Hikayat Faridah Hanom 20
Ada pun Faridah Hanom kemudian daripada telah turun ayahanda kedua serta suaminya Shafik Afandi, maka bangunlah ia berjalan masuk ke dalam biliknya sambil memanggil Khatun bersalin pakaiannya lalu masuk ke dalam peraduannya beradu kerana matanya sangat mengantuk lagi ditunggu oleh Khatun dengan Saad. Setelah lampau pertengahan malam[1], maka Shafik Afandi pun masuklah ke dalam bilik. Apabila dilihat oleh Saad dan Khatun Shafik Afandi masuk itu segeralah keduanya bangun berjalan keluar sambiI menarikkan pintu bilik itu. Maka Shafik Afandi pun segeralah masuk ke dalam peraduan dilihatnya isterinya telah beradu sangat cendera rupanya. Lalu ia baring perlahan-lahan tiada berani mengusik akan dia dan matanya pun sangat mengantuk lalu beradu di sisi isterinya.
Setelah hari hampir akan siang, maka Faridah Hanom pun terkejut juga dilihat suaminya ada beradu di sisinya, serta[2] dilihatnya jam pukul lima betul. Maka bangunlah ia perlahan-lahan berjalan terus ke bilik mandi dilihatnya air panas telah sedia. Maka segeralah ia mandi dan bersuci diri lalu mengambil air sembahyang masuk sembahyang subuh…
ke dalam bilik pakaiannya. Kemudian bersalinlah ia akan pakaiannya sambil berhias dirinya lalu keluar masuk ke dalam peraduan dilihatnya suaminya lagi beradu cendera, maka duduklah ia di sisi suaminya sambil memicit badan suaminya perlahan-lahan. Maka Shafik Afandi pun terkejut membuka matanya, dilihatnya isterinya yang duduk hampirnya memicit akan dia seumpama bulan yang penuh purnama memancar-mancar cahayanya dengan semerbak harum bau-bauan yang dipakainya. Maka Shafik Afandi pun tiadalah tertahan hatinya serta hilanglah daripadanya peringatannya akan perkataan isterinya memarahkan dia tadi lalu ia bangun sambil mengangkat isterinya di riba[3] dan dipeluk diciumnya seluruh tubuhnya. Maka Faridah Hanom pun segeralah turun daripada ribaannya sambil berkata: "Hari telah cerah. Silalah kakanda bangun mandi sembahyang subuh, kerana petang tadi kakanda tiada mandi jika berlambatan habislah waktu kelak. Maka Shafik Afandi pun segeralah keluar daripada peraduannya, terus ke bilik mandi lalu bersiram. Kemudian masuk bersalin pakaian lalu sembahyang subuh kerana hari telah siang. Manakala telah selesai sembahyang Shafik Afandi pun berjalan keluar daripada bilik pakaian itu, didapatinya isterinya ada menanti akan dia di pintu biliknya itu. Apabila terpandang sahaja ia akan suaminya segeralah ianya[4] mengambil tangan suaminya diciumnya. Maka Shafik Afandi pun segeralah mencium mulut isterinya dengan sangat heran rasa hatinya melihat tertib aturan Faridah Hanom ini. Maka tumpahlah roh kasih sayangnya kepadanya sama sekali. Kemudian Faridah Hanom pun memimpin tangan suaminya berjalan pergi ke anjung, didapati oleh Shafik Afandi di situ telah sedia serba jenis minuman kopi dan teh dan lainnya untuk persantapan yang menghilangkan masam mulut pagi. Maka duduklah Shafik Afandi laki-isteri minum apa-apa yang bersetuju kepadanya. Kemudian berjalanlah Shafik Afandi berdua laki isteri turun ke taman kerana…
tanah telah cerah dan matahari pun telah mulai terbit. Maka di dalam berjalan itulah Farida Hanom berkata kepada[5] Shafik Afandi, "Maafkan beta abang pada kali ini, kerana terlalu lena beta ketiduran malam ini oleh sebab sangat mengantuk di buat berjaga tidak dapat tidur beta beberapa malam ini." Maka Shafik Afandi pun tersenyum sambil duduk di atas[6] kerusi tempat yang selalu ia duduk berhenti di dalam taman itu serta menarik isterinya didudukkan ke atas pangkunya sambil dipeluk diciumnya[7] serta berkata: „Usahlah tuan memaksa diri tuan[1] membuat peraturan yang menyusahkan nyawa abang." Maka Faridah Hanom pun tersenyum mendengar perkataan suaminya itu sambil bangun dari ribaan suaminya duduk di atas kerusi serta berfikir di dalam hatinya, mulailah aku mendengar racun kesentosaan kehidupan laki-isteri pada pagi ini. Tetapi suatu pun tiada apa jawabnya, hanyalah berkata-kata di dalam peringatan, baiklah aku menunggu sedikit hari lagi melihatkan halnya ini. Maka jika lalai juga ia dengan menurutkan hawa nafsunya, wajiblah di atas ku mengingatkan dia dengan sifat aku bini yang hendak sangat hidup berkasih-kasihan selama-lamanya. Kemudian dilayaninyalah akan suaminya berkata-kata yang menyukakan hatinya, lalu dibawanya berjalan hingga ke laman hadapan rumahnya. Sampai masa futur pagi masuklah keduanya ke dalam rumah, didapatinya ayahanda bondanya serta Muhammad Afandi telah sedia menanti. Maka keduanya pun[1] segeralah mendapatkan ayahanda bondanya, mencium tangan keduanya serta berjabat tangan dengan iparnya, sambil duduk makan futur sekaliannya dengan bergurau-senda[8] yang[5] menyukakan hati.
Setelah habis[9] makan, masing-masing pun bangunlah, dan Shafik Afandi pun naiklah laki isteri ke atas rumahnya duduk bergurau senda laki-isteri menyukakan hati…
bagaimana adat kalian pengantin baharu. Maka di dalam tiga hari tiga malam itu tiadalah Faridah Hanom mengubah bagaimana adatnya setiap pagi sebelum pukul lima ia dahulu mandi, sembahyang. Kemudian memakai pakaiannya, pergi memicit suaminya supaya bangun sembahyang subuh. Dan apakala lepas suaminya sembahyang datanglah ia mencium tangannya serta membawa keluar minum air dan berjalan turun ke dalam taman makan angin. Maka heranlah Shafik Afandi melihat peraturan isterinya yang tiada hendak berubah sekali-kali beberapa pun dilarangnya, tiada diberinya menyusahkan dirinya itu tiadalah dijawab oleh Faridah Hanom perkataan itu.
Setelah lepas tiga hari Shafik Afandi berkahwin dengan Faridah Hanom itu, datanglah ayahanda-bonda Shafik Afandi dengan segala kaum kerabatnya hendak mengambil Shafik Afandi laki-isteri[1] pindah ke rumahnya. Maka Kasim Bey pun melepaskan anakanda pergi serta dibekalkannya segala perkakas dan harta benda dengan dayang-dayang dan Saad dengan Khatun pun dibawalah oleh Faridah Hanom bersama-samaanya. Maka kemudian daripada kembali Shafik Afandi ke rumahnya berjamulah Talat Bey akan sekalian sahabat handainya dan orang besar-besar negeri dan bermain-main tiga hari tiga malam dengan berbagaibagai permainan.
Setelah selesai daripada bekerja dan bersuka-suka itu, Talat Bey laki-isteri pun memanggil anakanda laki-isteri ke tempatnya serta berkata: "Anakku kedua, sekarang tuan telah disampaikan oleh Tuhan bagaimana kehendak dan kesukaan anakanda kedua. Kemudian daripada beberapa[1] susah anakku kedua menanggung azab sengsara sehingga hampir hendak hilang dengan nyawa tuan kedua. Maka kemudian daripada ini, fikiran ayahanda tiadalah bagi anakku kedua cita-cita yang besar lain daripada menghadapi akan kehidupan yang akan datang. Maka oleh sebab anakku…
kedua sempurna pelajaran tiadalah ayahanda bimbang sekali-kali hal itu. Tentulah anakku kedua mengerti bagaimana anakku mesti hidup dengan kesempurnaan di dalam dunia ini. Dengan kerana ini daripada hari ini, ayahanda serahkan kepada anakku kedua segala harta benda dan rumahtangga dan segala isinya ke dalam pemeliharaan dan jagaan anakanda kedua. Maka anakkulah boleh ganti ayahanda menjalankan segala hal-ehwal pekerjaan ayahanda, kerana ayahanda sudah tua. Hanyalah ayahanda hendak menumpang menyukakan hati sahaja memandang tuan kedua di dalam kesempurnaan, dan tuan kedua belalah ayahanda dengan bonda ini sementara menantikan ayahanda-bonda ini mati. Kerana ayahanda tiada mempunyai anak lain daripada tuan." Maka bonda Shafik Afandi pun segeralah menyambung perkataan suaminya itu dengan katanya, "Sebenarnyalah tuan, bagaimana kata ayahanda itu. Sungguh pun nasib bonda tiada dikurnia oleh Tuhan anak perempuan, tetapi bonda mendapat anakku Faridah ini samalah rasanya macam bonda mendapat anak perempuan juga." Bonda Shafik Afandi berkata-kata itu sambil menangis oleh sayu dan pilu rasa hati mendengarkan suaminya mengatakan hendak menantikan sementara mati itu sahaja bagaikan sungguh rasanya hendak meninggalkan anakanda kedua, lalu diturut oleh anakandanya kedua menangis sama. Maka Talat Bey pun tiada tertahan rasa hatinya lalu segeralah ia bangun mengajak anakanda Shafik Afandi keluar ke tempat pekerjaan menyerahkan segala hal-ehwal pekerjaannya, serta menyuruh memanggil loyar membuat surat serahan itu daripada masa hidupnya hingga kemudian daripada matinya.
Ada pun bonda Shafik Afandi, maka bangunlah ia memimpin tangan Farida Hanom dibawanya berjalan ke tengah rumah serta memanggil Aliah ketua segala dayang-dayang yang di dalam rumah…
itu seraya berkata: "Daripada hari ini, rumah ini dengan segala harta benda yang di dalamnya, masuklah di dalam milik dan hukum anakku Faridah Hanom. Tiadalah dapat siapa-siapa pun melanggar suruh tegahnya. Siapa-siapa orang-orang yang di dalam rumah ini yang disukai oleh Faridah Hanom hendak ditaruhnya, boleh. Dan siapa-siapa yang tiada disukainya, boleh dihalaunya dan digantinya dengan siapa-siapa yang tiada disukainya, boleh dihalaunya dan digantinya dengan siapa-siapa yang disukainya. Tiadalah seorang pun boleh engkar atau mengganggu akan hukumannya." Kemudian dibawanya Faridah Hanom berjalan segenap tempat dan biliknya di dalam rumah yang sangat besar itu serta diserahkannya segala harta benda itu dengan anak kunci tiap-tiap suatu daripadanya. Maka Faridah Hanom pun menerima daripada mertuanya apa-apa yang diserahkannya itu dengan tidak menjawab sepatah pun apa-apa perkataannya. Hanyalah berhamburan air matanya oleh sangat kasihan rasa hatinya melihat mertuanya melakukan segala perkara itu dengan berupa sangat ikhlas, bersih hati, serta nampak sangat kepadanya akan kasih sayangnya. Dan bonda Shafik Afandi pun sangat belas serta kasih sayang akan menantunya oleh melihat ia menangis itu. Lalu dipeluk diciumnya seraya berkata: "Diamlah tuan, pergilah tuan balik ke tempat tuan bersenang diri." Maka Faridah Hanom pun mencium tangan mertuanya lalu berjalan balik ke tempatnya diiringkan oleh sekalian dayangdayang. Serta sampai lalu duduk ia di atas kerusi melengung memikirkan hal kedua mertuanya sambil berfikir di dalam hatinya, sampailah sudah masa aku mesti mengerjakan segala kewajipan aku. Tiadalah boleh lagi aku menurutkan hawa nafsu Shafik Afandi ini[10] terlebih-lebihan[11] lagi akhirnya aku juga yang kecewa bagaimana kebanyakan perempuan-perempuan yang tertipu daya dengan kasih sayang dan pujuk rayu lakinya pada permulaan baharu berkahwin. Lalu ia memandang kepada Aliah, maka terpandanglah ia kepada Aminah, dayang bonda Shafik ada duduk bersama-sama di situ. Faridah Hanom pun bertanyalah…
kepada Aminah, "Pukul berapakah ayahanda-bonda selalu bangun pagi." Jawab Aminah, "Sentiasalah ayahanda bonda kedua bangun subuh pukul lima. Lepas sembahyang jika musim panas bagaimana masa ini, keduanya keluar berjalan kaki terkadang naik kereta sampai waktu futur baharulah balik." Kata Faridah Hanom, "Lihatlah Aminah akan[5] dia baik-baik bagaimana biasa, jangan berkurangan, kasihan beta akan keduanya telah tua. Patut sangatlah sudah ia bersenang diri. Dan ibu beta Aliah pun usahlah bimbang sangat lagi akan tuan ibu ini. Biarlah beta menggantikan ibu menjaga akan dia, cukuplah teman beta. Khatun dengan Ibrahim saudaranya baiklah ibu membantu Aminah menjaga ayahanda bonda kedua. Dan Saad boleh menjaga sekalian budak-budak yang menjaga dan membersihkan rumah. Maka Aliah pun tertawa sambil berkata: "Baiklah tuan. Mana-mana perintah tuan tiadalah dayang menyalahi, tetapi tuan hendak menggantikan dayang menjaga tuan dayang ini baikbaiklah sedikit, jangan pula tuan tiada tahan selalu merajuk." Maka Faridah Hanom pun tersenyum mendengar perkataan Aliah itu. Dan sekalian dayang-dayang yang hadir di situ pun tertawa perlahan-lahan tiada berani mengangkat suara. Lalu sekaliannya bermohon masing-masing pergi melihat kerjanya. Dan Faridah Hanom pun bangunlah ke meja tulisnya menulis peringatan apa-apa yang wajib di atasnya melakukan dia. Setelah hari petang, Shafik Afandi pun baliklah[12], didapatinya isterinya ada sedia menanti dengan siap pakaian seumpama merak mengigal. Maka Shafik pun memberi salam sambil mencium mulut isterinya, dan Faridah pun menjawab salam serta mencium tangan suaminya dan membukakan bajunya mengangkat tarbush mengambil kipas, mengipas akan suaminya sambil menyuruh Khatun membawa masuk air minum-minuman diletak di hadapan suaminya. Minum keduanya dengan gurau-sendanya yang menyukakan hati. Maka Shafik Afandi pun tumpahlah roh kasih sayang kepada isterinya…
oleh melihatkan padan sangat rupa yang elok itu dengan adab tertib peraturannya, tiada berubah daripada mula berkahwin sehingga masa ini.
Setelah keesokkan hari pagi-pagi Faridah Hanom lepas membangunkan suaminya dan minum air bagaimana biasanya yang tidak hendak sekali-kali diubahnya beberapa dilarang oleh Shafik Afandi sekali pun. Maka pada pagi itu apabila telah habis minum teh dan kopi meminta izinlah Faridah Hanom daripada suaminya hendak keluar sebentar. Lalu ia berjalan ke bilik mertuanya, didapatinya kedua mertuanya telah keluar berjalan dan Aliah dengan Aminah ada tengah berkemas akan biliknya. Maka Faridah Hanom pun memeriksalah peraturan bilik itu serta diubahnya segala peraturan bilik itu mana-mana yang patut diubah. Dan digantinya mana-mana yang telah lama serta menyuruh mengganti perkakas tempat peraduan mertuanya dan mengatur bagaimana yang difikirnya elok, serta memberi hukum kepada Aliah dan Aminah apa-apa yang mesti diperbuat oleh keduanya setiap pagi. Setelah selesai semuanya, maka masuklah pula Faridah Hanom ke bilik makan dan di situ pun diubah dan diganti serta diatur ditambah segala perkakas dan perhiasan yang kurang serta memberi hukum kepada segala dayang-dayang yang menjaga bilik itu apaapa yang wajib diperbuat oleh mereka itu setiap hari. Kemudian keluarlah Faridah Hanom melihat Saad menyuruh[13] sekalian orang-orang membersihkan rumah itu dan memberi hukum serta mengatur apa-apa yang patut langsung[14] ia ke tempat masak melihat makanan futur pagi yang diperbuat oleh sekalian orang yang bekerja di dapur itu, serta memberi hukum apa-apa yang patut diperbuat pada masa yang akan datang setiap hari. Setelah selesai Faridah Hanom daripada membetulkan ehwal rumah itu, dilihatnya jam telah pukul tujuh hampir waktu futur. Maka segeralah ianya[15] balik…
ke biliknya, bersalin pakaian dan berhias diri. Kemudian baharulah ia keluar mencari suaminya Shafik Afandi, didapatinya suaminya tiada lagi di tempatnya, dan dicarinya di dalam biliknya pun tiada. Lalu ia duduk seorang dirinya menanti suaminya balik.
Ada pun Shafik Afandi setelah isterinya keluar itu, dinanti-nantinya lambat balik. Maka segeralah ia berjalan keluar mencari akan dia, tiba-tiba didapatinya orang di dalam rumah itu sibuk dengan pekerjaan masing-masing berlainan daripada sehari-hari. Lalu ia berjalan terus ke bilik ayahanda bondanya, didapatinya Aliah dan Aminah dengan dayang-dayang masing-masing dengan pekerjaannya mengubah mengganti dan memasang perkakas bilik itu. Maka diperhatikannya bilik itu pun telah berubah peraturan dan perkakas daripada sehari-hari ditanya oleh[16] Shafik Afandi kepada Aliah, "Ke mana pergi Faridah Hanom." Jawab Aliah, "Telah keluar daripada tadi dari sini". Maka Shafik Afandi pun berjalan keluar masuk bilik makan di situ pun dilihatnya telah berubah dan beratur berlainan daripada sehari-hari, lalu keluar sekali Shafik Afandi ke tengah rumah dilihatnya Saad tengah bekerja dengan sekalian dayang-dayang mengatur dan membersihkan rumah. Diperiksanya kepada Saad, "Ke mana pergi Faridah Hanom?" Jawab Saad, "Ia turun ke dapur tuan, baharu sebentar." Kata Shafik Afandi, "Apakah kerja tuan ibu itu susah sangat nampaknya dari pagi-pagi hari ini." Jawab Saad, "Begitulah adat adinda itu tuan selama-lamanya bekerja di rumah, berkemas dan membetulkan segala perkakas serta membersihkan dia, dikehendakinya mesti bekerja dari bangun pagi mesti habis selambat-lambatnya hingga[17] pukul delapan[18] pagi sebelum futur. Dan kemudian daripada itu tiadalah boleh dilihatnya seorang pun bekerja berkemas lagi melainkan masing-masing mesti bekerja lain pula jika ada tiap-tiap seorang punya[19] kerja. …
Maka oleh sebab bonda telah menyerahkan kepadanya semalam pekerjaan rumah ini, jadi pada pagi ini adinda sendirilah menunjukkan sekalian orang-orang bekerja serta memberi peraturan mana-mana yang dikehendakinya dikerjakan setiap-tiap hari." Setelah didengar oleh Shafik Afandi hal isterinya itu, segeralah ia turun ke dapur pula hendak melihat apa pula diperbuat oleh isterinya di situ. Maka apabila sampai ia ke dapur diperiksanya isterinya kepada sekalian orang yang di situ. Jawab mereka, "Itu adinda telah berangkat naik balik." Maka Shafik Afandi pun segeralah berjalan balik ke biliknya, didapatinya isterinya ada duduk bersama-sama Khatun berkemaskan barang-barangnya. Apabila dilihatnya oleh Faridah Hanom suaminya masuk itu, maka[5] segeralah ianya[20] bangun menyambut suaminya dengan manis mukanya, sambil berkata: "Ke manakah kakanda berjalan, lama adinda menanti kakanda." Jawab Shafik, "Abang pergi ke bawah sebentar melihat ayahanda lambat balik." SambiI duduk di sisi isterinya berkata-kata perkataan yang menyukakan hatinya, tiadalah hendak ia menegurkan apa-apa perbuatan isterinya yang dilihatnya itu. Tetapi hatinya sangatlah kasihan akan isterinya mengambil susah pekerjaan rumah dengan sendirinya itu, oleh sebab bondanya menyerahkan hal-ehwal rumah itu kepadanya. Ada seketika duduk, maka Faridah Hanom pun berkata: " Memakailah abang, mari kita pergi futur bersama-sama ayahanda bonda supaya suka hatinya. Kasihan adinda akan keduanya sangatlah besar hatinya akan kita berdua." Maka Shafik Afandi pun berpaling dilihatnya seluar bajunya pun telah dibawa oleh Khatun keluar daripada bilik pakaian, bertanya kepadanya, yang mana hendak dipakainya. Maka Shafik Afandi pun tersenyum sambil memimpin isterinya masuk ke bilik pakaian memakai dihiasi oleh isterinya. Setelah siap, keluarlah keduanya berjalan menuju ke bilik makan.
Ada pun Talat Bey setelah lepas pukul delapan baliklah ia laki-isteri ke rumahnya. Maka[1] apabila masuk ia ke dalam biliknya, didapatinya biliknya telah berubah sekali peraturannya dengan bertukar segala perkakas yang lama diganti baharu. Lalu ia bertanya kepada Aminah. "Siapakah yang berkemas di bilikku pagi ini." Jawab Aminah, "Anakanda Hanom sendiri," serta dikhabarkannya segala hal-ehwal Faridah Hanom dan hukuman yang dihukumkannya ke atas sekalian dayang-dayang yang bekerja dan suruhannya kepada Aliah itu.
Setelah didengar oleh Talat Bey laki-isteri perkataan Aminah itu, sangatlah suka hati keduanya. Lalu keluarlah keduanya ke bilik makan. Didapatinya di sana pun telah berubah peraturannya. Seketika keduanya duduk itu Faridah Hanom laki isteri pun datanglah berpegang tangan masuk ke bilik makan umpama bulan dengan matahari nampak dipandang oleh mertuanya kedua. Maka segeralah ditegur oleh Talat Bey laki-isteri sambil berkata: "Datang anakku kedua, marilah makan bersama-sama ayahanda kedua. Fikiran ayahanda jika boleh setiap hari tuan makan bersama-sama ayahanda sangatlah suka hati ayahanda. Kerana ayahanda berdua bonda ini sahaja terasa kekurangan rasanya selama anakku Shafik tiada ini." Maka Faridah pun tersenyum memandang suaminya bila mendengar perkataan mertuanya itu. Maka Shafik Afandi pun tertawalah seraya menjawab perkataan ayahandanya, "Pagi inilah anakanda Faridah Hanom mengajak anakanda daripada hari ini makan bersama-sama ayahanda kerana kasihan ia akan ayahanda berdua sahaja santap dengan tidak berkawan." Maka Talat Bey laki-isteri pun tertawa mendengar perkataan anakanda itu, lalu santap sekaliannya sambil bergurau senda yang menyukakan hati.
Setelah habis ayahanda-bonda santap itu, Shafik Afandi laki-isteri pun berjalanlah balik ke tempatnya duduk bergurau senda laki-isteri. Maka apabila dilihat oleh Faridah Hanom telah pukul sembilan setengah Shafik Afandi belum juga lagi ada nampaknya hendak keluar melihat kerjanya berfikirlah ia di dalam hatinya, jika aku layani turut nafsunya ini, nescaya rosaklah ia dan aku pun mendapat kecewa juga akhirnya. Baiklah aku menjaga muslihat yang mendatangkan kebajikan kepadanya dan kebajikan kepada aku juga. Jika ia hendak marah pun biarlah mana sukanya asalkan aku menjalankan kewajipan bini yang dikehendaki bagi memelihara muslihat lakinya mana-mana yang tersampai kepada[21] upaya aku. Maka Faridah Hanom pun bangunlah serta berkata: "Jika abang belum hendak keluar melihat kerja-kerja yang wajib, benarkanlah adinda keluar dahulu melihat apa-apa yang wajib di atas adinda." Maka Shafik pun tergeraklah rasa hatinya mendengar perkataan isterinya itu, tetapi suatu pun tiada apa dijawabnya, hanyalah dipandangnya muka isterinya dengan senyumnya. Maka tahulah Faridah Hanom akan hati suaminya itu, lalu segeralah ia bangun memeluk leher suaminya sambil meletakkan kepalanya ke dada suaminya seraya berkata: "Kakanda adalah adinda ini sangat kasih akan kakanda. Maka kasih adinda itu sangatlah adinda berkehendakkan kekalnya hingga sampai ke mati. Dengan sebab inilah adinda sangat bersungguh-sungguh hendak menjaga dan menjalankan kewajiban adinda dengan sifat adinda bini yang kasih akan lakinya. Dan jikalau seorang suami yang kasihkan isterinya itu sentiasa ianya bersusah payah mencari dan menambah akan pendapatan nafkah kehidupannya kerana hendak memelihara anak isterinya, maka tiadakah[22] wajib di atas isterinya bekerja di dalam rumahnya menyediakan segala alatan kesenangan suaminya yang boleh menyukakan hatinya sehingga melupakan kepenatannya bekerja itu. …
Sungguhlah di dalam rumah kakanda ini banyak hamba sahaya yang boleh disuruh bekerja, tetapi bolehkah sama pekerjaan orang dengan kerana gajinya itu, dengan kerja adinda dengan kerana kasih sayang ini.
Agaknya bukan kakanda tiada tahu akan segala perkara ini, tetapi kakanda sangat menurutkan nafsu laki-laki kakanda sahaja, lupalah kakanda akan pendapatan yang dibelakang hari. Tidakkah kakanda ketahui yang nafsu itu akan menerima jemu. Maka jikalau adinda turutkan sangat nafsu kakanda itu, duduk berolet siang dan malam tidak bekerja dan tidak menjaga kewajipan adinda bagi kesenangan dan kesukaan kakanda didalam rumahtangga sehingga biasa dan sedaplah adinda dengan tabiat pemalas itu ketika sampai masa kakanda telah terasa jemu daripada berolet di belakang hari kelak apakah yang ada kesukaan kakanda[23] kepada adinda lagi di dalam rumah ini jika tiada kakanda mendapat kesenangan dan kesukaan di dalamnya. Kerana ini, Sabar! Sabar!! Sabarlah kakanda, bukanlah kakanda tiada tahu kewajiban orang laki-bini sangat banyaknya, bukanlah semata-mata menurutkan nafsu dan syahwat sahaja, silalah kakanda pergi melihat kerja-kerja dahulu, kemudian kelak kita akan membuat peraturan yang mengelokkan kehidupan perhimpunan kita."
Apakala didengar oleh Shafik Afandi akan segala perkataan isterinya itu, baharulah ia tahu akan kehendak isterinya itu. Maka sangatlah sesal hatinya mengambil hati akan perkataan isterinya tadi serta datanglah kasih sayangnya. Lalu dipeluk diciumnya isterinya sambil berkata: "Mana-mana perintah tuan tiadalah abang menyalahi sekali-kali." Lalulah[24] ia[25] berjalan keluar dihantar Faridah Hanom akan suaminya itu hingga ke pintu luar sekali. Kemudian masuklah …
Faridah Hanom berjalan memeriksa segala bilik-bilik dan tempat orang-orang datang, menyuruh membetul dan mengaturkan serta mengganti mana-mana yang telah lama. Lalu ia terus balik ke biliknya bersalin pakaiannya, turun ke dapur melihat apa-apa yang diperbuat oleh tukang masak, dan diambilnya serta dikemaskannya suatu bilik yang hampir dengan dapur itu dibersihkannya, dan ditaruhnya segala perkakas tempat ia hendak membuat apa-apa makanan yang digemarinya. Maka duduklah ia di situ, sehingga pukul dua belas diketahuinyalah bahawa suaminya hampir[5] akan balik, lalulah ia berjalan balik ke biliknya kemudian daripada ia berpesan kepada dayang-dayang di situ apa-apa yang dikehendakinya. Dan masuklah ia membersihkan badannya serta bersalin pakaian memakai bau-bauan duduk menunggu suaminya. Ada seketika Shafik Afandi pun baliklah, maka Faridah Hanom pun segeralah menyambut suaminya masuk ke bilik, duduk sebentar. Keluarlah keduanya masuk ke bilik makan, didapatinya ayahanda bonda pun telah keluar keduanya hendak santap. Maka santaplah sekaliannya sambil bercakap masing-masing menyukakan hati. Ada pun Talat Bey santap itu dilihatnya makanan itu berlainan daripada sehari-hari, banyak macam yang sangat lazat-lazat rasanya. Maka diketahuilah oleh kedua laki-isterinya akan Faridah Hanom sendiri mengatur[26] masakan itu. Setelah selesailah santap sekaliannya, maka Faridah Hanom laki-isteri pun kembalilah ke tempatnya duduk bersuka-sukaan laki-isteri. Kemudian Shafik Afandi pun keluarlah pergi melihat kerjanya dihantar oleh Faridah Hanom hingga ke pintu bawah.
Setelah Shafik Afandi keluar, maka Faridah Hanom pun baliklah ke tempatnya duduk menjahit dengan Khatun serta seorang dua dayang yang mengerti dan pandai menjahit membuat apa-apa barang yang patut ditambah dan dibuat perhiasan rumah. Hingga pukul empat petang…
berhentilah sekaliannya. Maka Faridah Hanom pun masuklah membersihkan badannya serta bersalin pakaiannya memakai bau-bauan menantikan suaminya balik. Ada seketika Shafik Afandi pun baliklah disambut oleh isterinya dengan manis muka dibawanya masuk ke dalam bilik membuka pakayan, duduk sebentar dikipas oleh isterinya serta minum air dan makan apa-apa makanan yang telah disediakan oleh iterinnya, kemudian masuk bersiram ke dalam bilik air, mengangkat air sembahyang, dan sembahyang asar. Lalu bersalin pakaian keluar berjalan laki-isteri naik kereta pergi ke rumah mertuanya Kasim Bey laki-iteri sehingga malam baharulah balik.
Demikianlah[27] hal Faridah Hanom setiap hari tiadalah berubah ia daripada peraturannya itu, dengan tidak sekali-kali ia hendak melayan suaminya menurutkan hawa nafsunya di dalam masa yang patut suaminya membuat pekerjaannya. Tetapi senantiasalah[28] ia menambah dan membuat peraturan yang memberi bertambah[29] kesenangan dan kesukaan suaminya di dalam rumahnya, sehingga tiadalah dapat suaminya[30] hendak menyalahi apa-apa kehendaknya oleh sebab terasa malu di dalam hatinya hendak memaksa isterinya menurutkan hawa nafsunya di dalam masa[31] yang tiada digemarinya. Maka degan sebab ini bertambah-tambahlah peringatannya kepada isterinya hingga di dalam masa ia di dalam office pekerjaannya menanti nantilah sahaja ia sampai masa waktu berhenti kerja, hendak segera balik mendapatkan isterinya, memandang dan menilik akan rupa yang sangat elok yang sentiasa terbayang-bayang di orang-orang matanya oleh keelokan perangainya itu.
Ada pun Faridah Hanom mengetahuilah juga ia akan hati suaminya itu, maka sangatlah kasihan rasa hatinya. Tetapi oleh sebab ia sangat hendak memeliharakan[32] muslihat…
kehidupan suaminya dan muslihat dirinya, maka dipaksanyalah juga hatinya menjalankan tuntutan yang membawa kepada memanjangkan kasih sayang dan kesenangan di dalam rumah-tangga itu. Apabila sampai pada hari yang diketahuilah oleh Faridah Hanom akan esok hari Jumaat, tentulah suaminya tiada keluar ke tempat pekerjaannya, sebab hari ini hari kelepasan tiap-tiap tujuh hari sekali, dan ia pun tentulah tiada dapat meninggalkan lama suaminya duduk seorang diri, maka segeralah Faridah Hanom memanggil tukang masak memesan kepadanya apa-apa makanan yang hendak diperbuat dan ditambahnya pada hari Jumaat itu serta menyuruh Saad melayani akan tukang masak pada hari esok di dalam pekerjaannya menyempurnakan apa-apa yang dipesan dan dikehendak oleh Faridah Hanom daripada makanan yang belum tukang masak pernah membuat akan dia. Kemudian disuruh oleh Faridah Hanom Ibrahim pergi membeli beberapa buah buku dan surat-surat cerita yang baharu keluar di dalam bahasa Arab dan Feransis[33] yang telah ditulisnya segala nama-namanya di dalam sehelai kertas yang diambilnya daripada surat iklan dan surat-surat khabar memasyhurkan buku-buku itu.
Apabila telah selesai segala pekerjaannya, segeralah ia masuk membasuh badan berhias dan bersalin pakaian kerana hari telah petang hampirlah waktu Shafik Afandi akan balik. Seketika Shafik Afandi pun baliklah, maka terpandanglah ia daripada[34] jauh isterinya menanti di muka pintu seumpama bintang zahrah bercahayacahaya nampak kepada pandangannya. Maka terlupalah Shafik Afandi segala fikirannya dan kepenatannya, segeralah ia menerkam ke muka pintu mendapatkan isterinya. Maka Faridah Hanom pun segeralah menyambut suaminya dipimpin berjalan masuk ke biliknya dibukakannya bajunya dan angkatnya[35] akan tarbush[36]. Maka Shafik…
Afandi pun memeluk mencium akan isterinya. Kemudian duduklah keduanya di kerusi sambil Faridah Hanom mengipas akan suaminya serta memanggil Khatun menyuruh membawa masuk minuman dan makanan yang telah disediakannya memang untuk suaminya balik daripada pekerjaan petang hari. Setelah selesailah Shafik Afandi minum dan makan di dalam bergurau senda itu, bangunlah ia pergi mandi bersalin pakaian, kemudian daripada sembahyang asar turunlah keduanya naik kereta berjalan makan angin segenap tempat dan kebun yang indah-indah. Kemudian daripada Faridah Hanom singgah sebentar melihat ayahanda bondanya. Apabila masuk waktu magrib, baliklah keduanya ke rumahnya semula sembahyang maghrib, makan minum dan bersuka-sukaan[37] laki-isteri.
Setelah keesokan harinya lepas futur pagi dengan ayahandabonda, Faridah Hanom pun melayanlah suaminya tiadalah ditinggalkannya, kerana hari Jumaat suaminya tiada apa-apa kerja. Maka duduklah keduanya bergurau senda menyukakan hati dengan beberapa macam jenis cerita yang menjadikan penghiburan dan menyukakan hati keduanya.
Setelah hampir jam pukul sebelas tengah hari, teringatlah Faridah Hanom akan hal-ehwal barang-barang yang disuruhnya tukang masak dan Saad membuat di dapur itu, maka tiadalah sedap hatinya dengan tidak melihat apa-apa halnya, takut tiada bersetuju bagaimana kehendaknya. Maka terasalah ia seolah-olahnya ia telah meninggalkan suatu kewajibannya yang besar di atas suaminya oleh menurutkan hawa nafsu bersuka-sukaan di dalam biliknya, dan hendak pun ditinggalkannya suaminya seorang diri sangatlah pula kasihan rasa hatinya akan suaminya. Lalu segeralah ia mengambil sebuah buku cerita di dalam bahasa Peransis yang baharu dibelinya itu diberikannya kepada suaminya sambil berkata: "Cubalah kakanda baca buku ini baharu keluar, karangan Anatole…
Frans[38] sangatlah elok ceritanya." Maka Shafik Afandi pun mengambil buku itu dibacanya sedikit, terasa kepadanya sedap ceritanya itu. Lalulah ia bangun berjalan pergi baring ke atas kerusi panjang dibacanya lagi. Setelah dilihat oleh Faridah Hanom suaminya telah asyik membaca cerita itu, segeralah ia berjalan perlahan-lahan keluar biliknya, terus pergi melihat Saad di dapur membuat makanan mengkawankan tukang masak itu didapatinya[39] semuanya ada betul bagaimana kehendaknya. Setelah habis diperiksa dan dilihatnya serta ditokok[40] tambah apa-apa yang dikehendakinya, berjalanlah ia balik semula kemudian daripada dipesannya kepada Saad apa-apa yang hendak dipesannya. Maka didapatinya suaminya masih Iagi tengah asyik membaca buku itu di dalam biliknya. Lalu terus ia ke bilik pakaiannya membetulkan rambut dan pakaiannya dan memakai bau-bauan, kemudian keluarlah ia semula berdiri memandang kepada suaminya membaca hikayat itu dengan tersenyum mukanya. Faridah Hanom pun gelilah rasa hatinya melihatkan suaminya asyik sangat sampai tiada sedar atau tiada pedulikan ia keluar masuk itu. Lalulah segera[41] Faridah Hanom berjalan perlahan-lahan hampir suaminya, serta dekat segeralah disambarnya buku itu daripada tangan suaminya dilontarkannya jauh serta ia menjatuhkan dirinya ke atas dada suaminya sambil berkata: "Amboi baharu pun kakanda membaca cerita perempuan yang elok sahaja di dalam buku sudah kakanda lupakan adinda yang keluar masuk dan tercengang-cengang seorang diri di hadapan kakanda. Maka jika kakanda melihat betul dengan mata sendiri perempuan itu, tentulah tinggal dan terbuanglah adinda sama sekali." Maka Shafik Afandi pun tertawa gelak mendengar perkataan dan melihat kelakuan isterinya itu, serta segeralah ia bangun menyambut isterinya dudukkannya ke atas ribaannya dipeluk diciumnya[42] dengan habis tumpah roh kasih sayangnya melihatkan pergurauan kemanjaan isterinya itu,…
sambil berkata: "Nyawa abang, jangankan tara puteri yang di dalam surat itu, jika kakanda melihat bidadari kayangan sekali pun tiadalah boleh menyamai roh semangat[43] badan abang adikku gemala negeri Mesir yang melemahkan sekalian jauhari yang di dalam alam ini menilaikan harganya. Tuanlah kejadian Tuhan seorang perempuan yang tunggal dijadikan oleh Tuhan di dalam alam ini padan dengan rupa dan tabiat kelakuan bijak laksana, di manakah abang boleh mendapat seumpama tuan[44]. Tinggal lagi jika tuan kasihan sayang akan abang seumpama abang kasihkan tuan juga, sengajalah abang pohonkan daripada tuan janganlah sangat-sangat tuan memaksa diri tuan menjalankan sangat peraturan tuan bagaimana yang telah sudah, bangun setiap-tiap hari sebelum pukul lima kemudian pergi menjaga dan membuat kerja rumah daripada sebelum terbit matahari, dan pergi duduk sendiri ke dapur menjaga dan membuat kerja sendiri. Kerana abang sangatlah bimbang kalau-kalau adikku mendapat keuzuran oleh melayani pekerjaan yang bukan padan taraf dengan tuan itu, kerana kita ini dengan kurnia rahmat rahim Tuhan cukuplah upaya boleh duduk di dalam kesenangan, jika sekiranya sekalian orang-orang yang ada di dalam rumah masa ini tiada cukup bagi menyempurnakan kehendak-kehendak tuan di dalam pekerjaan rumah, bolehlah nyawa abang tambah dan cari lagi berapa banyak yang tuan suka laki-laki atau perempuan."
Maka Faridah Hanom pun sangatlah geram rasa hatinya mendengar perkataan suaminya itu, lalu segeralah ia bangun daripada ribaan suaminya menarik suatu kerusi duduk berhadapan dengan suaminya, sambil berfikir di dalam hatinya, inilah racun yang membunuh hemah yang boleh memberi kehidupan laki-isteri di dalam kesentosaan, selama-lama itu selalu dibawa oleh…
sekalian laki-laki kepada isterinya. Maka dengan rupa menyuapkan[45] suatu makanan yang sangat lazat daripada hati yang sangat kasih sayang. Maka tiadalah dapat aku berdiam diri lagi selalu menerima racun itu akhirnya tertipu dayalah aku kelak lama kelamaannya. Maka segeralah dijawabnya perkataan suaminya itu: "Abang, sangatlah adinda menerima kasih akan peringatan kasih sayang abang yang adinda[46] percaya dengan[1] sebenar-benarnya terbit daripada hati abang yang sangat ikhlas itu. Tetapi maafkanlah jika adinda berkata, nasihat yang terbit daripada kasih sayang yang sebenar itu ialah sebesar-besar racun kehidupan pada faham adinda. Dengan sebab ini, jika abang memberi racun yang disuruh adinda telan itu, tidak dengan sengaja abang, maka janganlah sekali-kali abang mengulangi akan dia lagi sekali kepada adinda. Sebab jika tidak kerana adinda telah kenal dan mengetahui akan kakanda dahulu daripada kita menjadi laki-isteri ini, bahawa adalah kakanda ini seorang laki-laki yang mempunyai pelajaran dan pengetahuan, maka kakanda mengeluarkan perkataan dan nasihat yang demikian kehendak, nescaya berkatalah adinda dengan terangnya kakanda khianat dan sengaja hendak membinasakan adinda." Maka Shafik Afandi pun terkejut mendengar perkataan isterinya itu serta dipandangnya muka isterinya itu berubah macam orang merajuk. Lalulah segera ia bangun memegang tangan isterinya, dicium dijunjungnya sambil berkata: "Nyawa abang, apakah kesalahan abang di dalam percakapan abang tadi hingga menjadikan tuan murkakan abang ini." Maka Faridah Hanom pun menarik tangannya sambil berkata: "Jika abang lalai dan alpa dengan dirasuk oleh nafsu sampai habis lupa hilang segala pelajaran dan pengetahuan, maka dengarlah perkataan adinda pada kali ini dengan terangnya, sebab tiada dapat adinda menahan hati lagi oleh berlebih-lebihan sangat kakanda membuat bodoh itu sengaja hendak merosakkan adinda supaya boleh segera kakanda hendak mencari isteri lain.
Ada pun yang dinamakan laki itu, lakilah dia jika seberapa kayanya atau seberapa miskinnya. Demikian juga yang dinamakan bini itu, binilah dia jika badannya bersalut dengan emas intan berlian atau tidak mempunyai secamping kain pakaian sekali pun. Apabila telah kita ketahui adalah kewajiban laki itu tertanggung[47] dan wajib diatas seseorang itu dengan sifat iaitu laki kepada bininya, jika bagaimana keadaan hidupnya sekali pun, begitulah juga kita ketahui kewajiban bini itu tertanggung dan wajib di[5] atas seseorang itu dengan sifat iaitu bini kepada lakinya, jika bagaimana keadaannya jua. Maka tidakkah suatu kesalahan dan khianat yang maha besar menyuruh seseorang itu meninggalkan kewajiban yang tertanggung[47] dan wajib di atasnya dengan sifat iaitu satu anggota daripada kehidupan laki-isteri itu.
"Apakala telah kita ketahui pula, bermula kewajiban laki itu berusaha mencari nafkah menanggung belanja anak bini dan rumah tangganya. Dan bermula kewajipan bini itu memelihara anak dan rumah tangga[48] dengan[49] pemeliharaan yang mendatangkan kesenangan dan kesukaan lakinya sehingga tiada menyusahkan lagi lakinya itu berfikir lain daripada pekerjaannya yang maha besar pada mencari dan meluaskan nafkah kehidupannya di dalam medan peperangan kehidupan orang yang ramai ini. Maka adakah boleh dikatakan seorang itu laki-laki yang bersifat dengan kemanusiaan, jika iaitu ada mempunyai rumahtangga anak-bini tetapi ia tiada suka dan tiada hendak mencari nafkah kehidupannya, hanyalah diharapkannya orang semata-mata sahaja menolong memberi nafkah kehidupannya laki-isteri.
"Tiadalah syak sekali-kali lagi, bahawa sekalian laki-laki yang mempunyai maruah kehormatan dan perasaan manusia yang besar itu, tentulah tiada reda ia akan kehidupan yang terlebih hina[50] daripada kehidupan segala binatang ini. Jika demikian bagaimanakah kakanda menyuruh adinda berperai-perai[51] meninggalkan kewajiban adinda bagi laki adinda dengan sifat adinda ini seorang manusia[1] yang mempunyai maruah kehormatan dan seorang bini yang menanggung kewajiban kepada lakinya, yang menyempurnakan kewajibannya dengan sifat iaitu laki. Kakanda suruh adinda[1] padakan dengan pekerjaan dan pertolongan orangorang sahaja, tetapi tidak apa, jika kakanda reda dan suka akan kehidupan bagaimana kehidupan sekalian laki-laki yang dayus[52] itu tiada hendak menjalankan kewajibannya terpaksalah jua adinda oleh kerana kasih adinda menurut kehendak kakanda meninggalkan segala kewajiban adinda ditanggung oleh sekalian orang yang lain, bagaimana kakanda juga biarlah adinda dikata orang perempuan yang syumari (pemalas)[53]." Maka Shafik Afandi pun bangun memeluk pinggang isterinya sambil berkata, "Sudahlah tuan salah abang, janganlah tuan murka sangat. Tiadalah abang melarang lagi apa[54] kehendak tuan. Maafkanlah abang apa yang telah sudah." Maka Faridah Hanom pun tersenyum melihat hal suaminya itu seraya berkata: "Bukan adinda marah akan kakanda. Adinda mengetahui sangat kakanda tahu dan mengerti segala perkara yang adinda katakan ini, tetapi kakanda lupa sangat oleh terlalu kakanda menurutkan hawa nafsu. Maka kewajiban adinda dengan sifat adinda ini bini kakanda, wajiblah adinda menjaga apa-apa muslihat kebajikan bagi kakanda dan adinda juga. Janganlah kita tertipu daya dengan kekayaan kita masa ini, kerana kaya itu tiada[1] menghilangkan kewajiban kita. Maka jika orang yang miskin itu hendak menyempurnakan kewajibannya dengan akal fikiran dan tulang uratnya semua sekali, bermula orang yang kaya…
itu dengan sebab wangnya bolehlah juga ia mendapat pertolongan pada menyempurnakan kewajibannya itu dengan tulang urat orang yang lain. Tetapi mustahil sangatlah akal fikiran orang itu boleh menolong ia datang bersamaan bagaimana kehendak-kehendak akal fikirannya sendiri, kerana tiada boleh didapati sesuatu yang boleh menghilangkan gatal di kulit badan kita itu seumpama kuku kita sendiri.
"Janganlah tertipu-daya kita dengan kekayaan kita kerana wang dan ringgit kita itu tiadalah dapat dengan sendirinya mendatangkan kesenangan dan kehendak-kehendak[55] yang kesukaan kita jika tidak digunakan dia dengan akal fikiran dan usaha ikhtiar kita sendiri. Adinda ini sangatlah adinda syukur kepada Tuhan yang telah mengurniakan kehidupan adinda dengan seelok-elok kehidupan. Adinda mendapat seorang[1] suami syarikat kehidupan adinda yang adinda kasih akan dia, dan ia kasih akan adinda, dan dikurniakannya kepada adinda sehabis-habis kesenangan pada menjalankan segala kewajipan adinda di dalam rumahtangga dan kepada suami adinda. Maka tiadalah adinda tamak[56] lebih daripada ini lagi.
"Maka janganlah sekali-kali kakanda ingat atau terlintas di hati kakanda yang adinda akan menurut semua kehendakkehendak nafsu kakanda oleh tertipu daya adinda akan kasih sayang kakanda, kerana adinda percaya dengan sehabis-habis percaya, jika adinda menurut semua sekali nafsu kakanda itu, akhirnya menerimalah adinda bahaya yang maha besar.
"Kebanyakan perempuan[57] yang baharu berkahwin tertipulah ia melihat kasih sayang pujuk cumbu suaminya hingga terlupalah ia akan kewajibannya pada menjaga rumahtangga dan menyediakan segala sebab-sebab yang memberi kesenangan suaminya, asyiklah ianya[58] berolet[59]…
menurutkan nafsunya dan nafsu suaminya, sehingga biasa dan sedaplah ia beberapa lama dengan hal yang demikian, dengan tidak sekali-kali ia sedar dan teringatkan sedikit masa sahaja lagi nafsu suaminya itu akan berubah dan rupanya yang elok itu akan berubah dan kulitnya yang tegang itu akan kendur. Ketika itu jika suaminya itu tiada mendapat penuh kesenangan dan kesukaan di dalam rumahnya yang boleh menampal dan menutupkan kekurangan yang di dalam badannya itu nescaya beredarlah hati suaminya itu di mana-mana tempat yang difikirkannya boleh ia mendapat akan kesenangan dan kesukaan hatinya itu. Pada ketika itu jika baharu ianya[60] hendak memulai bekerja menjalankan kewajibannya itu, sukarlah sudah kerana pemalas yang telah mesra ada di dalam badannya oleh berlamaan masanya itu sangat susah akan ubatnya."
Di dalam Faridah Hanom tengah berkata-kata itu, berbunyilah orang mengetuk pintu biliknya. Maka segeralah ia bangun melepaskan tangan suaminya yang memeluk pinggangnya itu, sambil berkata: "Duduklah abang betul-betul, adinda hendak keluar melihat siapa yang mengetuk pintu itu." Maka Shafik Afandi pun bangun duduk di atas kerusi. Dan Faridah Hanom pun keluar dilihatnya dayang bondanya yang datang itu. Maka Faridah Hanom pun membawa dayang itu masuk ke biliknya mendapatkan suaminya. Maka dayang itu pun berkata: "Tuan, ayahanda dan bonda mempersilakan tuan kedua lepas santap tengah hari ini." Maka Faridah Hanom pun memandang jam, dilihatnya telah hampir sangat pukul dua belas, lalu berkata ia kepada suaminya, "Baiklah abang bersiram dan bersalin pakaian, kerana jam hampir sangat pukul dua belas, nanti terlepas daripada sembahyang Jumaat." Maka Shafik Afandi pun memandang jam, dilihatnya sungguh pukul dua belas, lalulah ia bangun serta berkata kepada dayang itu, "Maklumkan kepada ayahanda-bonda,…
beta kedua akan datang mengadap." Maka dayang itu pun keluarlah berjalan pulang dan Faridah Hanom pun melayani suaminya membuka baju dan masuk bersiram kemudian memakai dengan selengkapnya, lalu turun keluar. Didapatinya ayahandanya Talaat Bey telah turun hendak pergi sembahyang juga, maka naiklah keduanya suatu kereta pergi[61] ke masjid.
Critical apparatus
Bearbeiten- ↑ a b c d e f g h i j k omitted in c.
- ↑ dan c, seraya d, e.
- ↑ ribanya d, e.
- ↑ ia d, e.
- ↑ a b c d e f omitted in d, e.
- ↑ di atas omitted in c.
- ↑ ciumnya c.
- ↑ bergurau-gurau e.
- ↑ habis-habis a.
- ↑ omitted in e.
- ↑ berlebih-lebihan a, di terlebih-lebihan e.
- ↑ balik c.
- ↑ menyuruhkan d, e.
- ↑ memberi hukum serta mengatur apa-apa yang patut langsung omitted in d, e.
- ↑ ia c, d, e.
- ↑ perkakas daripada sehari-hari ditanya oleh omitted in e.
- ↑ dari bangun pagi mesti habis selambat-lambatnya hingga omitted in e.
- ↑ tujuh c, d, e.
- ↑ pun c.
- ↑ ia c, d, e.
- ↑ kepadanya e.
- ↑ tidakkah d, tidaklah e.
- ↑ daripada berolet di belakang hari kelak apakah yang ada kesukaan kakanda omitted in d, e.
- ↑ Lalu d, e.
- ↑ ianya c, d, e.
- ↑ mengaturkan c.
- ↑ Demikian c.
- ↑ sentiasalah c, d, e.
- ↑ bertambah-tambah c, d, e.
- ↑ di dalam rumahnya, sehingga tiadalah dapat suaminya dittography in e.
- ↑ di dalam masa omitted in d, e.
- ↑ memelihara akan c, d, e.
- ↑ France d, Perancis e.
- ↑ dari c.
- ↑ diangkatnya c.
- ↑ tarbushnya c, d, e.
- ↑ bersuka-suka e.
- ↑ Frances d, Perancis e.
- ↑ didapati d, e.
- ↑ dipokok c.
- ↑ Lalu segera, Lalu segeralah d, e.
- ↑ dicium c.
- ↑ hangat c.
- ↑ ini d, e.
- ↑ menyuap c.
- ↑ menerima kasih akan peringatan kasih sayang abang yang adinda omitted in c.
- ↑ a b bertanggung d, e.
- ↑ -nya. Dan bermula kewajipan bini itu memelihara anak dan rumah tangga omitted in d.
- ↑ menanggung belanja anak bini dan rumah tangganya. Dan bermula kewajipan bini itu memelihara anak dan rumah tangga dengan omitted in e.
- ↑ yang terhina c.
- ↑ berperi-peri d, e.
- ↑ dibuat c.
- ↑ dikata oleh sekalian orang yang lain syumari (pemalas) d, e.
- ↑ apa-apa d, e.
- ↑ kehendak c.
- ↑ tamat e.
- ↑ orang a.
- ↑ ia c, d, e.
- ↑ beroleh e.
- ↑ jika baharulah ia c, jika ia baharu d, e.
- ↑ lalu menuju c.