dipanggil oleh ayahanda bonda di sana, apakah kerjanya." Maka Faridah Hanom pun tersenyum mendengar pertanyaan mertuanya itu sambil memandang kakanda diisyaratkannya suruh berkhabarkan halnya. Maka Shafik Afandi pun tersenyum seraya berceritakan segala halnya dan apa-apa perkataan yang telah berlaku di antaranya dengan iparnya Muhammad Afandi dan mertuanya, dan apa-apa perkataan Faridah Hanom. Maka Talat Bey laki-isteri pun tertawa mendengar segala hal yang telah berlaku itu seraya berkata kepada Faridah Hanom, "Bagaimanakah fikiran tuan di dalam perkara ini, dan siapakah punya fikiran yang betul kepada tuan." Jawab Faridah Hanom, "Ada pun fikiran anakanda kedua-dua orang ini salah belaka. Dan kedua-dua orang ini hendak memerangi akan Tuhannya Rabbul alamin dan memecahkan hikmatNya yang maha besar gunanya di dalam hukum agama Islam yang maha tinggi ini."
Maka Shafik Afandi pun terbeliak biji matanya memandang isterinya bila mendengar perkataan yang sangat dahsyat yang dituduh oleh isterinya ke atasnya dan ke atas saudaranya Muhammad Afandi itu. Ada pun Talat Bey, maka tertawalah ia dengan tertawa yang amat sangat bila mendengar perkataan menantunya itu serta bangunlah ia daripada kerusinya mendapatkan Faridah Hanom, dipeluk diciumnya akan kepala menantunya itu, dengan terasa bertambah-tambah kasih sayangnya sambil berkata: "Allah Subhanahu wa Taala sahajalah memeliharakan anak ku ini. Adalah perkataan yang anakku katakan itu telah ada di tepi bibir ayahanda hendak mengatakan dia bila sahaja ayahanda mendengar…
suami tuan berkhabarkan hal Muhammad dan perkataannya dan hal ia sendiri dengan perkataannya itu."
Apabila didengar oleh Shafik Afandi akan hal ayahanda dan segala perkataannya itu, bertambah-tambah dahsyatlah hatinya lalu[8] ia menundukkan kepalanya tiada berani mengangkat muka memandang ayahandanya.
Ada pun Talat Bey manakala telah balik semula ia duduk di atas kerusinya memandanglah ia kepada puteranya Shafik Afandi, dilihatnya anakanda tunduk tiada mengangkat kepala, maka diketahuinyalah akan anakanda tiada mengerti kehendakehendak perkataan isterinya menuduh ia itu. Lalu berkata ia, "Anakku Shafik, janganlah anakku heran mendengarkan perkataan isteri tuan itu, dan perkataan ayahanda ini. Kerana sebenar-benarnya tuan dengan ipar tuan Muhammad itu tiada mengerti sama sekali kehendak-kehendak agama Islam yang sangat-sangat memberikan kebajikan bagi perhimpunan kehidupan dunia ini, oleh sebab tuan kedua telah tertipu daya dengan lazat pelajaran pengetahuan dan peraturan bangsa Eropah ini. Maka termasuklah tuan kedua ke dalam perhimpunan kebanyakan[9] orang muda-muda yang menuduh akan agamanya dengan tuduhan yang tidak sebenar, oleh sebab sangka mereka itu, agama Islam ini ialah yang menyuruh sekalian orang-orang yang mengakukan dirinya ketua-ketua agama yang mengaku pandai dan mengamalkan suruh tegahnya memakai akan pakaian yang tidak senonoh dengan kotornya dan tidak berperaturan pada serba-serbi pekerjaannya, serta dengan pemalasnya pada berusaha bagi pencarian kehidupannya, atau menaburkan benih pengetahuannya bagi menghidupkan kaumnya dan memakmurkan watannya.
"Tidak. Tidak. Bukan sekali-kali mereka itu orang-orang yang boleh dijadikan contoh suruhan agama Islam yang maha tinggi ini. Tetapi mereka itulah sebesar-besar musuh dan seteru yang hendak membunuh akan roh agama yang maha mulia ini. Maka wajiblah bagi[3] anakanda sekalian anak-anak muda yang ada berpengetahuan memerangi akan mereka itu dengan sifat mereka itu sebesar-besar seteru yang hendak merusakkan agama. Dengan sebab ini, wajiblah anakanda sentiasa baca dan kajikan kehendak-kehendak dan tuntutan agama daripada puncanya, ertinya daripada Quranul Azim, dan perjalanan rasulnya dan sekalian sahabatnya yang mulia. Bukankah anakanda telah cukup mendapat pelajaran ilmu Arab[10] daripada saraf, nahu, mantik, maani[11], bayan dan lainnya mengapakah anakanda tinggalkan semuanya itu kemudian daripada anakanda[12] masuk ke dalam pelajaran ilmu Eropah tidak anakanda gunakan segala ilmu itu ada membahas dan mengambil faham akan kehendak-kehendak dan segala hikmat yang disimpan oleh Tuhan di dalam hukum agama tuan.
"Maka jika tuan hendak mengetahui setengah daripada hikmat Tuhan di dalam hukum agamanya itu, bolehlah tuan mengambil faham daripada perkataan isteri tuan tadi, yang tuan bersama saudaranya Muhammad itu salah hendak memerangi akan Tuhan Rabbul Alamin serta memecahkan hikmatNya.
"Iaitu, adalah Tuhan Rabbul Alamin telah menurunkan hukum di dalam Quranyya, bahawa anak itu mempusakai harta bapanya, maka tuan tidak hendak beri terima pusaka isteri tuan daripada ayahnya itu, apakah sebabnya. Pada hal junjungan kita Sayidina Muhammad Sallallahhu Alaihi Wasallam menyuruh akan umatnya mencari isteri perempuan yang elok rupanya, dan…
memegang agamanya, dan baik bangsanya, dan kaya ia. Al-Hamdulillah, tuan telah mendapat seorang isteri yang cukup sempurna ada kepadanya segala sifat ini. Maka apakah sebab tuan hendak kurangkan ia satu sifat, iaitu sifat kaya itu tuan hendak jadikan ia perempuan yang miskin dengan sebab menolak hak bahagiannya daripada ayahnya. Apa kerana ia memilih sendiri akan tuan menjadi suaminya dengan diredai oleh kedua ayahanda bondanya. Inikah patut balasan tuan akan kasih sayangnya akan tuan[13] hingga hampir-hampir hendak hilang dengan nyawanya[14]. Barangkali tuan fikir, harta yang ada kepada tuan itu telah jadi sama juga bagaimana hak isteri tuan. Tetapi memberi akan harta yang banyak kepada orang yang tiada sekali-kali berhajat[15] dan berkehendak kepadanya itu bukankah satu sifat membuang harta yang sangat dilarang oleh agama Islam ini[16]. Jika tuan tidakberhajat kepada harta itu, maka apakah salah diterima dan dibelanjakan dia di dalam segala pekerjaan yang kebajikan bagi kaum bangsa dan watan tuan yang sangat-sangat berhajat pada masa ini kepada beberapa banyak pekerjaan yang membantu pada memajukan dia di dalam kehidupan dunia. Bukankah anak-anak[17] bangsa-bangsa kaum dan watan tuan yang miskin ini terlebih berhajat kepada beberapa perkara yang dikehendaki membangunkan dia dengan wang itu lebih daripada hajat ipar tuan Muhammad yang telah mendapat pusaka dan mempunyai pekerjaan yang memberi keuntungan yang besar itu. lnilah[18] dia setengah daripada kesalahan tuan yang dikata oleh isteri tuan tadi salah dan hendak memerangi akan Tuhan Rabbul Alamin, kerana mengharamkan anak daripada pusaka bapanya itu dosa yang mahu besar di dalam agama.
"Ada pun kesalahan ipar tuan itu, iaitu adalah Tuhan telah menurunkan…
di dalam QuranNya hukum agama Islam ini, adalah anak laki-laki itu dua bahagian, dan anak perempuan itu satu bahagian. Maka Muhammad hendak mengubah hukuman Tuhannya ini dengan membahagi sama banyak. Jika kita kata Muhammad membuat yang demikian itu kerana kasih ia akan saudaranya, maka haruslah kita kata pula Tuhan yang menurunkan hukuman yang demikian itu benci ia akan hambaNya. Maka perbuatan Muhammad itu jika dilakukannya, nescaya berdosalah ayahnya, sebab menyalahi hukuman Tuhannya. Bersalahan jika Muhammad telah menerima bahagian itu bagaimana yang dihukumkan oleh Tuhannya, kemudian bila telah menjadi miliknya harta itu baharulah diberikannya kepada saudaranya seberapa banyak yang disukainya, nescaya tiadalah siapa-siapa[19] mengata ia salah lagi.
"Adakah anakanda tahu apakah hikmat Tuhan melebihkan bahagian anak laki-laki daripada anak perempuan di dalam bahagian pusaka ini. Tentulah tidak agaknya. Sebab tuan barang kali termasuk hati kepada segala tuduhan orang-orang yang berpelajaran Eropah ini mengata, bahawa hukum-hukum agama Islam ini konon tidak bersetuju dengan kemajuan dunia sekarang, dengan tiada mereka itu hendak memeriksa lagi sebelum menjatuhkan tuduhan itu akan hikmat Tuhan daripada punca agama yang dibawa oleh Nabi kita. Hanyalah dipadakan oleh mereka itu daripada perkataan sekalian saudagar-saudagar yang memperniagakan agamanya bagi menjadikan kehidupannya dan kekayaannya atau daripada segala kitab-kitab feqah yang baharu dikarang oleh orang yang tidak diketahui betul akan pangkat darjat pengetahuannya, yang telah menyebabkan bertambah-tambah pecah-belah kaum Islam ini.
"Bermula, hikmat Tuhan yang disimpankanNya di dalam segala hukum-hukum yang disuruhnya di dalam agama Islam ini, jika tiada boleh dikata semuanya sekali, bolehlah dikata kebanyakannya sekali…
dikehendaki daripadanya faedah-faedah dan manfaat bagi perhimpunan yang ramai. Maka faedah-faedah dan manfaat[20] yang boleh didapati oleh seseorang itu menurutlah kadar banyak munafaat yang didapati oleh perhimpunannya itu daripadanya.
Bahagi[21] pusaka ini dilebihkan oleh Tuhan akan anak laki-laki daripada anak perempuan, ialah sebab laki-laki itu terlebih banyak dan terlebih berat pikulannya daripada perempuan. Laki-laki apabila ia berkahwin, wajib[22] di atasnya menanggung anak isterinya dan rumahtangganya. Laki-laki itu apabila melihat ia akan saudara perempuannya bujang mati lakinya, atau bercerai dengan dia yang tidak ada padanya harta yang mencukupi belanjanya, maka kewajipan kemanusiaannya dan maruah kehormatan kehidupannya mewajibkan ia membela dan menanggung menutup kemaluannya dengan memelihara akan saudara perempuannya itu atas seberapa kadar kuat kuasa kehidupannya. Maka jika saudara perempuannya itu ada beberapa anak yang di dalam pemeliharaannya, masuklah bersama-sama juga[23] di dalam tanggungannya. Pada ghalibnya, perempuan-perempuan yang berharta itu lakinya yang selalu menghabiskan hartanya. Payah atau jarang sekali laki-laki yang berharta itu bininya menghabiskan dia. Dengan sebab ini selalu kita melihat perempuan yang berharta itu jatuh di dalam kesusahan oleh kerana lakinya, terkadang-kadang dibuang lalu oleh lakinya sama sekali akan dia. Ketika itu wajiblah di atas saudara laki-lakinya yang ada maruah kehormatan mengambil memelihara membela dan menutup akan auratnya itu.
"Ada pun anak perempuan itu sebab pun kurang bahagiannya itu ialah kerana tiada banyak dan tiada berat pikulannya, sebab tiap-tiap perempuan itu apabila berkahwin, ia tertanggunglah ke atas lakinya segala nafkah kehidupan rumahtangga dan anaknya, sehingga sampai…
kepada tukang sanggul dan tukang cuci kain bajunya. Maka apabila ada saudara laki-lakinya yang bujang tiadalah dapat ia membela dan memelihara akan dia kerana laki-laki yang sempurna akal fikiran dan mempunyai maruah itu, tentulah menjadi 'aib malu kepadanya duduk di dalam tanggungan iparnya meninggalkan usaha ikhtiarnya sendiri pada mencari nafkah kehidupannya selama ada[3] berjalan nafas didalam badannya itu. Maka dengan sebab ini, bolehlah dikatakan satu bahagian yang dilebihkan oleh Tuhan kepada saudara laki-laki itu, ialah kelebihan yang sangat adil atas kadar keberatan tanggungan kehidupannya.
"Pada fikiran ayahanda, sebanyak ini sahaja ayahanda bercakap kepada[2] anakanda ini cukuplah boleh menjadikan anakanda gemar pada membaca[24] dan mencari dan mengambil tahu akan hikmat-hikmat yang disimpan oleh Tuhan di dalam hukumhukum ugama tuan, kerana tuan ada mempunyai pengetahuan laki-isteri yang boleh mendapatkan dia. Maka jika anakanda hendakkan satu panduan kepada tujuan itu, bolehlah anakanda berlangganan[25] kepada suatu surat khabar yang baharu keluar di dalam dua tiga tahun ini, yang bernama Al-Manar dikeluarkan oleh seorang Syed yang datang dari tanah Sham dan dibantu[26] oleh seorang Azhar di sini bernama Sheikh Muhammad 'Abduh di dalamnya kebanyakan bahas fasal keelokan ugama Islam dan bersetujunya dengan kemajuan dengan dalil-dalilnya yang terang. Maka pada tahun ini, mula ia memasukkan tafsir Qur'an yang diajar oleh Sheikh Muhammad[3] 'Abduh itu di dalam masjid aI-Azhar di hadapan segala ulama' yang besar-besar. Maka ada pada ayahanda di sini dua tahun punya keluaran, ayahanda kumpulkan[27] dan sudah ayahanda jilid keduanya. Bolehlah anakanda ambil dan baca[28] dan tahun ini punya yang ada tafsir Quran itu pun ada juga tetapi belum ayahanda jilid lagi, sebab belum habis tahunnya. Agaknya…
lepas tuan membaca surat khabar ini bolehlah anakanda mengetahui keelokan ugama anakanda dengan terangnya."
Maka Faridah Hanom pun segeralah bangun masuk ke bilik tempat buku-buku[29] mertuanya, diambilnya Al-Mannar mana yang ada semuanya sekali, dibawanya keluar duduk semula dengan mertuanya.
Maka Tal'at Bey pun berkata, "Sekarang bagaimanakah fikiran hal tuan dengan saudara tuan itu." Jawab Faridah Hanom, "Anakanda tiadalah berani bercakap apa-apa di dalam perkara ini, melainkan anakanda pohonkan ayahandalah[30] membetulkan mana-mana yang baik pada ayahanda. Kemudian jika ayahanda telah berfikir patut anakanda mesti menerima bahagian anakanda itu berapa juga yang patut, maka anakanda pohonkan kasihan belas ayahanda semua sekali bahagian anakanda itu ayahandalah juga menolong anakanda menjadikan khairat anakanda bagi menambah dan meluaskan pelajaran anak-anak perempuan di dalam negeri ini." Maka Tal'at Bey pun terkejut mendengar kehendak Faridah Hanom itu serta bertanya, "Semua sekalikah tuan." Jawab Faridah Hanom, "Semua sekali ayahanda. Kerana anakanda cukup dan lebih sangat sudah ada dengan kurnia ayahanda ini." Maka Talaat Bey pun bertanya pula kepada anakanda Shafik, "Apakah kata tuan kehendak isteri tuan itu." Jawab Shafik, "Anakanda bersetuju sangat bagaimana kehendak Faridah itu. Kerana sangatlah malu anakanda jika ayahanda menerima harta itu, sebab anakanda telah terlepas cakap dengan Muhammad Afandi tadi." Jawab Talat Bey, "Baiklah. Jika tuan kedua telah bersetuju suka. Maka fasal mengadakan pelajaran perempuan itu ayahanda pun suka mengerjakan dia, sebab ayahanda pun telah tua, pekerjaan ayahanda pun telah dijalankan oleh Shafik maka pekerjaan kebajikan ini bolehlah…
ayahanda menumpang pahalanya di dalam akhirat kelak." Kemudian berhadaplah Talat Bey kepada anaknya sambil berkata, dengan berhamburan air matanya, "Wahai anakku Shafik, jika tuan hendak mengetahui dengan sebenar-benar pengetahuan, inilah dia roh pelajaran agama islam yang telah meliputi hati dan segala perjalanan darah[31] di seluruh anggota isteri tuan ini. Inilah dia sebenar-benar kehendak agama Islam pada tiap-tiap seorang yang berpegang dengan dia pada melebihkan muslihat kaum bangsa dan watannya. Inilah dia sebenar-benarnya seruan penghulu kita dan[2] junjungan kita Saiyidina Muhammad Sallallahu Alaihi wa Aalihi Wasallam, maka jika diamalkan oleh tiap-tiap seorang yang[3] memegang agama ini atas kadar seorang sedikit pada membantu akan kaum dan bangsanya kepada[32] menuntut ilmu nescaya Islam inilah raja yang mengedari alam dunia ini bagaimana seribu tiga ratus tahun dahulu.
"Maha[33] besarlah tuah saudaraku Kasim Bey mendapat seorang puteri yang sangat berani membuang harta yang lebih daripada atau million pound banyaknya pada muslihat kaum bangsa dan watannya. Sungguh pun hambaMu yallahi ya Rabbi tiada tuhanku[2] kurniai anak yang demikian perasaan, tetapi sangatlah syukur hambaMu akan limpah kurnia rahmatMu memberi hambaMu[34] menantu yang sangat hambaMu harapi dan hambaMu pohonkan daripada rahmat rahimMu menjadikan dia pertunjuk contoh teladan[35] yang sangat berguna kepada suaminya." Kemudian bangunlah Talat Bey daripada kerusinya menarik akan menantunya Faridah Hanom dipeluk diciumnya kepalanya. Dan Faridah Hanom pun menyembamkan mukanya ke pangkuan mertuanya sambil menangis oleh sebab sangat kasihan belas hatinya mendengarkan perkataan mertuanya dengan tangisnya itu. Maka Talat Bey pun menyapu kepala dan belakang menantunya serta berkata, "Diamlah tuan sudah. Tidak apa. Pergilah tuan balik ke tempat…
segala pekerjaan[36] tuan ini ayahanda sendirilah akan mengerjakan dia, janganlah tuan bimbang lagi. Sekarang juga ayahanda akan pergi berjumpa ayahanda tuan di dalam hal ini." Maka Faridah Hanom pun bangun sambil mencium tangan ayahanda-bondanya keluar berjalan bersama-sama suaminya membawa surat-surat khabar yang diambilnya itu, kembali ke tempatnya laki-isteri. Maka Shafik Afandi pun pada hari itulah baharu ia terasa di dalam hatinya adalah isterinya ini[2] bukannya seorang perempuan yang boleh diperbuat permainan menyampaikan nafsu keinginan kasih sayang sahaja semata-mata. Tetapi ialah seorang perempuan permainan dan pekerjaan yang mempunyai peraturan dan perasaan setinggi-tinggi sifat kemanusiaan. Dengan sebab ini bertambah-tambahlah lagi kasih sayangnya dengan segan malunya, sehingga terpaksalah ia menjaga peraturannya yang membawa pada akhirnya jadilah isterinya ini seorang daripada kongsi kehidupannya yang sebenarnya tempat ia bermesyuarat apa-apa hal-ehwal pekerjaannya yang sukar-sukar.
Ada pun Talat Bey pada malam itulah juga ia pergi berjumpa besannya Kasim Bey di rumahnya. Maka dengan kerana kepandaiannya yang beserta dengan ikhlasnya membuat kerja itu, dapat sempurnalah semuanya bagaimana kehendaknya. Kemudian tiada beberapa lama diterimalah oleh Talat Bey semua bahagian Faridah Hanom, dibangunkannya beberapa sekolah perempuan yang baharu, dan ditolongnya beberapa sekolah yang telah sedia yang berhajat kepada pertolongan. Kemudian daripada telah bersetuju ia dengan menteri pelajaran negeri.
Ada pun pada permulaan pekerjaannya itu berbagai-bagailah ia menerima kata nesta daripada segala syaitan yang mengaku akan dirinya itu hulubalang agama Islam dengan segala kaum sagainya[37]. Tetapi oleh sebab tiada ia mengambil endah akan segala tutur kata itu serta kekal…
dan bertekun ia membuat pekerjaannya dengan wang yang limpah daripada bahagian Faridah Hanom itu, maka berjalanlah pekerjaannya itu dengan sangat majunya. Tiada beberapa lama nampak dan terbitlah daripada pekerjaan yang sangat mulia ini buah-buahan yang sangat lazat daripada perhimpunan perempuan-perempuan Mesir. Ketika itu banyaklah orang-orang yang berupaya daripada anak-anak negeri bangun meniru dan meluaskan pelajaran anak-anak perempuan miskin dan kaya dengan membangunkan beberapa sekolah yang berbagai pangkat darjat pelajaran di dalamnya. Hingga boleh didapati pada[3] masa ini beberapa banyak anak-anak perempuan yang telah keluar daripadanya dengan pengetahuan menjadi pengarang membangunkan sendiri beberapa macam surat-surat khabar dan majalahmajalah di dalam bahasa Arab dan Feransis[38], dan membangunkan beberapa tempat perhimpunan perempuan yang keluar daripadanya[3] suara menuntuti hak mereka itu daripada kerajaan, sehingga masuklah mereka itu bercampur di dalam tiap-tiap kali jadi perhimpunan segala jenis perempuan bangsa-bangsa Eropah di dalam Rom, Paris hingga ke Amerika, kerana menuntut hak perempuan daripada kerajaan masing-masing.
Bermula, sekalian orang-orang yang membaca surat-surat khabar Mesir mengetahuilah ia dengan membaca percakapan Al-Syedah Huda Hanom Sharawi yang dipertua perhimpunan perempuan-perempuan Mesir dan perkataan setia usahanya[39] al-Siti Shiza Nabrawi di dalam segala perhimpunan yang besar-besar di dalam benua-benua Eropah pada menyatakan kelebihan agama Islam dan hukum-hukumnya yang mengangkatkan perempuan-perempuan daripada kejatuhan kedalam[40] barisan perhimpunan manusia yang ramai dan bahawa kebodohan perempuan dan hukuman yang dihukumkan ke atas mereka itu di dalam kebanyakan perhimpunan kaum Islam pada masa ini, menyalahi sekali daripada kehendak-kehendak dan suruhan agama Islam, oleh sebab kebodohan kebanyakan ahli-ahlinya akan kehendakkehendak agamanya yang mulia…
itu, kerana menurut adat istiadat lama yang dijalankan oleh datuk nenek semata-mata adanya, tammat.
[Sehingga disini pengarang meminta kebenaran sekalian pembaca hendak berhenti dahulu kemudian daripada harap dimaafkan apa-apa yang tersalah dan terlangsung kalam di dalam karangan ini mana-mana yang terlintas di hati sekalian pembaca yang bijaksana kurang patut dituliskan di dalamnya maka perjanjian pengarang kepada sekalian pembaca akan berjumpa lagi tiada berapa lama di dalam hikayat taman cinta berahi atau Mahir Afandi dengan Ikbal Hanom yang telah dimulai cap sekarang besarnya lebih kurang 600 muka di dalam tiga panggal maka hikayat ini jika tiada lebih daripada hikayat ini maka tiadalah kurang sekali-kali daripada faedah-faedah yang akan diperoleh oleh pembaca-pembaca laki-laki dan perempuan di dalam perkara agama dan perhimpunan kehidupan dunya adanya.
Critical apparatus
Bearbeiten- ↑ Keelokan Roh Agama Islam c.
- ↑ a b c d e omitted in d, e.
- ↑ a b c d e f g omitted in c.
- ↑ Shafik Afandi c
- ↑ muwafakat c, muwakatlah tuan omitted in d, e.
- ↑ tanda tangani c.
- ↑ Lalulah ia c, lalu ia d, e.
- ↑ omitted in e.
- ↑ kebajikan c.
- ↑ adab in d, e.
- ↑ makni e.
- ↑ tinggalkan semuanya itu kemudian daripada anakanda omitted in c.
- ↑ akan tuan omitted in c.
- ↑ nyaanyna in e.
- ↑ berjahat d, e.
- ↑ kita d, e.
- ↑ anak c.
- ↑ itulah c.
- ↑ sesiapa c.
- ↑ bagi perhimpunan yang ramai. Maka faedah-faedah dan manfaat omitted in c.
- ↑ bahagian c, d, e.
- ↑ wajiblah e.
- ↑ di dalam pemeliharaannya, masuklah bersama-sama juga omitted in c.
- ↑ pembaca e.
- ↑ berlanggan d, e.
- ↑ dibantulah c.
- ↑ kumpulan e.
- ↑ dan baca omitted in c.
- ↑ kutubkhane in c.
- ↑ ayahanda c.
- ↑ arah e.
- ↑ pada membantu akan kaum dan bangsanya kepada omitted in e.
- ↑ Maka d, e.
- ↑ memberi hambaMu omitted in d, e.
- ↑ tauladan d, e.
- ↑ menantunya serta berkata, "Diamlah tuan sudah. Tidak apa. Pergilah tuan balik ke tempat segala pekerjaan omitted in e.
- ↑ suku sakitnya c, kaum sakainya d, e.
- ↑ Frances d, Perancis e.
- ↑ usaha c.
- ↑ masuk kedalam c, d, e.
- ↑ […] omitted in c, d, e.